February 7, 2026

Program Telaah UTM kupas perjuangan dan pemikiran Tan Sri Dr. Ainuddin Wahid

JOHOR BAHRU, 31 Dis – Program Telaah Siri 2/2025 bersama Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlangsung dengan penuh pengisian intelektual menerusi kupasan buku Ainuddin Pejuang ‘Degil’ Melayu, penulisan Fatini Yaacob, di Ruang Terbuka Aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM hari ini.

Program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM itu menampilkan kupasan mendalam oleh Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim selaku penelaah, dengan sesi dipandu oleh moderator Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar. Perbincangan memberi tumpuan kepada pemikiran, prinsip serta perjuangan Allahyarham Tan Sri Dr. Ainuddin Wahid dalam landskap pendidikan tinggi dan kepimpinan Melayu, khususnya dalam penubuhan dan pembentukan jati diri UTM sebagai universiti berteraskan teknologi.

Kupasan Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyentuh asal-usul, falsafah serta ketokohan Tan Sri Dr. Ainuddin Wahid yang bermula sejak awal kehidupan beliau. Perjuangan tokoh tersebut digambarkan sebagai berteraskan nilai Melayu dan Islam, ketegasan prinsip, integriti serta keazaman membela masa depan anak bangsa melalui pendidikan, teknologi dan kejuruteraan. Kisah transformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan seterusnya UTM dihuraikan sebagai manifestasi perjuangan berpanjangan untuk menyediakan peluang pendidikan yang adil dan berkualiti.

Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkongsi kupasan dan analisis buku Ainuddin Pejuang Degil Melayu dalam Program Telaah Siri 2/2025

Menurut beliau, sifat tegas dan “degil” Tan Sri Dr. Ainuddin Wahid perlu difahami dari sudut positif sebagai keteguhan prinsip yang disertai empati dan rasa tanggungjawab. Tokoh tersebut bukan sahaja berperanan sebagai pemimpin institusi, malah dikenali sebagai figura kebapaan yang dekat dengan pelajar, sentiasa berbincang dan prihatin terhadap kebajikan mereka. Nilai integriti, adab dan etika yang diperjuangkan terus menjadi asas penting dalam melahirkan teknokrat yang bukan sahaja cemerlang dari sudut kepakaran, tetapi juga bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Perbincangan turut menyentuh peranan Tan Sri Dr. Ainuddin dalam pembentukan identiti UTM, termasuk penentuan logo universiti yang berteraskan nilai Untuk Tuhan dan Manusia, pengenalan elemen budaya dalam istiadat konvokesyen serta penekanan terhadap pendidikan tatasusila. Semua ini, jelas Prof. Dr. Mohd Shafry, mencerminkan usaha menyeluruh membina universiti yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknologi, tetapi juga kukuh dari sudut jati diri dan moral.

Program Telaah merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai platform diskusi ilmu, bedah buku dan karya yang menghimpunkan tokoh ilmuwan, penulis serta masyarakat umum. Matlamatnya adalah untuk menyemarakkan budaya membaca dan berfikir secara kritis, menyediakan wacana intelektual yang berstruktur dan berimpak, menyokong agenda penyuburan budaya keilmuan nasional serta memperkasa peranan perpustakaan sebagai pusat pemerkasaan ilmu.

Sebahagian sidang hadirin yang menghadiri Program Telaah Siri 2/2025 bersama Naib Canselor UTM di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah

Majlis hari ini turut diserikan dengan Majlis Penutup Program EduVibe 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Perpustakaan UTM dari 27 Oktober hingga Disember 2025 bersempena menyambut kehadiran pelajar baharu dan pelajar sedia ada di kampus UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur. Program ini merupakan inisiatif strategik dalam meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap perkhidmatan perpustakaan serta mempromosikan perpustakaan sebagai hab pembelajaran yang mesra pengguna, kondusif, bersih dan selamat.

Sepanjang penganjuran EduVibe 2025, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dilaksanakan bagi mendekatkan perpustakaan dengan warga kampus dalam suasana yang santai, interaktif dan berinformasi. Majlis penutup diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada warga kampus yang memberikan sokongan serta penglibatan aktif.

Anugerah Peminjam Buku Terbanyak bagi Kategori Akademik disampaikan kepada Ar. Idr. Ts. Dr. Noraslinda Abdul Rahman dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang merekodkan 97 pinjaman buku. Bagi Kategori Staf Pengurusan dan Profesional, anugerah diterima oleh Abd Halim Hassan dari Jabatan Perpustakaan UTM dengan 92 pinjaman. Kategori Pelajar Pascasiswazah dimenangi oleh Huang Luyun dari Fakulti Pengurusan dengan 506 pinjaman, manakala Kategori Pelajar Prasiswazah disandang oleh Zhao Zhengyi dari Fakulti Komputeran dengan 172 pinjaman buku.

Ar. Idr. Ts. Dr. Noraslinda Abdul Rahman menerima Anugerah Peminjam Buku Terbanyak bagi Kategori Akademik

Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan baucar He & She Coffee oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Zulkiflee Yusof, kepada Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, selaku Naib Canselor UTM sebagai tanda sokongan dan kerjasama strategik antara pihak industri dan universiti.

Zulkiflee Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif He & She Coffee menyerahkan baucar secara simbolik kepada Prof. Dr. Mohd Shafry sebagai tanda kerjasama strategik industri dan universiti

Penganjuran Program Telaah Siri 2/2025 mencerminkan komitmen berterusan UTM dan Jabatan Perpustakaan UTM dalam memperkukuh budaya ilmu, mengangkat wacana intelektual serta menyemai nilai kepimpinan dan perjuangan yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat berpengetahuan dan berintegriti.

Explore More

UTM Open Day