February 14, 2026

Kelab Lambaian Masyarakat KTC UTM jayakan Program Care for Community di Felda Taib Andak

KULAI, 25 Dis – Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) di bawah naungan Kolej Tunku Canselor (KTC) berjaya menganjurkan program khidmat komuniti Care for Community di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, dengan penglibatan aktif masyarakat setempat serta ahli kelab itu sendiri.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Felda Taib Andak yang banyak membantu dari segi logistik dan penglibatan komuniti setempat, sekali gus menyumbang kepada kejayaan keseluruhan program. Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan pihak Universal Sambal turut menyokong penganjuran program dengan sumbangan berupa Faedah Dalam Bentuk Barangan (BIK) sebanyak 50 kotak bakul kasih untuk 50 keluarga asnaf dan golongan B40.

Program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti melalui pendekatan pendidikan, kesihatan, dan kesedaran sosial, sejajar dengan aspirasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam melahirkan graduan holistik dan berjiwa masyarakat. Khas untuk golongan asnaf dan B40, inisiatif ini bertujuan meringankan beban harian mereka.

Anggota bomba menyokong kelancaran Program Sunathon

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, Pengarah Bahagian Aktiviti dan Bahagian Pelajar, serta dihadiri oleh Dr. Mohamad Fadhli Rashid, Felo Pengiring Kolej Tuanku Canselor, Tuan Hj Saa’don Sohod, Pengerusi Masjid, dan Batrisha Zafirah Azhami, Pengarah Program Care for Community, yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program berteraskan khidmat komuniti.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan, termasuk Sunathon, Fun STEM, Bengkel Doktor Cilik, dan Sumbangan Bakul Kasih yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak dan penduduk setempat. Aktiviti Sunathon menumpukan kepada kesedaran kesihatan dan kebersihan diri dan dijalankan tanpa bayaran. Fun STEM memperkenalkan konsep sains, teknologi, dan matematik secara interaktif, manakala Bengkel Doktor Cilik mendidik kanak-kanak tentang asas penjagaan kesihatan dan pemilihan makanan yang sihat.

Sumbangan Bakul Kasih disampaikan oleh Dr. Amirjan Nawabjan, Pengetua Kolej Tuanku Canselor, bagi meringankan beban golongan memerlukan, terutamanya keluarga berpendapatan rendah dan komuniti kurang bernasib baik. Inisiatif ini memastikan keperluan asas harian seperti barangan makanan dan keperluan dapur dapat dipenuhi, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup penerima.

Peserta Sunathon menikmati aktiviti mandi air bersama bomba
Peserta Fun STEM mengikuti salah satu aktiviti interaktif

Penganjuran program ini membuktikan komitmen Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) dalam menyemai nilai kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa UTM. Program ini turut memberi manfaat langsung kepada masyarakat luar bandar. Harapan tinggi diletakkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan hubungan mahasiswa UTM dengan komuniti setempat dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara mampan.

Barisan ahli Kelab Lambaian Masyarakat UTM sebagai pelaksana Program Care for Community

Explore More

UTM Open Day