📝 Ringkasan
Berikut adalah ringkasan berita tersebut dalam 2-3 ayat bahasa Melayu:
Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS) UTM telah berjaya menganjurkan seminar hibrid FYPIS 2026 yang melibatkan 230 pelajar dan institusi dari dalam dan luar negara. Seminar ini bertujuan memperkukuh kemahiran penyelidikan, penulisan, dan komunikasi pelajar, serta mengukuhkan kolaborasi akademik dengan penceramah jemputan dari Indonesia dan industri. Penglibatan pelajar dalam penganjuran seminar ini turut membangunkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan mereka.
JOHOR BAHRU, 13 Jan – Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menganjurkan Final Year Project International Seminar (FYPIS) 2026 yang berlangsung secara hibrid dengan penyertaan institusi dalam dan luar negara.
Seminar bertemakan Beyond Horizons, Building Impact ini melibatkan penyertaan seramai 230 pelajar Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia serta Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia dari UTM, selain institusi jemputan iaitu Universitas Negeri Malang (UNM) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) serta Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE).

FYPIS 2026 turut menampilkan dua figura sebagai pembentang ucaptama, iaitu Prof. Madya Dr. Nur Eva dari Universitas Negeri Malang, Indonesia, yang merupakan pakar dalam bidang psikologi pendidikan, pembangunan pelajar dan kesejahteraan psikologi, serta Ahmad Hisham Ab Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif PakarHR. Kehadiran kedua-dua figura ini telah memberi nilai tambah kepada penganjuran seminar melalui perkongsian ilmu dan pengalaman merentas bidang akademik dan industri.
Prof. Madya Dr. Nur Eva merupakan ahli akademik kanan yang diiktiraf dalam bidang psikologi pendidikan, kaunseling dan pembangunan kesejahteraan pelajar. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam penyelidikan berkaitan kesejahteraan psikologi, perkembangan pelajar, motivasi pembelajaran serta intervensi psikologi di institusi pendidikan. Hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam pelbagai jurnal dan prosiding ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Ahmad Hisham Ab Wahab merupakan pengamal industri yang berpengalaman luas dalam pengurusan sumber manusia, pembangunan bakat, perhubungan industri dan strategi organisasi. Beliau aktif berkongsi kepakaran dalam membantu organisasi membangunkan amalan sumber manusia yang strategik, beretika dan selari dengan keperluan perniagaan semasa. Penglibatan beliau dalam FYPIS 2026 memberi pendedahan bermakna kepada pelajar mengenai realiti serta keperluan sebenar industri.

Penganjuran seminar kali keempat ini merupakan kesinambungan kepada Seminar Projek Sarjana Muda 2.0 yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak sesi akademik 2021/2022. Seminar ini selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.
Menurut pihak penganjur, FYPIS berperanan sebagai platform strategik dalam memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan pembentangan penyelidikan, di samping memperkukuh kemahiran penulisan ilmiah, pemikiran analitikal, literasi digital dan komunikasi profesional.

Pada masa yang sama, program ini turut menyumbang kepada pembentukan keyakinan diri, profesionalisme serta kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi alam pekerjaan yang semakin mencabar dan kompetitif. Penganjuran FYPIS 2026 juga mengukuhkan jaringan kolaborasi akademik dan strategik antara UTM dengan institusi rakan dalam dan luar negara, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan, pertukaran kepakaran serta pembangunan program akademik bersama pada masa hadapan.
Selain itu, penganjuran FYPIS 2026 turut mendapat sokongan dan penglibatan aktif kelab pelajar Smart Club dan Psychic dari SHARPS yang berperanan sebagai jawatankuasa pelaksana program. Penglibatan pelajar dalam aspek pengurusan, teknikal, promosi dan protokol bukan sahaja memastikan kelancaran seminar, malah menjadi medium pembelajaran berimpak tinggi dalam membangunkan kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi profesional dan pengurusan acara akademik.
Oleh Salwa Abdul Patah dan Amalina Ibrahim