📝 Ringkasan
Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Kuala Lumpur menerima lawatan akademik dari 30 pelajar Diploma Teknologi Komputeran dari Kolej Vokasional Kulim, Kedah. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal dan bermakna terhadap bidang Kecerdasan Buatan (AI) serta penggunaannya secara bertanggungjawab dan berintegriti dalam konteks akademik. Pelajar didedahkan kepada konsep asas AI, jenis AI termasuk AI generatif dan AI analitik, serta aplikasi AI dalam pembelajaran dan tugasan akademik.
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Kuala Lumpur, memperkukuh literasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui penganjuran lawatan akademik yang melibatkan pelajar Kolej Vokasional Kulim, Kedah, bagi memberi pendedahan awal dan bermakna terhadap bidang AI serta penggunaannya secara bertanggungjawab dan berintegriti dalam konteks akademik.
Lawatan ini melibatkan 30 pelajar Diploma Teknologi Komputeran serta diiringi tiga guru pengiring. Program ini memberi fokus kepada pemahaman konsep asas AI, jenis AI termasuk AI generatif dan AI analitik, serta aplikasi AI dalam pembelajaran dan tugasan akademik. Para pelajar turut didedahkan kepada penggunaan ChatGPT secara bijak dan berkesan, kefahaman tentang peranan Turnitin, serta kepentingan etika, tanggungjawab dan integriti dalam penggunaan AI. Lawatan ini turut diserikan dengan sesi meninjau fasiliti dan makmal Fakulti Kecerdasan Buatan bagi membolehkan pelajar merasai sendiri ekosistem pembelajaran AI yang ditawarkan.

Sepanjang program, pelajar turut diperkenalkan kepada program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan yang ditawarkan, di samping pendedahan kepada aktiviti penyelidikan AI yang dijalankan di fakulti berkenaan. Sesi penerangan yang menyeluruh, disusuli sesi soal jawab yang interaktif dan penuh rasa ingin tahu, jelas mencerminkan minat tinggi dalam kalangan pelajar terhadap bidang AI dan teknologi masa hadapan.
Program ini turut menampilkan perkongsian berkaitan penyelidikan berteraskan AI dalam bidang keselamatan, kejuruteraan dan aplikasi dunia sebenar melalui Vehicle Engineering and Safety Research Group (VES), sekali gus memberi gambaran jelas tentang potensi AI dalam menyelesaikan permasalahan industri dan masyarakat.
Lawatan akademik ini dilaksanakan dengan kerjasama kumpulan penyelidikan fakulti tersebut iaitu VES yang diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, dan dirasmikan oleh Dr. Noor Hafizah Hassan, Pengurus Hubungan Luar dan Global, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Cawangan Kuala Lumpur.



Program ini turut melibatkan pensyarah Fakulti Kecerdasan Buatan iaitu Dr. Nurazean Maarop, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Dr. Wan Rosanisah Wan Mohd. Para pelajar diiringi guru pengiring Nooramera Abu Hasan, Mohd Fakhrul Hakimi Zainal Abidin dan Siti Munirah Abdul Malik yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program serta penglibatan aktif pelajar sepanjang lawatan.

Secara keseluruhan, inisiatif ini menggambarkan usaha berterusan UTM Cawangan Kuala Lumpur dan Fakulti Kecerdasan Buatan dalam memperkukuh jaringan akademik bersama institusi TVET, memperluas literasi AI secara inklusif serta melaksanakan tanggungjawab sosial universiti melalui pemindahan ilmu kepada komuniti pendidikan. Pendedahan menyeluruh ini diharapkan dapat menyemai minat pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kecerdasan Buatan pada masa hadapan.