February 16, 2026

Sukarelawan Kelab Iqra' UTM bersama pelajar sekolah SKKP2

Kelab IQRA’ UTM tingkat minat STEM murid melalui projek komuniti The Next GENius

📝 Ringkasan

100 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai 2 terlibat dalam program Projek Komuniti Pulai: The Next GENius yang disampaikan oleh Kelab IQRA’ Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini bertujuan memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta membentuk jati diri, keyakinan dan kesedaran terhadap penjagaan diri dan keselamatan peribadi.

JOHOR BAHRU, 20 Jan – Kelab IQRA’ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama pelbagai agensi komuniti telah menganjurkan Projek Komuniti Pulai: The Next GENius bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai 2. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti dan mahasiswa dalam memperkasa pembangunan murid sekolah rendah secara holistik, seimbang dan menyeluruh yang merangkumi aspek akademik, sahsiah, keselamatan diri serta kesedaran awal terhadap hala tuju masa depan.

Seramai 100 orang murid Tahun 5 dan 6 terlibat dalam program ini dengan sokongan 46 orang sukarelawan mahasiswa UTM dari pelbagai fakulti. Sepanjang program berlangsung, murid menunjukkan keterujaan yang tinggi serta penglibatan aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Kehadiran mahasiswa sebagai fasilitator bukan sahaja membantu melancarkan pelaksanaan program, malah mewujudkan hubungan mesra antara murid dan mahasiswa, sekali gus memberi inspirasi serta motivasi kepada murid untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sukarelawan Kelab Iqra' UTM bersama pelajar sekolah SKKP2
Peserta program bergambar bersama urus setia dan sukarelawan mahasiswa UTM

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memberi pendedahan awal kepada laluan kerjaya masa hadapan, di samping membentuk jati diri, keyakinan serta kesedaran terhadap penjagaan diri dan keselamatan peribadi. Pelbagai aktiviti interaktif berbentuk reruai (booth) telah disediakan antaranya Sentuhan Selamat vs Tidak Selamat, STEM Fun & Simple Coding, Eksperimen Saintis Muda, IQRA’ Challenge, kebersihan gigi serta Tubuh Kecil, Jiwa Besar. Setiap aktiviti dirangka secara kreatif dan berkonsepkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning) bagi memastikan penyampaian mesej dapat difahami dengan mudah dan menyeronokkan.

Murid mencuba simulasi robot dalam aktiviti STEM interaktif

Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini terbukti berkesan dalam menarik minat murid untuk terus terlibat secara aktif, di samping meningkatkan kefahaman mereka terhadap nilai keselamatan diri, kerjasama, disiplin dan semangat ingin tahu. Selain aktiviti pembelajaran, program ini turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, sekali gus menceriakan suasana dan menjadi suntikan motivasi kepada murid untuk mengekalkan komitmen sepanjang program berlangsung.

Murid meneliti demonstrasi eksperimen sains yang dijalankan oleh fasilitator
Murid menjalankan eksperimen secara amali dengan bimbingan sukarelawan

Program ini turut mendapat sokongan daripada para penaja iaitu Malaysian Ionic Liquid Research Society (MILRS), Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS) dan Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB), selain kerjasama erat daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah. Sokongan pelbagai pihak ini mencerminkan semangat kolaborasi komuniti dalam menjayakan inisiatif pembangunan pendidikan dan sahsiah murid.

Bertemakan “A Busy Village Raising a Bright Child”, program ini menzahirkan peranan universiti sebagai ejen perubahan sosial melalui penglibatan aktif mahasiswa dalam khidmat komuniti dan pemindahan ilmu. Inisiatif ini selari dengan aspirasi UTM untuk memperkukuh hubungan universiti dan komuniti serta melahirkan graduan yang berjiwa kepimpinan, empati, integriti dan tanggungjawab sosial demi pembangunan masyarakat yang mampan.

Barisan urus setia dan sukarelawan Kelab IQRA’ UTM yang menjayakan program

Explore More

UTM Open Day