Kolaborasi UTM dan SK Padang Tembak 2 cipta kejayaan dalam Pertandingan Inovasi STEM

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 mencipta kejayaan dalam Pertandingan Inovasi Daerah Keramat 2026 dengan projek STEM: Code & Play. Projek ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara UTM dan sekolah yang melibatkan pembelajaran interaktif menggabungkan elemen pengaturcaraan asas, kreativiti dan permainan digital bagi meningkatkan minat murid sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Kolaborasi strategik antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak 2 mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Inovasi selain turut merangkul Anugerah Best Presenter dalam Pertandingan Inovasi dan Showcase Digital Star (Based on Technology, Art and Technology) Peringkat Daerah Keramat 2026.

Kejayaan tersebut diraih melalui projek inovasi dalam Kategori Perisian dan Multimedia bertajuk STEM: Code & Play, iaitu satu projek pembelajaran interaktif yang menggabungkan elemen pengaturcaraan asas, kreativiti dan permainan digital bagi meningkatkan minat murid sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara menyeronokkan dan mudah difahami.

Menerusi pendekatan service learning, para pengajar bersama pelajar Kursus Sains dan Komuniti (ULRF 2172) Semester II Sesi 2025/2026 memberikan bimbingan dan tunjuk ajar berkaitan pembangunan idea, asas pengaturcaraan, penyusunan kandungan multimedia serta teknik pembentangan projek.

Pelajar UTM memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada murid-murid yang terpilih menyertai pertandingan projek inovasi STEM

Pengajar Kursus Sains dan Komuniti UTM, Dr. Muhammad Aizi Mat Salim, berkata inisiatif ini mencerminkan peranan universiti sebagai pemangkin pendigitalan komuniti melalui pemindahan ilmu secara langsung. “Program ini memberi peluang kepada pelajar UTM mengaplikasikan ilmu sains dan teknologi yang dipelajari kepada komuniti. Pada masa yang sama, murid sekolah diperkenalkan kepada pendigitalan dan pemikiran STEM melalui kaedah yang praktikal dan menyeronokkan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa penglibatan pelajar universiti dalam membimbing murid sekolah membantu membentuk kemahiran komunikasi, kepimpinan dan tanggungjawab sosial selari dengan agenda universiti kepada komuniti.

Guru Besar SK Padang Tembak 2, Haji Muhammad Nazri Musa, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UTM atas komitmen dan kepakaran yang dikongsikan. “Kolaborasi ini membuka ruang kepada murid-murid kami untuk meneroka dunia inovasi dan teknologi dengan lebih yakin. Kejayaan merangkul Johan dan Best Presenter membuktikan potensi murid sekolah rendah apabila diberi bimbingan yang betul,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa projek STEM: Code & Play berjaya menarik perhatian juri kerana keupayaannya menggabungkan elemen pembelajaran, kreativiti dan teknologi digital yang sesuai dengan tahap murid sekolah rendah.

Pasukan Kursus Sains dan Komuniti UTM dan pengurusan SK Padang Tembak 2 yang sentiasa memberi sokongan terhadap projek Inovasi STEM

Seorang murid yang terlibat, Muhammad Ammar Zafran Mohd Nizam, meluahkan rasa bangga atas pencapaian yang diraih. “Kami sangat seronok belajar menghasilkan projek inovasi ini. Abang dan kakak dari UTM banyak membantu kami faham cara membina projek dan menerangkan idea dengan yakin. Pengalaman ini membuatkan kami lebih minat kepada sains dan teknologi,” katanya.

Dua lagi murid yang terlibat ialah Nur Arissa Qaisara Jamil dan Muhammad Aiman Al Hafizh Mohd Faiz, yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pembentangan projek inovasi tersebut.

Pelajar UTM yang terlibat secara langsung dalam projek ini turut berkongsi pengalaman mereka. Puteri Durra Nisrina Mohamad Yusnizam berkata penglibatan dalam program ini memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna di luar bilik kuliah. “Program ini memberi peluang kepada kami menyesuaikan konsep sains dan pengaturcaraan agar mudah difahami oleh murid sekolah rendah. Ia juga membantu kami membina kemahiran komunikasi dan keyakinan diri,” katanya.

Menurut Nur Aina Maisarah Mohd Fadzal, kejayaan projek STEM: Code & Play membuktikan keberkesanan kerjasama antara universiti dan sekolah. “Melihat murid-murid berjaya menyiapkan projek digital dan membentangkannya dengan yakin adalah satu kepuasan besar. Program ini jelas menunjukkan peranan universiti dalam memperkasa komuniti melalui pendigitalan,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Danish Andrean Mazlynudin, menyifatkan pengalaman ini sebagai pendedahan hands-on yang memperkukuh kefahaman tentang tanggungjawab sosial pelajar universiti. “Melalui projek ini, kami dapat melihat sendiri bagaimana ilmu sains dan teknologi boleh memberi impak sebenar kepada masyarakat. Pengalaman bekerjasama dengan pihak sekolah amat bermakna,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur itu menyaksikan projek STEM: Code & Play menerima pengiktirafan tertinggi daripada pihak juri, sekali gus mengharumkan nama SK Padang Tembak 2 di peringkat daerah.

SK Padang Tembak 2 dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Inovasi selain turut merangkul Anugerah Best Presenter dalam Pertandingan Inovasi dan Showcase Digital Star Peringkat Daerah Keramat 2026

Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada pihak pengurusan sekolah khususnya Guru Besar, Haji Muhammad Nazri Musa, dan Guru Penolong Kanan, Noraziza Abdul Hamid, atas sokongan dan komitmen terhadap pelaksanaan kolaborasi ini. Penghargaan turut dirakamkan kepada barisan guru yang terlibat secara langsung iaitu Mohd Fauzan Omar, Siti Nurdiana Ariffin, Ahmad Nasaruddin Salam dan Nor Maslianee Abd Shukor, atas dedikasi mereka dalam menjayakan projek ini.

Tahniah juga diucapkan kepada murid-murid yang telah mewakili sekolah dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan ini iaitu Muhammad Ammar Zafran Mohd Nizam, Nur Arissa Qaisara Jamil dan Muhammad Aiman Al Hafizh Mohd Faiz.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh hubungan universiti dan komuniti melalui pemindahan ilmu serta pembangunan bakat muda dalam bidang STEM, sejajar dengan aspirasi universiti sebagai peneraju inovasi dan pendidikan berimpak tinggi.

Majlis ini turut menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara universiti dan sekolah mampu melahirkan murid yang berkeyakinan, kreatif dan berkemahiran tinggi. Projek STEM: Code & Play membuktikan bahawa pendekatan interaktif dan pembelajaran berasaskan teknologi dapat memberi pengalaman pembelajaran bermakna, sekaligus menyemai minat murid terhadap STEM sejak awal lagi.

Explore More

UTM Open Day