February 15, 2026

Tiga Pelajar Pascasiswazah Terima Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM

🎧 Audio Shortcast

JOHOR BAHRU, 30 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat mahasiswa menerusi penganjuran Sesi Penyerahan Sijil Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM, yang berlangsung di Ruang Tamu, Pejabat Naib Canselor, hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan universiti terhadap pelajar berprestasi tinggi yang menunjukkan potensi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Menurut beliau, inisiatif biasiswa ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan akademik dan penyelidikan dapat dilaksanakan secara lestari.

“UTM sentiasa komited menyediakan sokongan menyeluruh bagi memastikan perjalanan akademik dan penyelidikan universiti dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Universiti ini berperanan melahirkan bakat terbaik negara yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui inovasi serta penyelesaian lestari,” katanya.

Seramai tiga orang pelajar pascasiswazah telah menerima Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM bagi sesi ini, iaitu Mohd Amirul Mukminin Latirin dari Fakulti Sains, Saranya Devi a/p K. Pavithran dari Fakulti Pengurusan, serta Megat Irfan Zackry bin Ismail dari Fakulti Komputeran.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor UTM, Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim, memaklumkan bahawa dana biasiswa ini merupakan hasil sumbangan berterusan warga profesor UTM, termasuk beberapa staf pentadbiran.

“Dana ini dikumpulkan hasil komitmen bersama dalam kalangan Profesor UTM yang prihatin terhadap kebajikan pelajar menerusi sumbangan tetap melalui potongan gaji bulanan, sumbangan one-off, serta sumbangan luar yang diusahakan oleh Profesor.”

“Ia mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian serta mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

UTM terus komited memperkasa budaya kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat melalui pelbagai inisiatif strategik, selaras dengan aspirasi universiti sebagai peneraju inovasi dan penyelesaian lestari demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

 

Penerima Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM bersama Naib Canselor, Pengerusi Majlis Profesor UTM dan Ahli Majlis Profesor UTM

 

Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr Mohd Shafry bin Mohd Rahim menyampaikan ucapan kepada penerima biasiswa dan para profesor.

 

 

Naib Canselor menyampaikan Sijil Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM kepada Mohd Amirul Mukminin Latirin dari Fakulti Sains

 

Naib Canselor menyampaikan Sijil Biasiswa Endowmen Majlis Profesor UTM kepada Saranya Devi a/p K. Pavithran dari Fakulti Pengurusan

Explore More

UTM Open Day