December 11, 2025

JOHOR BAHRU, 10 Dis – Wacana Intelektual MADANI Siri 12/2025 anjuran Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuka perbincangan signifikan mengenai peranan kecerdasan buatan atau AI apabila ia dibangunkan dan diguna pakai berlandaskan nilai Tauhid sebagai tonggak pembentukan ummah. Program yang berlangsung di Dewan Konvensyen Fakulti Pengurusan itu menampilkan dua tokoh ilmuwan berpengaruh iaitu Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus sebagai panel pertama dan Prof. Dr. Rose Alinda Alias sebagai panel kedua, manakala sesi dipengerusikan oleh Prof. Dr. Norhayati Zakuan selaku moderator.

Prof. Dr. Norhayati mempengerusikan Wacana Intelektual MADANI Siri 12/2025 sebagai moderator

Dalam perbincangan awal, Prof. Durrishah menjelaskan bahawa AI berteraskan Tauhid membawa maksud penyatuan manusia sebagai ummah meskipun berbeza latar. Prinsip keesaan menjadi asas penyatuan pemikiran dan harus diterjemah dalam dasar pembangunan masa depan. Beliau menegaskan bahawa nilai Tauhid menuntut setiap tindakan bermula dengan niat yang betul, kerana niat menentukan hala tuju dan kesan terhadap masyarakat. Walaupun dunia moden sarat dengan aliran pemikiran yang pelbagai, beliau yakin nilai Tauhid tetap mampu diterima jika diperjelas dengan cara yang tepat.

Beliau turut menekankan amanah pemimpin dalam memastikan tadbir urus AI berpaksikan nilai. Ketua institusi perlu mengintegrasikan nilai Tauhid dalam keputusan, termasuk memahami keperluan manusia dan persekitaran. Pelaksanaan digitalisasi di institusi pendidikan memerlukan kos dan perancangan teliti, namun penting untuk mewujudkan pentadbiran yang cekap. Menurut beliau, teknologi sememangnya bermanfaat tetapi mesti diguna dengan nilai kemanusiaan agar tidak disalah guna dalam ekosistem digital yang semakin kompleks.

”Manusia tidak boleh meletakkan AI di tempat yang lebih tinggi daripada dirinya. AI ialah ciptaan manusia dan tidak memiliki kuasa mutlak. Oleh itu, pengguna perlu berpegang kepada nilai Tauhid agar teknologi tidak menguasai manusia,” ujar beliau.

Beliau menegaskan pentingnya usaha dan tawakal sebagai prinsip hidup; manusia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi sehingga mengabaikan peranan akal dan ikhtiar.

Prof. Emerita Dr. Durrishah menyampaikan pandangan mengenai AI berteraskan nilai Tauhid kepada hadirin

Panel kedua, Prof. Dr. Rose Alinda, menyatakan bahawa AI harus dilihat sebagai alat manakala manusia ialah pengguna yang menentukan hala tuju penggunaan. Nilai Tauhid bukan bertujuan mengislamkan teknologi, tetapi membentuk manusia sebagai khalifah yang bijaksana dalam mengurus ciptaan. Keupayaan berfikir dan menilai menjadikan manusia mampu menentukan manfaat teknologi tanpa rasa takut akan digantikan oleh mesin.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan algoritma perlu bermula dengan niat yang betul. Dalam konteks pendidikan, pelajar lazimnya terus diajar kod dan algoritma tanpa memahami asas etika.

”Nilai, amanah dan niat mesti menjadi asas pembelajaran teknologi. AI boleh diklasifikasi sebagai halal, haram atau syubhah bergantung kepada niat dan kegunaannya. Empat elemen utama dalam penggunaan AI yang mesti diambil kira ialah niat, ilmu, amalan beretika dan rahmah terhadap masyarakat,” jelas beliau.

Mengulas kedudukan Malaysia dalam pembangunan AI yang beretika, Prof. Rose berkata kurikulum perlu dirangka secara inklusif agar pembinaan bakat teknologi melibatkan seluruh lapisan masyarakat. Teknologi tanpa tadbir urus yang baik tidak mampu menjamin keadilan. Oleh itu, kerjasama antara pakar teknologi, syariah dan undang-undang penting bagi memastikan dasar negara sentiasa seimbang dan berpaksikan nilai.

Beliau turut menyentuh peranan wanita dalam pembangunan AI. Wanita perlu diperkasa kerana mereka mempunyai kepekaan terhadap nilai dan perubahan sosial. Namun keseimbangan tetap perlu agar pembangunan teknologi berlaku secara kolektif bersama kaum lelaki.

Prof. Dr. Rose Alinda menekankan peranan etika dalam pembangunan teknologi AI

Wacana Intelektual MADANI ini merumuskan bahawa AI berteraskan Tauhid bukan sekadar slogan, tetapi kerangka pemikiran yang menuntut niat, amanah, ilmu dan tanggungjawab. Wacana ini menyerlahkan kepentingan memimpin teknologi dengan nilai ketuhanan agar pembangunan masa depan memacu kemajuan tanpa mengabaikan asas kemanusiaan.

Hadirin termasuk pengurusan tertinggi universiti mengikuti perbincangan ilmiah mengenai AI dan pembangunan ummah di Fakulti Pengurusan

Explore More

UTM Open Day