PONTIAN, 13 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kesedaran komuniti terhadap kepentingan kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi Kursus Pengurusan Bencana di bawah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) dengan menganjurkan Program Gempur Bencana 2025 bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sinaran Chokoh, Serkat, Pontian, Johor.
Program berbentuk khidmat masyarakat ini melibatkan seramai 24 orang pelajar UTM serta penyertaan aktif komuniti setempat yang terdiri daripada penduduk Kampung Chokoh dan murid sekolah rendah. Penganjurannya bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan pengurusan bencana di samping menerapkan nilai tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar universiti.
Program ini turut menerima tajaan daripada Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. yang menyumbangkan hamper barangan keperluan kepada peserta dan penduduk kampung. Selain itu, Aliyah Rizq Farm Pte. Ltd. telah menaja sebanyak 30 anak pokok herba kelor atau nama saintifiknya Moringa oleifera. Inisiatif penanaman herba ini dijangka mula memberikan hasil selepas enam bulan apabila tanaman mencapai tahap matang. Hasil tanaman tersebut berpotensi untuk dijual kepada pembeli yang telah dikenal pasti, sekali gus menjana sumber pendapatan berterusan kepada pihak sekolah serta menyokong kelestarian ekonomi komuniti setempat.
Program ini juga menerima sokongan daripada Pejabat Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM serta Water Revelation Sdn. Bhd. yang masing-masing menyumbangkan cenderamata dan minuman sepanjang program. Sokongan ini membantu memastikan kebajikan peserta dan pelajar UTM sentiasa terjaga, khususnya dari aspek kesihatan dan hidrasi sepanjang aktiviti dijalankan.


Pada sesi pagi, majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Serkat sebelum diteruskan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan dan persekitaran sekolah. Aktiviti ini merangkumi pembersihan bilik yang berfungsi sebagai Pusat Perlindungan Sementara (PPS) bagi komuniti Kampung Chokoh sekiranya berlaku bencana. Program seterusnya diteruskan dengan aktiviti penanaman pokok bersama komuniti, pihak sekolah dan rakan industri daripada Aliyah Rizq Farm sebagai usaha menyokong kelestarian alam sekitar dan meningkatkan daya tahan komuniti setempat.
Sesi seterusnya melibatkan aktiviti explorace yang dirangka bagi menguji tahap kerjasama, komunikasi dan kefahaman peserta berkaitan pengurusan bencana. Program diteruskan pada sebelah petang dengan sesi ilmiah yang memberi fokus kepada taklimat pengurusan bencana alam, sekali gus melengkapkan peserta dengan pengetahuan asas dan kesedaran awal terhadap risiko serta langkah kesiapsiagaan.


Bagi para pelajar UTM, program ini menjadi platform pembelajaran luar bilik kuliah yang menguji kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Ramai peserta menyifatkan pengalaman berinteraksi secara langsung dengan murid sekolah dan penduduk kampung sebagai peluang berharga untuk memahami realiti pengurusan bencana di peringkat akar umbi.
Pihak sekolah pula menyambut baik penganjuran program ini dan menghargai hubungan erat yang terjalin dengan UTM. Pengalaman bersama mahasiswa universiti dilihat mampu memotivasikan murid serta membuka perspektif baharu tentang kepentingan ilmu, kesiapsiagaan dan peranan komuniti dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.