December 24, 2025

UTM dan Universitas Negeri Malang kukuhkan jalinan budaya melalui Program Sehati Sejiwa

JOHOR BAHRU, 2 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Hussein Onn, mengukuhkan aspirasi pelajar global dengan menjalin kolaborasi bersama Universitas Negeri Malang (UM) menerusi Program Sehati Sejiwa yang berlangsung di Dewan Sri Merbau, KTHO. Program ini disertai 32 pelajar UTM dan 18 pelajar UM, sekali gus menandakan kejayaan hubungan dua hala yang terjalin antara kedua-dua institusi pendidikan.

Program kolaboratif tersebut bertujuan memperluas hubungan sosial dan budaya antara Malaysia dan Indonesia, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 16) yang menekankan keamanan, keadilan dan institusi yang kuat. Program seperti ini memberikan ruang kepada pelajar untuk membina jaringan persahabatan merentasi sempadan, seterusnya memperkukuh kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya serantau.

Melalui siri aktiviti yang tersusun dalam suasana mesra, para peserta berpeluang bekerjasama dalam pelbagai tugasan, memahami cara kerja rakan dari negara jiran serta membina keyakinan untuk berinteraksi dalam konteks pelbagai budaya.

Menurut Pengarah Program, Aleya Khaireen, Sehati Sejiwa membuka ruang untuk pelajar UTM dan UM berinteraksi dengan lebih dekat di samping mempelajari latar budaya masing-masing.

“Program ini bukan sekadar memperkenalkan budaya, tetapi juga mendidik pelajar tentang nilai toleransi, menghargai perbezaan dan membina semangat kerjasama,” katanya.

Antara aktiviti utama ialah sesi riadah petang yang memberi peluang kepada pelajar kedua-dua institusi untuk berkenalan, bertukar pandangan dan menikmati persembahan seni tradisional yang dipersembahkan oleh masing-masing.

Pelajar UTM dan UM menyertai aktiviti riadah bersama di Dewan Sri Merbau

Pelajar UM mempersembahkan nyanyian, tarian Saman dan Topeng Bapang, manakala pelajar KTHO memeriahkan program dengan persembahan nyanyian, tarian Ngajat Tampi dan Joget Berhibur. Persembahan ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah menyemai kesedaran budaya serta rasa hormat terhadap keunikan seni kedua-dua negara.

Persembahan nyanyian oleh pelajar KTHO

Program ini turut dihadiri oleh Mohd Fauzi Abd Rahman, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, Pengetua KTHO.

Mohd Fauzi menyampaikan ucapan perasmian program

Kehadiran wakil pengurusan UTM jelas menggambarkan sokongan padu terhadap usaha memupuk interaksi budaya dan persahabatan dalam kalangan pelajar. Dalam ucapannya, Mohd Fauzi menegaskan bahawa program seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara UTM dan UM sekali gus memperkaya penghargaan terhadap seni dan warisan budaya serantau.

Program Sehati Sejiwa bukan sekadar memperkenalkan budaya, tetapi turut menanam nilai toleransi, saling menghargai dan semangat kerjasama dalam kalangan generasi muda mengenai nilai yang menjadi asas kepada keharmonian dan keamanan serantau.

Diharapkan program ini terus menjadi platform bermakna untuk mengeratkan persahabatan dan memperkukuh pemahaman budaya antara Malaysia dan Indonesia, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.

Oleh Muhammad Nur Firdaus (Penulis) dan Crystal Belinda (Penyunting)

Explore More

UTM Open Day