Tanggal 7 Januari 2026 menjadi satu pengalaman yang amat bermakna dalam perjalanan kepimpinan dan pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila Naib Canselor UTM, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Prof. Madya Dr. Abdul Rashid bin Husain, Penolong Naib Canselor (Strategi dan Kesohoran Global) UTM, serta Dr. Mohd Hilmi Ramli, Pengarah RZS-CASIS UTM, berkesempatan menziarahi YBhg. Prof. Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas di kediaman beliau.
Pertemuan ini bukan sekadar sebuah kunjungan hormat, tetapi suatu madrasah hikmah yang mengajak barisan pengurusan UTM merenung kembali makna ilmu, adab dan peranan sebenar sesebuah universiti. Perbincangan yang berlangsung dengan penuh ketenangan dan kedalaman intelektual telah membuka ruang kefahaman bahawa ilmu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai penguasaan maklumat atau pencapaian akademik, tetapi sebagai amanah yang perlu dipandu oleh kebijaksanaan, keinsanan dan nilai adab yang luhur.

Dalam perbincangan tersebut, YBhg. Prof. Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa fakulti (quwwah al-nafs) terdiri dari 5 perkara utama pendengaran, deria rasa, penglihatan, pergerakan dan percakapan. Ini merupakan asas kepada etika dan peribadi manusia.
Nasihat dan pandangan yang dikongsikan oleh YBhg. Prof. Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas memberikan peringatan yang amat signifikan sebagai pemimpin universiti, bahawa kepimpinan akademik menuntut kejelasan makna, keteguhan prinsip dan keikhlasan niat. Universiti harus terus berperanan sebagai medan pembinaan peradaban, bukan sekadar kilang penghasilan graduan atau pusat pengeluaran teknologi.
Dalam konteks UTM yang sedang melalui fasa perubahan struktural strategik, pertemuan ini mengukuhkan keyakinan barisan pengurusan UTM bahawa reformasi universiti yang sebenar perlu berakar pada kefahaman ilmu yang benar dan penghayatan adab yang konsisten. Hanya dengan asas ini, universiti mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi kepakaran, tetapi juga seimbang dari segi akhlak, tanggungjawab dan kemanusiaan. Ini sesungguhnya selari dengan gagasan Malaysia MADANI dan aspirasi UTM yang dijelmakan melalui ASCEND 2030.

