February 15, 2026

JOHOR BAHRU, 12 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam inovasi pedagogi digital apabila projek bertajuk Integrasi AI bagi Pembelajaran Inovatif Pendekatan Berpusatkan Pelajar dalam Kursus Bimbingan dan Kaunseling dianugerahkan pingat gangsa pada International University Carnival on e-Learning (IUCEL) 2025. Karnival berprestij itu berlangsung pada 13 November 2025 di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sekali gus mengiktiraf kecemerlangan inovasi pengajaran yang berupaya memperkasa ekosistem pembelajaran pendidikan tinggi yang inklusif, adaptif dan berteraskan teknologi.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memupuk budaya inovasi akademik melalui penyelidikan pedagogi yang sistematik dan berasaskan bukti. Projek tersebut diterajui oleh Dr. Nur Azmina Paslan dengan sokongan pasukan penyelidik yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar, Dr. Fauziah Zaiden, Dr. Jamaludin Ramli, Fatimah Solehah Mukram dan Krishna Kumar A/L Supramaniam.

Persediaan pasukan UTM sempena International University Carnival on e-Learning 2025

Berteraskan tema IUCEL 2025, Embracing AI for Innovative Learning and Inclusive Education, projek ini meletakkan kecerdasan buatan sebagai pemangkin strategik dalam reka bentuk instruksional Kursus Bimbingan dan Kaunseling. Penggunaan pelbagai platform digital dan AI generatif seperti ChatGPT, Canva AI, Gamma, Heygen, Padlet, Mentimeter, Kahoot dan Slido membolehkan pelaksanaan pembelajaran yang lebih interaktif, kolaboratif dan kontekstual.

Pendekatan ini membuka ruang pembelajaran berasaskan simulasi dan pengalaman autentik yang membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran perhubungan menolong dalam situasi sebenar sebagai Guru Pembimbing di sekolah. Secara tidak langsung, integrasi AI ini menyumbang kepada pengukuhan kemahiran aras tinggi seperti penaakulan kritis, analisis reflektif dan keupayaan menyelesaikan masalah kompleks, selain memperkukuh kompetensi teras dalam pembentukan identiti dan profesionalisme Guru Pembimbing masa hadapan.

Reka bentuk pedagogi projek ini disandarkan kepada pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar yang diintegrasikan dengan teori double-loop learning. Pendekatan ini menekankan keupayaan pelajar untuk melakukan refleksi mendalam serta membina pemahaman baharu melalui proses pembelajaran yang kritikal dan transformatif.

Sesi penjurian International University Carnival on e-Learning 2025

Melalui pelaksanaan pendekatan ini, pelajar bukan sahaja menguasai kandungan teori secara konseptual, malah turut membangunkan kecekapan praktikal serta persediaan kemahiran dalam mengendalikan sesi bimbingan dan perhubungan menolong. Dapatan daripada pelaksanaan projek NALI 2025 menunjukkan bahawa penerapan teknologi digital dalam kursus ini meningkatkan tahap motivasi, penglibatan aktif dan keyakinan pelajar, di samping memupuk kreativiti serta keberanian untuk melaksanakan sesi bimbingan secara autentik dan reflektif.

Pengiktirafan di peringkat IUCEL 2025 ini mengukuhkan keselarasan projek berkenaan dengan aspirasi pendidikan global dan nasional. Inisiatif ini menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4, Pendidikan Berkualiti, serta sejajar dengan nilai pembangunan insan yang holistik, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Secara keseluruhan, inisiatif ini selari dengan aspirasi strategik UTM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, celik teknologi dan bersedia memikul tanggungjawab profesional dalam landskap kerjaya yang semakin kompleks, khususnya dalam bidang pendidikan, bimbingan dan kaunseling serta pembangunan insan.

Projek ini diyakini akan terus menyumbang secara signifikan kepada pemerkasaan ekosistem pendidikan negara melalui sinergi antara inovasi teknologi, pedagogi berasaskan bukti dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras profesion Bimbingan dan Kaunseling di Malaysia.

Explore More

UTM Open Day