December 11, 2025

UTM perkasa kedudukan serantau dengan penganjuran ASEAN Quantum Summit pertama

JOHOR BAHRU, 11 Dis — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited dalam mengukuhkan peranan sebagai peneraju inovasi serantau apabila selesai menganjurkan Majlis Perasmian ASEAN Quantum Summit 2025 di Dewan Sultan Iskandar, satu perhimpunan saintifik yang menandakan langkah maju rantau Asia Tenggara dalam bidang sains dan teknologi kuantum. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, dan menghimpunkan lebih 200 delegasi dari semua 10 Negara Anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta Jepun, selain penyertaan seramai 2,632 pelajar, pembuat dasar, penggiat industri dan tokoh penyelidik.

Program ini dianjurkan oleh UTM dan UTMSPACE dengan sokongan universiti-universiti Malaysia serta Malaysia Quantum Information Initiative (MyQI). ASEAN Quantum Summit merupakan platform pertama seumpamanya di peringkat ASEAN yang memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan serantau dalam teknologi kuantum. Penganjuran ini selari dengan agenda ASEAN Malaysia 2025: Inclusivity and Sustainability dan bertepatan dengan sambutan Tahun Antarabangsa Sains dan Teknologi Kuantum (IYQ2025).

Dalam ucapan perasmian, YAB Dato’ Onn Hafiz menegaskan komitmen Johor untuk memacu pertumbuhan teknologi mendalam ketika Malaysia bersiap mengambil alih Kerusi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025. Beliau menyatakan bahawa teknologi kuantum mampu memberi impak besar terhadap pembangunan industri negara, pengukuhan infrastruktur digital dan penyelesaian cabaran masyarakat yang semakin kompleks.

Beliau turut menekankan kesediaan Johor untuk menerajui transformasi ini melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang disifatkannya sebagai pemangkin kepada kemasukan pelaburan dalam bidang pengkomputeran kuantum dan penciptaan koridor inovasi yang menghubungkan kedua-dua wilayah. Menurut beliau, hubungan Johor dan Singapura bukan sekadar bersambungan, malah terjalin erat dalam usaha kemajuan bersama. Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia sedang mempergiat usaha merangka Dasar Kuantum Negara di bawah Belanjawan 2026 sebagai langkah memperkukuh kedudukan negara dalam landskap kuantum global.

Turut diumumkan ialah peruntukan RM500 ribu bagi penambahbaikan Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM sebagai lokasi strategik acara bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, menyampaikan ucapan perasmian ASEAN Quantum Summit 2025, menekankan komitmen Johor dan Malaysia dalam pembangunan teknologi kuantum

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam ucapan alu-aluan menekankan kepentingan ASEAN membina kekuatan kolektif dalam keupayaan saintifik dan kepimpinan penyelidikan. Beliau menegaskan bahawa UTM komited terhadap pembangunan teknologi yang membawa manfaat kepada masyarakat, selaras dengan falsafah universiti, “Kerana Tuhan untuk Manusia”.

Beliau turut mengumumkan kejayaan penting UTM dalam penyelidikan kuantum, iaitu kejayaan melaksanakan komunikasi kuantum selamat antara UTM dan Pusat Data JS-SEZ di Iskandar Puteri melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), TM, MIMOS dan IDQuantique. Langkah seterusnya ialah memperluaskan rangkaian tersebut ke sektor kewangan di Forest City sebelum diperluas lagi ke Singapura.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan ucapan alu-aluan kepada sidang hadirin

ASEAN Quantum Summit 2025 menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026–2035, yang mengenal pasti sains kuantum sebagai bidang strategik baharu demi pembangunan jangka panjang rantau ini. Sebagai sebahagian daripada program, satu lawatan teknikal ke Centre for Quantum Technologies (CQT) di Singapura akan diadakan bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan rangkaian penyelidikan.

Majlis perasmian ini menandakan kesatuan usaha ASEAN dalam membangunkan ekosistem kuantum yang selamat, inklusif dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan, dengan sokongan pemimpin kerajaan, komuniti penyelidik dan rakan industri.

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi kketika menyempurnakan gimik perasmian sidang kemuncak kuantum pertama ASEAN

Majlis turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen kerjasama penting yang disaksikan oleh Dato’ Onn Hafiz. Pertukaran pertama melibatkan UTM dan Center for Quantum Information and Quantum Biology (QIQB), Universiti Osaka, diwakili oleh Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Pengarah QIQB, Prof. Dr. Masahiro Kitagawa. Seterusnya ialah pertukaran antara UTM dan AQSolotl Pte. Ltd., diwakili oleh Prof. Dr. Mohd Shafry dan Pengasas Bersama syarikat tersebut, Prof. Madya Dr. Rainer Dumke. Pertukaran ketiga melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), diwakili oleh Naib Canselor Prof. Dr. Sufian Jusoh, yang memeterai kerjasama dengan Global Research and Development Center for Business by Quantum-AI Technology (G-QUAT) di bawah AIST Jepun, diwakili oleh Prof. Dr. Masu Kazuya.

Pertukaran dokumen kerjasama antara UTM dan Center for Quantum Information and Quantum Biology (QIQB), Universiti Osaka
Pertukaran kerjasama antara UTM dan AQSolotl Pte. Ltd.
UKM memeterai kerjasama dengan Global Research and Development Center for Business by Quantum-AI Technology (G-QUAT) di bawah AIST Jepun

Inisiatif penganjuran ASEAN Quantum Summit 2025 oleh UTM bukan sahaja memperlihatkan keupayaan universiti dalam memimpin pembangunan sains dan teknologi kuantum di peringkat serantau, malah membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan, kolaborasi inovatif dan penyediaan generasi saintis serta penyelidik masa hadapan. Dengan kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan, usaha ini dijangka memberi impak jangka panjang kepada pembangunan teknologi kuantum di Malaysia dan Asia Tenggara, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju dalam era inovasi global.

Explore More

UTM Open Day