February 16, 2026

Pelajar RBT UTM perkasa TVET di SMK Pulai Jaya

JOHOR BAHRU, 1 Dis – Seramai 27 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengikuti Kursus Sosiologi Pendidikan (SHPP4062-05) telah melaksanakan sebuah program Service Learning (SULAM) bertajuk TVET dan Komuniti Jelajah Kerjaya Masa Hadapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulai Jaya. Program ini melibatkan penyertaan seramai 80 orang murid Tingkatan 3 dan bertujuan meningkatkan kesedaran serta kefahaman murid terhadap kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu laluan pendidikan dan kerjaya yang berdaya saing pada masa hadapan.

Pelaksanaan program ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi melalui inisiatif Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, penglibatan komuniti serta pembangunan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar universiti. Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Keempat, iaitu memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif, saksama dan relevan dengan keperluan semasa masyarakat serta pasaran pekerjaan.
Pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Teknologi dengan Pendidikan (Reka Bentuk dan Teknologi), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM Johor Bahru

Program dimulakan dengan sesi perkongsian kerjaya oleh Ts. Rosli Sha’ban, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan TVET, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional. Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan peranan strategik TVET dalam pembangunan negara, khususnya dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan kemajuan industri. Beliau turut menghuraikan laluan pendidikan yang ditawarkan melalui Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik, selain prospek kerjaya dalam pelbagai bidang berasaskan kemahiran. Perkongsian ini memberikan pendedahan awal kepada murid tentang kepelbagaian pilihan pendidikan pasca menengah serta membantu mereka membuat pertimbangan kerjaya yang lebih bermaklumat.

Sesi interaksi penceramah bersama murid
Sesi perkongsian bersama alumni Kolej Vokasional

Seterusnya, pelajar UTM telah mengendalikan beberapa aktiviti praktikal berbentuk hands-on sebagai pendekatan pembelajaran aktif untuk murid sekolah. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah aktiviti menghias bento cake yang menggabungkan elemen kreativiti, kemahiran asas kulinari dan keusahawanan, serta aktiviti penanaman pokok herba yang selari dengan konsep pendidikan hijau dan pendedahan kepada asas pertanian moden. Sepanjang pelaksanaan aktiviti ini, pelajar UTM berperanan sebagai fasilitator, sekali gus memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam konteks pembelajaran sebenar.

Aktiviti menghias bento cake

Maklum balas yang diterima daripada murid Tingkatan 3 menunjukkan peningkatan minat terhadap bidang TVET serta pemahaman yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan dan kerjaya berasaskan kemahiran. Bagi pelajar UTM pula, penglibatan dalam program SULAM ini memberikan pengalaman pembelajaran autentik melalui perancangan dan pengurusan program, interaksi langsung dengan komuniti serta pengaplikasian teori sosiologi pendidikan dalam situasi sebenar. Program ini diakhiri dengan majlis penutup, penyampaian cenderahati dan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program tersebut.

Explore More

UTM Open Day