JOHOR BAHRU, 13 Dis – Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan Program Sekolah Lestari Mini (SLM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pulai Emas bagi memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan murid sekolah rendah menerusi pendekatan interaktif dan pembelajaran berasaskan pengalaman. Program ini berjaya meningkatkan pemahaman murid terhadap konsep 3R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (Kitar Semula), serta Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG), di samping menyemai semangat kerjasama dan kreativiti sejak peringkat awal persekolahan.
Program ini dirangka sebagai platform pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai kepentingan memelihara alam sekitar serta peranan individu dalam menyokong pembangunan mampan. Pendekatan pembelajaran yang santai dan menyeronokkan telah membantu murid memahami isu kelestarian dengan lebih berkesan, bermakna dan dekat dengan pengalaman seharian mereka.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Ifwat Idraki Shyrim, diikuti oleh ucapan Guru Besar SK Taman Pulai Emas, Sairah Husin@Hussien. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan alam sekitar serta kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam membentuk generasi yang peka terhadap isu kelestarian dan tanggungjawab sosial. Kerjasama ini dilihat berupaya memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah murid, selain mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.

Seterusnya, murid menyertai dua sesi kuiz bagi menilai tahap kefahaman mereka berkaitan konsep 3R dan beberapa SDG terpilih, antaranya SDG 4 (Pendidikan Bermutu), 6 (Air Bersih dan Sanitasi), 9 (Industri, Inovasi dan Prasarana), 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan), 13 (Tindakan Iklim), 15 (Kehidupan di Darat) dan 17 (Kerjasama demi Matlamat). Aktiviti ini bukan sahaja menguji pengetahuan sedia ada, malah menggalakkan murid berfikir secara kritikal serta bekerjasama dalam kumpulan. Dapatan daripada sesi kuiz menunjukkan peningkatan pengetahuan yang ketara, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pemindahan ilmu melalui kaedah pembelajaran aktif dan interaktif yang diterapkan oleh mahasiswa UTM.

Aktiviti diteruskan dengan program gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, diikuti dengan pengasingan sisa pepejal mengikut kategori kertas, plastik dan logam. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh murid dan mahasiswa membolehkan aktiviti ini diselesaikan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. Kemuncak program ialah penganjuran Pertandingan Kitar Semula Jadi Seni, yang menyaksikan murid menghasilkan karya kreatif menggunakan bahan terbuang seperti botol plastik dan kadbod. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kreativiti, malah meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran pemikiran kritikal murid.


Program diakhiri dengan ucapan penghargaan oleh Penasihat Program, Dr. Shahrulnizahani, yang menyatakan bahawa program ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. Beliau turut memuji tahap komitmen tinggi mahasiswa dalam merancang serta mengendalikan keseluruhan aktiviti secara tersusun dan berkesan. Dalam masa yang sama, Guru Besar turut berkongsi pandangan bersama pelajar antarabangsa mengenai sistem pendidikan, di samping memberikan motivasi kepada murid agar tampil sebagai agen perubahan dalam komuniti mereka.
Secara keseluruhan, Program Sekolah Lestari Mini berjaya meningkatkan kefahaman murid terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar, memupuk nilai kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal, serta memperkukuh hubungan antara universiti dan sekolah. Murid kini dilihat lebih peka terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar dan terdorong untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk komuniti yang lebih lestari.