February 22, 2026

Penyelidik UTM tampil dalam Jurnal Nature teroka pendekatan Slipknot dalam jahitan pembedahan

JOHOR BAHRU, 8 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila seorang ahli akademiknya terlibat sebagai penulis bersama dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal berprestij, Nature. Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan sumbangan penyelidik tempatan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan di peringkat global.

Kajian bertajuk A Simple Slipknot for Precise Force Control merupakan hasil kolaborasi antarabangsa merentas disiplin kejuruteraan, mekanik, robotik dan perubatan termasuk kerjasama bersama Zhejiang University, China. Dr. Tuck-Whye Wong, Pensyarah Kanan dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, merupakan salah seorang penulis bersama dalam penyelidikan tersebut. Kajian ini mengetengahkan pendekatan baharu untuk meningkatkan tahap keselamatan prosedur pembedahan melalui aplikasi prinsip mekanik yang ringkas tetapi berkesan.

Dr. Tuck-Whye Wong memperagakan kaedah simpulan slipknot yang direka untuk mengawal daya ketegangan jahitan pembedahan

Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada satu cabaran asas dalam pembedahan, iaitu memastikan ikatan jahitan pembedahan mempunyai daya ketegangan yang tepat dan konsisten. Dalam amalan klinikal, ikatan yang terlalu ketat boleh merosakkan tisu serta menjejaskan aliran darah, manakala ikatan yang terlalu longgar pula meningkatkan risiko kebocoran atau kegagalan penutupan luka. Lazimnya, kawalan daya ini bergantung kepada pengalaman dan pertimbangan visual doktor bedah, yang boleh berbeza antara individu.

Melalui kajian ini, pasukan penyelidik mendapati bahawa slipknot, iaitu simpulan asas yang telah digunakan sejak ratusan tahun dalam kehidupan seharian, boleh direka bentuk supaya terbuka pada tahap daya tertentu yang boleh dijangka. Prinsip mekanik ini membolehkan daya ketegangan dikawal secara langsung melalui simpulan itu sendiri tanpa memerlukan sensor elektronik, bekalan kuasa atau peralatan berteknologi tinggi.

Berdasarkan penemuan tersebut, pasukan penyelidik memperkenalkan kaedah jahitan yang dikenali sebagai sliputures, iaitu teknik yang mengintegrasikan kawalan daya secara langsung ke dalam simpulan pembedahan. Pendekatan ini turut diuji dalam sistem robotik pembedahan dan menunjukkan potensinya untuk diaplikasikan dalam pembedahan manual serta pembedahan berbantukan teknologi.

Bongkah akrilik digunakan bagi menggambarkan prinsip mekanik simpulan slipknot dalam kawalan daya ikatan

Menurut Dr. Tuck-Whye Wong, kekuatan utama pendekatan ini terletak pada kesederhanaannya. Beliau menjelaskan bahawa kaedah ini tidak mengubah cara asas doktor melakukan pembedahan, sebaliknya menambah satu mekanisme keselamatan berasaskan prinsip mekanik yang mudah. Apabila daya yang dikenakan melebihi tahap yang ditetapkan, simpulan akan terbuka secara automatik, sekali gus mengelakkan ikatan yang terlalu ketat atau terlalu longgar.

Dr. Tuck-Whye Wong menerangkan bagaimana kaedah slipknot membantu mengelakkan risiko jahitan yang terlalu ketat atau terlalu longgar

Dari segi aplikasi, prosedur jahitan dilakukan seperti biasa, namun simpulan slipknot disertakan sebagai sebahagian daripada ikatan. Semasa proses mengetatkan jahitan, doktor hanya perlu menarik benang secara berterusan sehingga simpulan tersebut mula terbuka. Pembukaan simpulan ini menandakan bahawa daya ketegangan optimum telah dicapai. Dengan mekanisme ini, doktor tidak lagi perlu mengagak atau bergantung sepenuhnya kepada deria sentuhan kerana simpulan itu sendiri bertindak sebagai penanda had daya yang selamat dan sesuai untuk tisu.

Apabila diaplikasikan dalam konteks pembedahan, mekanisme ini didapati membantu doktor yang kurang berpengalaman meningkatkan ketepatan daya ikatan sehingga 121 peratus. Peningkatan ini membolehkan mereka menghasilkan ikatan pembedahan yang setanding dengan pakar berpengalaman, di samping membantu memperbaiki bekalan darah dan menyokong proses penyembuhan tisu selepas pembedahan.

Dr. Tuck-Whye Wong menunjukkan gambaran proses memasukkan benang ke dalam replika kulit yang digunakan bagi simulasi jahitan pembedahan

Penglibatan Dr. Wong dalam kajian ini mencerminkan peranan UTM dalam menyokong penyelidikan berimpak tinggi melalui kerjasama antarabangsa merentas bidang kejuruteraan, robotik dan perubatan. Beliau turut menegaskan bahawa sokongan universiti, termasuk peluang membina jaringan penyelidikan global serta akses kepada kemudahan penyelidikan, merupakan antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan penerbitan dalam jurnal bertaraf dunia.

Dr. Tuck-Whye Wong bersama rakan penyelidik dan pelajar seliaannya yang terlibat dalam pembangunan kajian
Dr. Wong bersama rakan penyelidik beliau dari Zhejiang University, Dr. Tiefeng Li, yang telah bekerjasama selama sedekad, dirakam pada musim panas 2015 (kiri) dan September 2025 (kanan)

Keupayaan kecerdasan mekanikal yang ditunjukkan melalui simpulan slipknot ini dijangka membuka ruang kepada penyelidikan lanjutan terhadap struktur berikat pada pelbagai skala. Strategi mekanikal berasaskan simpulan ini juga berpotensi digunakan secara meluas, khususnya dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang mempunyai kekangan sumber serta aktiviti penerokaan lapangan.

Penerbitan kajian ini dalam jurnal Nature, yang diiktiraf sebagai antara jurnal saintifik berpengaruh di dunia, menonjolkan sumbangan signifikan penyelidik tempatan dalam menangani permasalahan praktikal penjagaan kesihatan global. Penglibatan Dr. Tuck-Whye Wong sebagai penulis bersama bukan sahaja mengangkat reputasi UTM di peringkat antarabangsa, malah membuktikan keupayaan penyelidik Malaysia menghasilkan penemuan berimpak tinggi melalui idea yang berasaskan prinsip sains yang ringkas tetapi berkesan.

Author

Explore More

UTM Open Day