JOHOR BAHRU, 17 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan ucapan tahniah kepada tiga alumni yang telah dilantik sebagai ahli kabinet baharu kerajaan MADANI berkuat kuasa hari ini. Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan negara terhadap keupayaan serta kepimpinan graduan UTM dalam menyumbang kepada tadbir urus dan pembangunan negara.
Alumni yang dilantik ialah YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Ekonomi, graduan Sarjana Kejuruteraan (Elektrik–Elektronik dan Telekomunikasi) (2013), Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik–Elektronik) (2004) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (2000).
Turut dilantik ialah YB Tuan Haji Adli Zahari sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, alumni UTM yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (1995), serta YB Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (2000).
Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata pelantikan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan institusi pendidikan tinggi dalam membentuk pemimpin berwibawa dan berintegriti.
“Universiti Teknologi Malaysia berasa amat berbangga melihat alumni Universiti terus diberi kepercayaan untuk memikul amanah kepimpinan di peringkat negara. Pelantikan ini mencerminkan kekuatan ekosistem pendidikan UTM dalam membentuk graduan yang berpengetahuan, berintegriti dan bersedia menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara berpaksikan kepada moto keramat kami “Kerana Tuhan untuk Manusia,” katanya.
UTM turut berbangga melihat alumni universiti terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan awam di peringkat tertinggi negara, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik dan profesional, malah berteraskan nilai, etika serta semangat khidmat kepada masyarakat dan negara, sejajar aspirasi Malaysia MADANI.
“Pelantikan alumni UTM dalam barisan kabinet ini sekaligus memperlihatkan kekuatan dan kesinambungan sumbangan universiti dalam melahirkan graduan yang berupaya memikul tanggungjawab kepimpinan negara merentasi pelbagai sektor strategik.”, tambah beliau lagi.
UTM kekal komited untuk memperkasa pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat berimpak tinggi, selaras dengan peranannya sebagai universiti penyelidikan yang menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat.


