FKT perkasa agenda STI 100³ melalui cabaran inovasi penapisan air

📝 Ringkasan

Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan program Water Innovation Filter Challenge melalui agenda STI 100³ untuk menyokong inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Program ini melibatkan pelajar Tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pulai Jaya dalam membina penapis air dengan menggunakan bahan-bahan yang terhad. Penapis air dibina berdasarkan lima kriteria utama, termasuk kejernihan air dan penggunaan bajet secara minimum. Program ini telah berjaya menterjemahkan pembelajaran teori kepada pengalaman praktikal yang menyeronokkan bagi pelajar dan membuktikan bahawa kolaborasi antara universiti, sekolah dan kementerian dapat menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan STEM di Malaysia.

JOHOR BAHRU, 21 Jan – Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Gas Engineering Students’ Society UTM telah berjaya melaksanakan program Water Innovation Filter Challenge melalui agenda STI 100³ iaitu Sains, Teknologi, Inovasi, 100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari. Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulai Jaya ini melibatkan seramai 180 pelajar Tingkatan 3 sebagai usaha menyokong inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk merakyatkan sains serta memupuk minat generasi muda terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Program ini turut mendapat sokongan Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS).

Program ini diterajui oleh Dr. Asiah Nusaibah Masri dengan sokongan barisan panel juri yang terdiri daripada Dr. Nur Syazwani Mohd Ali, Dr. Amni Haslinda Alpandi dan Dr. Nurul Adilah Manshor. Dr. Mohamad Sukri Mohamad Yusof pula bertindak sebagai moderator yang mengemudi kelancaran program. Kekuatan program ini digerakkan oleh komitmen 14 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pensyarah, pelajar pascasiswazah dan pelajar sarjana muda UTM dalam usaha merapatkan jurang antara ilmu akademik universiti dengan aplikasi praktikal di peringkat sekolah menengah.

Dr. Mohamad Sukri Mohamad Yusof menyampaikan taklimat berkaitan peraturan cabaran inovasi penapisan air

Menerusi Water Innovation Filter Challenge, pelajar bukan sekadar membina penapis air, malah didedahkan kepada elemen pengurusan kos dan kreativiti kejuruteraan. Dengan ‘dana permulaan’ sebanyak RM70,000 bagi setiap kumpulan, peserta perlu mengurus bajet untuk membeli bahan tambahan di ‘Kaunter Kedai STEM’ seperti span, tisu, bekas telur, batu besar, batu kerikil dan pasir bagi menambah baik reka bentuk penapis air masing-masing.

Kaunter Kedai STEM yang menyediakan bahan tambahan untuk penambahbaikan reka bentuk penapis air

Setiap rekaan penapis air dinilai berdasarkan lima kriteria utama iaitu kejernihan air yang dihasilkan sebanyak 10 mililiter (mL), susunan lapisan penapis yang efektif, penggunaan bajet secara minimum, kualiti pembentangan dan justifikasi saintifik, serta semangat kerjasama dalam kumpulan.

Pelajar berbincang mengenai reka bentuk sistem penapisan air
Pelajar menguji sistem penapisan air yang telah direka
Salah satu model penapis air yang dibina oleh pelajar Tingkatan 3

Keberkesanan program ini jelas melalui maklum balas positif para peserta. Menurut Sayf Ammar, program ini berjaya menterjemahkan pembelajaran teori di dalam kelas kepada pengalaman praktikal yang menyeronokkan, di samping menekankan kepentingan kerjasama berpasukan. Seorang lagi peserta, Muhaimin, berkongsi pengalaman berfikir secara kreatif apabila kumpulannya mengenal pasti penutup botol sebagai komponen penting untuk mengelakkan kebocoran. Mereka menggunakan span dan tisu pada bahagian penutup bagi memastikan proses penapisan berjalan dengan lebih berkesan.

Penganjuran Water Innovation Filter Challenge melalui agenda STI 100³ ini bukan sekadar aktiviti sekolah, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan modal insan yang celik inovasi. Dengan mendedahkan pelajar kepada penyelesaian masalah seperti isu bekalan air bersih, universiti berperanan membentuk generasi yang kritikal dan kreatif. Inisiatif ini membuktikan bahawa kolaborasi antara universiti, sekolah dan kementerian mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan STEM di Malaysia, seterusnya menyokong pembangunan ekonomi berasaskan inovasi yang lebih mampan.

Explore More

UTM Open Day