February 14, 2026

14 Syarikat Hiliran UTM Sumbang RM53,000 untuk Menu Rahmah

📝 Ringkasan

Empat belas syarikat hiliran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyumbangkan RM53,000 untuk Program Menu Rahmah bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa. Inisiatif ini menunjukkan komitmen syarikat hiliran UTM dalam tanggungjawab sosial korporat dan memperkukuh hubungan antara universiti, industri, dan komuniti. Naib Canselor UTM merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan berterusan syarikat-syarikat tersebut.

JOHOR BAHRU,  14 Jan— Keberadaan syarikat hiliran universiti bukan sekadar untuk menjana nilai ekonomi, tetapi untuk memulangkan manfaat kepada komuniti akademik yang menjayakannya. Prinsip ini dizahirkan menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Cek Cura oleh syarikat hiliran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung sempena Kunjungan Naib Canselor UTM ke Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC).

Sebanyak RM53,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan 14 buah syarikat hiliran UTM bagi menyokong kebajikan mahasiswa menerusi Program Menu Rahmah, satu inisiatif yang bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, khususnya dari aspek keperluan makanan harian.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan ekosistem syarikat hiliran UTM dalam memikul tanggungjawab sosial korporat, di samping memperkukuh hubungan strategik antara universiti, industri dan komuniti.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim  dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat hiliran yang terlibat atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap komuniti kampus.

“Hubungan antara universiti dan syarikat hiliran perlu diperkukuh secara mampan. Ia bukan sekadar berkaitan pengkomersilan teknologi, tetapi juga menyentuh tanggungjawab bersama dalam menyokong kebajikan pelajar dan pembangunan insan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa agenda inovasi dan pengkomersilan universiti perlu terus dipacu secara strategik dan berimpak tinggi, selari dengan hala tuju UTM ASCEND 2030 yang menekankan penyelesaian kepada masalah sebenar masyarakat.

“Kejayaan pengkomersilan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pulangan kewangan atau penubuhan syarikat hiliran. Yang lebih penting ialah sejauh mana inovasi universiti memberi impak sebenar kepada komuniti, boleh diguna pakai, mudah diakses dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” tambah beliau lagi

Dalam hal ini, beliau berkata Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) bersama UTIM Sdn. Bhd. perlu terus memperkukuh peranan sebagai pemudah cara bagi meningkatkan keupayaan pengkomersilan dan pembangunan syarikat hiliran UTM secara lebih menyeluruh.

Untuk rekod, pada tahun 2025, UTM merekodkan penjanaan hasil sebanyak RM1.11 juta daripada aktiviti pengkomersilan harta intelek, merangkumi yuran pelesenan, sumbangan royalti dan penjualan produk. Dalam tempoh sama, 25 produk baharu berjaya dikomersialkan, manakala 22 syarikat hiliran UTM kekal aktif mengkomersialkan harta intelek universiti melalui pelesenan teknologi.

Sementara itu, satu sesi perbincangan khas bersama syarikat hiliran UTM turut diadakan dan dimoderasikan oleh Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Ketua Taskforce Syarikat Hiliran UTM. Sesi tersebut menjadi platform dua hala yang konstruktif untuk membincangkan isu, cabaran serta cadangan penambahbaikan berkaitan ekosistem pengkomersilan dan pembangunan syarikat hiliran universiti.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan sokongan berterusan daripada universiti, penambahbaikan proses pengkomersilan, penjenamaan produk, peluasan pasaran serta peranan strategik syarikat hiliran dalam memastikan inovasi universiti yang dikomersialkan benar-benar memberi manfaat dan impak kepada industri serta komuniti.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen UTM dalam membangunkan ekosistem inovasi dan pengkomersilan yang holistik, berdaya saing serta berteraskan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan aspirasi universiti sebagai pemacu inovasi berimpak tinggi untuk negara dan moto Menginovasi Penyelesaian Lestari.

 

Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Pengurusan ICC sempena sesi Kunjungan Naib Canselor ke UTM ICC

 

Naib Canselor mengadakan sesi lawatan ke pejabat ICC dan fasiliti inkubator di Technovation Park

 

Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Ketua Taskforce Syarikat Hiliran UTM membentangkan isu semasa sesi Perbincangan Khas bersama Syarikat Hiliran

 

Antara ahli syarikat Hiliran UTM yang hadir pada Sesi Perbincangan Khas Bersama Syarikat Hiliran UTM

 

Penulis: Ts. Dr. Norhayati Mohamed Noor, AMIChemE (Pegawai Strategik UTM ICC), Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Ketua Taskforce Syarikat Hiliran UTM dan Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, RTTP (Pengarah, UTM ICC)

Gambar: Pusat Komunikasi Korporat, UTM

Explore More

UTM Open Day