JOHOR BAHRU, 4 Dis — Inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) terus menjadi platform strategik dalam mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat masyarakat selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Pendekatan ini menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman, di mana pelajar universiti mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara langsung dalam konteks komuniti sebenar.
Sejajar dengan matlamat tersebut, seramai 88 orang pelajar Tahun 4 Program Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan Projek H.E.R.O (Hope. Endurance. Rise. Overcome.) di Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), UTM dengan penglibatan 80 orang pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majidi Baru 2. Projek ini memfokuskan kepada pembinaan daya ketahanan emosi dan mental dalam kalangan remaja melalui pendekatan psikologi kognitif yang holistik dan inklusif.
Projek H.E.R.O dirangka khusus bagi membantu pelajar sekolah membina keyakinan diri, kematangan emosi serta kemahiran mengurus cabaran akademik dan transisi remaja, khususnya dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Elemen harapan, daya tahan, kebangkitan diri dan keupayaan menyelesaikan masalah diterapkan secara sistematik bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, positif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Projek ini diketuai oleh Muhammad Najib Aslam Ahmad dan Nurin Jazlina Hishamudin selaku Pengarah Projek, dengan sokongan barisan Majlis Tertinggi, Ahli Jawatankuasa serta fasilitator dalam kalangan pelajar Psikologi Tahun 4. Pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dilaksanakan, antaranya majlis perasmian, aktiviti pembinaan semangat kumpulan, sesi perkongsian motivasi, bengkel kemahiran belajar, latihan eksplorasi berkumpulan dan sesi refleksi kendiri.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal-Ehwal Pelajar) FSSH, Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik, yang menzahirkan sokongan berterusan fakulti terhadap pelaksanaan SULAM sebagai medium pembelajaran berimpak tinggi dan berorientasikan komuniti. Turut hadir wakil SMK Majidi Baru 2, Haji Ustaz Mahpuz Teh, yang merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama erat antara pihak sekolah dan UTM.


Bagi memeriahkan suasana, sesi energizer dikendalikan oleh Miz Adlina Batrisyia Indra sebelum para peserta dibahagikan kepada 16 kumpulan bagi aktiviti cipta sorakan kumpulan. Setiap kumpulan dinamakan sempena watak-watak hero popular bagi menyuntik elemen keseronokan, kreativiti dan keyakinan diri.
Slot perkongsian utama dimulakan dengan sesi Bina Minda Juara yang dikendalikan oleh Muhammad Hafizzuddin Mohd Ikhwan, Ailin Yasmin Mohamed Khirul Nizzuan dan Nur Danisha Abd Rashid. Sesi ini memberi penekanan kepada perubahan kerangka pemikiran, khususnya dalam membina kepercayaan diri dan keberanian untuk mencabar batasan diri demi mencapai potensi sebenar.
Slot seterusnya memfokuskan kepada kemahiran belajar berkesan melalui perkongsian oleh Nurin Izzati Kusaini, Raveenah A/P Ramesh dan Jeffrey Firdaus Helmey. Para pelajar diperkenalkan kepada teknik GPTChat (Gali, Paham, Tapis, Borak), iaitu pendekatan pembelajaran pintar yang membantu memahami kandungan akademik secara lebih sistematik dan interaktif.
Pada sebelah petang, aktiviti latihan eksplorasi berkumpulan dilaksanakan sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman. Melalui tugasan mencabar yang memerlukan kerjasama dan pemikiran kritis, pelajar mengasah kemahiran komunikasi, membuat keputusan serta membina keyakinan diri. Aktiviti ini turut mengukuhkan hubungan sosial dan kesedaran terhadap kekuatan diri masing-masing.
Program diteruskan dengan sesi refleksi kendiri yang dibimbing oleh fasilitator bagi membantu pelajar menilai pengalaman, pembelajaran serta perubahan pemikiran yang dialami sepanjang program. Sesi ini memberi ruang kepada pelajar mengenal pasti nilai diri, matlamat peribadi dan motivasi baharu.
Sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan penglibatan aktif peserta, sesi penyampaian hadiah turut diadakan, berfungsi sebagai dorongan psikologi untuk mengekalkan sikap positif dan semangat berdaya tahan.
Program diakhiri dengan majlis penutup yang merumuskan kejayaan Projek H.E.R.O serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. Majlis ini turut menegaskan aspirasi kerjasama berterusan antara UTM dan SMK Majidi Baru 2 dalam memperkasa kesejahteraan dan pembangunan sahsiah pelajar melalui pendekatan psikologi positif. FSSH berhasrat menjadikan SMK Majidi Baru 2 sebagai Sekolah Angkat UTM.

Secara keseluruhan, Projek H.E.R.O di bawah inisiatif SULAM telah berjaya menjadi medium pembelajaran bermakna yang menghubungkan teori akademik dengan amalan sebenar dalam komuniti. Program ini memberi impak positif kepada pelajar sekolah melalui pembinaan daya tahan mental, pemikiran positif dan kemahiran belajar, serta memperkasa mahasiswa UTM dari segi kepimpinan, komunikasi, empati dan aplikasi ilmu psikologi secara praktikal. Kejayaan kolaborasi ini membuktikan peranan signifikan universiti sebagai agen perubahan sosial dalam melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, yakin diri dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Bergambar beramai-ramai
