JOHOR BAHRU, 15 Disember 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi lawatan rasmi Presiden Wuhan University of Technology (WUT), China, Prof. Wang Fazhou, yang disambut oleh Naib Canselor UTM, Prof. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Kediaman Rasmi Naib Canselor, UTM Johor Bahru, baru-baru ini. Lawatan berprofil tinggi ini mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua institusi serta komitmen bersama untuk memperluas kolaborasi strategik di peringkat global.

Lawatan delegasi WUT tersebut telah diserikan dengan sesi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbol pengukuhan kerjasama dua hala antara UTM dan WUT. Pemeteraian MoU ini menjadi landasan penting dalam memperkukuh hubungan institusi, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat.
Berdasarkan kandungan MoU, kerjasama antara kedua-dua universiti merangkumi pelaksanaan aktiviti akademik dan penyelidikan bersama, pertukaran staf akademik dan pelajar, penganjuran seminar, bengkel serta persidangan ilmiah, perkongsian kepakaran dan kemudahan penyelidikan, selain pelaksanaan inisiatif lain yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa. Skop kerjasama yang menyeluruh ini dijangka dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memperkasa ekosistem penyelidikan berimpak tinggi.

Menurut Prof. Mohd Shafry, kerjasama strategik ini selari dengan aspirasi UTM untuk memperkukuh jaringan antarabangsa serta meningkatkan keterlihatan universiti di persada global. Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi bersama universiti terkemuka seperti WUT mampu membuka peluang penyelidikan kolaboratif, memperluas mobiliti akademik dan melahirkan graduan global serta penyelidik yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Prof. Wang Fazhou menyatakan bahawa WUT amat menghargai hubungan erat yang terjalin bersama UTM dan melihat MoU ini sebagai platform strategik untuk memperluas kerjasama akademik dan penyelidikan. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini mampu menyumbang kepada pembangunan bakat global serta penghasilan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan industri.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini bin Ahmad, serta barisan pengurusan dan wakil akademik kedua-dua institusi, sekali gus mencerminkan sokongan padu kepimpinan universiti terhadap agenda kesohoran global UTM.
Secara keseluruhan, kerjasama strategik antara UTM dan WUT ini menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu, pemindahan teknologi serta inovasi penyelesaian lestari, sejajar dengan peranan universiti sebagai peneraju kecemerlangan akademik dan penyelidikan demi manfaat sejagat.
