📝 Ringkasan
Seramai 30 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Rimba Outreach: Desa Orang Asli 2025 di Sungai Siput, Perak untuk menyantuni komuniti Orang Asli dan memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat. Program ini bertujuan menghubungkan mahasiswa dengan komuniti Orang Asli melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning) untuk memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya.
SUNGAI SIPUT, 18 Jan – Seramai 30 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Rimba Outreach: Desa Orang Asli 2025 di Sungai Siput, Perak, sebagai usaha menyantuni komuniti Orang Asli serta memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.
Program ini dianjurkan oleh Kelab Riverdale di bawah Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Rahman Putra dengan kerjasama strategik delegasi UiTM Pasir Gudang. Turut mengiringi program ialah Pengetua Kolej Rahman Putra, Dr. Zulhilmi Che Daud, bersama barisan ahli Kelab Riverdale yang diketuai oleh Muhammad Khairul Nazhim Fadhilludin.
Berteraskan khidmat komuniti, program ini bertujuan menghubungkan mahasiswa dengan komuniti Orang Asli melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning). Pendekatan ini memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar. Sepanjang program, peserta didedahkan secara langsung kepada kehidupan tradisional, budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli. Pelbagai aktiviti dua hala dirangka, termasuk sukarelawan komuniti, gotong-royong, pendidikan kanak-kanak, pelaksanaan modul teknologi solar serta pengenalan kepada penternakan madu kelulut.

Menurut Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak dan Kedah, penganjuran program seumpama ini amat signifikan kerana membuka ruang interaksi lebih dekat antara masyarakat luar dan komuniti Orang Asli. Katanya, program berasaskan komuniti bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang realiti kehidupan masyarakat Orang Asli, malah membuka peluang kepada komuniti setempat menerima ilmu, kemahiran dan idea baharu yang boleh dimanfaatkan dalam jangka panjang.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, jawatankuasa pelaksana, institusi pengajian tinggi, pensyarah, sukarelawan serta komuniti Orang Asli yang bersama-sama menjayakan program berimpak sosial tersebut. Namun, beliau menegaskan bahawa program komuniti perlu dirancang secara teliti dan berfokus kepada kelestarian, bukan sekadar aktiviti sekali beri (one-off) tanpa kesinambungan. Katanya, program yang tidak mempunyai susulan dan pemantauan berterusan tidak memberi perubahan bermakna kepada taraf hidup komuniti, sebaliknya pembangunan perlu berasaskan keperluan sebenar serta berorientasikan hasil jangka panjang.
Beliau turut menyatakan kepuasan terhadap pengisian program, khususnya slot penternakan madu kelulut yang dilihat sebagai inisiatif praktikal dan berpotensi tinggi dari sudut ekonomi. Industri kelulut, katanya, amat sesuai dengan persekitaran semula jadi serta gaya hidup masyarakat Orang Asli, selain mempunyai nilai komersial yang semakin mendapat permintaan.
Tambah beliau, industri madu kelulut tidak terhad kepada penghasilan madu semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai peluang ekonomi seperti pembiakan koloni, penjualan log atau rumah kelulut serta pembangunan produk hiliran berasaskan madu. Produk seperti minuman kesihatan, produk penjagaan diri, sabun dan kosmetik semula jadi berpotensi dibangunkan bagi meningkatkan nilai tambah dan sumber pendapatan komuniti setempat.

Beliau turut menekankan kepentingan kepelbagaian sumber pendapatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu hasil sahaja. Melalui pendedahan, latihan dan bimbingan yang sistematik, komuniti Orang Asli berpeluang membina keupayaan berdikari serta menjana pendapatan secara lebih stabil dan berterusan. Selain aspek ekonomi, program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan insan, khususnya dalam membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan, semangat kerjasama dan kemahiran interpersonal dalam kalangan peserta serta komuniti terlibat.
Sementara itu, Dr. Zulhilmi berkata program ini selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah peka terhadap isu kemasyarakatan dan mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan sosial negara. Katanya, penglibatan pelajar dalam program seperti ini membolehkan mereka memahami realiti kehidupan masyarakat luar bandar, sekali gus membentuk sahsiah, empati dan rasa tanggungjawab sebagai warga universiti. Beliau berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan pendekatan lebih strategik, berfokus dan mampan melalui kerjasama berterusan antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Program diakhiri dengan majlis perasmian oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah yang menzahirkan harapan agar usaha ini menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti Orang Asli yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif pada masa hadapan.