JOHOR BAHRU, 14 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui projek IPRK 5.0: Misi Hijau Naturalis Cilik telah menganjurkan Majlis Perasmian Kebun Naturalis Cilik di Tabika KEMAS Impian Sri Pulai, Iskandar Puteri. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pendidikan kelestarian kanak-kanak melalui pendekatan pembelajaran berasaskan alam atau nature-based learning yang menekankan pengalaman langsung dan interaksi dengan persekitaran semula jadi.
Projek ini diterajui oleh Dr. Nur Husna Abd Wahid selaku Ketua Projek, bersama barisan ahli projek yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Nornazira Suhairom, Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashaari, Dr. Nurul Farhana Jumaat dan Dr. Ahmad Nabil Md Nasir.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Iskandar Puteri, New Kian Kiong, dengan kehadiran wakil Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Mohammad Nasiruddin, Pegawai KEMAS, Siti Fariza Ghazali, ibu bapa, pendidik serta komuniti setempat Taman Sri Pulai. Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan persekitaran pembelajaran awal yang kondusif, inklusif dan mampan di peringkat akar umbi.

Kebun Naturalis Cilik ini dibangunkan sepenuhnya daripada ruang kosong yang sebelum ini tidak dimanfaatkan, sebelum ditransformasikan menjadi ruang pembelajaran luar yang kondusif, selamat dan mesra kanak-kanak. Pembangunan kebun ini dilaksanakan oleh pelajar Program Pendidikan Reka Bentuk dan Teknologi, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM. Antara komponen utama kebun ini termasuk batas sayur berkonsepkan hugelkultur yang menggalakkan amalan pertanian lestari, laluan stepping stone yang direka khas bagi menyokong pergerakan selamat kanak-kanak, kawasan kompos, serta landskap bunga dan tanaman herba yang berfungsi sebagai bahan pembelajaran berasaskan alam semula jadi.


Selain itu, sistem paip air turut direka bentuk dan dibangunkan bagi membolehkan kanak-kanak mempelajari amalan asas penjagaan tanaman melalui aktiviti menyiram secara kendiri. Elemen mural pendidikan yang menghiasi bangunan tabika bukan sahaja menceriakan persekitaran, malah berfungsi sebagai medium visual yang menyokong pembelajaran bertemakan alam, sains dan kelestarian.
Kesemua elemen ini dirangka secara holistik sebagai medium pembelajaran interaktif yang menyokong perkembangan kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna dan kontekstual. Selain pembangunan fizikal, modul pembelajaran bersepadu turut dibangunkan bagi menyokong penggunaan ruang kebun secara optimum. Modul ini menggabungkan pembelajaran dalam bilik darjah dan pembelajaran luar, sekali gus membolehkan kanak-kanak mengaitkan konsep teori dengan pengalaman sebenar melalui aktiviti berasaskan pengalaman, permainan dan penerokaan deria.
Pelaksanaan projek Misi Hijau Naturalis Cilik di bawah geran IPRK 5.0 mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperluaskan impak kepakaran universiti ke luar kampus melalui kolaborasi strategik bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari.