February 15, 2026

Pendidikan Kelestarian dan faedahnya pada generasi masa hadapan Malaysia

📝 Ringkasan

Pendidikan kelestarian kini diberi penekanan oleh kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang untuk masa depan negara. Pendidikan ini merujuk kepada proses pembelajaran yang menekankan pentingnya menjaga alam sekitar serta sosial dan ekonomi secara serentak bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang berkualiti. Melalui pendidikan kelestarian, pelajar didedahkan kepada konsep seperti pengurusan sisa pepejal, penggunaan tenaga yang cekap dan pentingnya biodiversiti serta dihadiahkan dengan kemahiran hijau untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau.

Malaysia kini semakin memberi penekanan kepada pendidikan kelestarian sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang untuk masa depan negara. Ini dijelmakan menerusi Teras Strategik 6 dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang baharu diumumkan.

Timbalan Pengarah Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah berkata pendidikan kelestarian yang selari dengan Pendidikan untuk Pembangunan Mampan atau Education for Sustainable Development (ESD) merujuk kepada proses pembelajaran yang menekankan pentingnya menjaga alam sekitar serta sosial dan ekonomi secara serentak bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang berkualiti.

“Dalam konteks Malaysia, pendidikan kelestarian telah dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah sebagai satu pendekatan holistik.

“Ia lebih melibatkan aspek pemeliharaan alam sekitar, penggunaan sumber secara berhemah serta kesedaran tentang impak aktiviti manusia terhadap bumi. Penekanan aspek alam sekitar ini juga memberi implikasi kepada aspek sosial dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara sempena Hari Pendidikan Antarabangsa 2026 di pejabatnya.

Prof. Fatin menegaskan bahawa melalui pendidikan ini, pelajar didedahkan kepada konsep seperti pengurusan sisa pepejal, penggunaan tenaga yang cekap dan pentingnya biodiversiti.

“Mereka juga didorong untuk berinovasi dalam mencari penyelesaian kepada masalah alam sekitar seperti pencemaran dan perubahan iklim. Faedah utama pendidikan kelestarian kepada generasi masa hadapan Malaysia adalah penanaman nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dan komuniti.

“Dengan memahami kepentingan menjaga sumber semula jadi, pelajar akan menjadi individu yang lebih peka terhadap isu-isu global dan mampu mengambil tindakan positif,” katanya lagi.

Pendidikan ini juga membantu membentuk warga yang beretika, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang yang menyokong pembangunan mampan khasnya kemahiran hijau yang diperlukan dalam kerjaya hijau pada masa depan.

Selain manfaat dari segi alam sekitar, pendidikan kelestarian turut memberi impak positif dari segi ekonomi.

“Pelajar yang dilatih dalam bidang kelestarian berpeluang menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Ia memberi peluang pekerjaan baharu yang berkaitan dengan teknologi bersih dan inovasi lestari, seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara jangka panjang,” katanya.

Dari aspek sosial pula, pendidikan kelestarian memperkukuhkan kesedaran tentang keadilan sosial dan kesaksamaan dengan mengajar pelajar tentang pentingnya berkongsi sumber secara adil dan menentang amalan tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan komuniti dan generasi akan datang.

“Kesimpulannya, pendidikan kelestarian merupakan elemen penting dalam membentuk masa depan Malaysia yang mampan dan sejahtera. Melalui pendidikan yang holistik ini, generasi muda akan lebih bersedia menghadapi cabaran global, sambil memastikan sumber alam mampu dinikmati oleh generasi akan datang tanpa mengabaikan pembangunan negara,” katanya lagi.

Oleh itu, usaha berterusan dalam memperkukuhkan pendidikan kelestarian harus diberikan perhatian utama agar Malaysia dapat mencapai matlamat pembangunan yang seimbang dan berkekalan.

Menyedari hakikat ini, Prof. Fatin telah membantu Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menghasilkan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 bagi memastikan Pendidikan Kelestarian di semua sekolah di negeri Johor dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Beliau bersama beberapa orang pakar Pendidikan Kelestarian dari UTM dan JPNJ kini sedang merangka Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2026-2030 sebagai kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan pelan sebelum ini yang menjadi rujukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penekanan kepada pendidikan kelestarian termasuk dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-13 (Tindakan Iklim) dan ke-4 (Pendidikan Berkualiti) yang bertujuan memastikan pendidikan yang inklusif dan berkualiti serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Pendidikan kelestarian secara khusus menyokong aspek ini dengan menekankan pentingnya pendidikan mengenai pembangunan mampan, kesedaran tentang isu-isu alam sekitar, sosial, dan ekonomi yang berkaitan, serta membekalkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang kepada pembangunan yang lestari.

Timbalan Pengarah Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE) UTM, Prof. Dr. Fatin Aliah Phang ketika diwawancara di pejabatnya

Explore More

UTM Open Day