JOHOR BAHRU, 13 Nov – Siri kesepuluh Wacana Intelektual MADANI 2025 anjuran Majlis Profesor dengan kerjasama Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) berlangsung dengan penuh iltizam di Dewan Premier Sarawak, B12 FABU. Berteraskan tema “Cabaran dan Hala Tuju Pembangunan MADANI”, sesi ilmiah ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh peranan akademia dalam membentuk hala tuju pembangunan negara yang holistik, mampan dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Program tersebut menampilkan dua tokoh utama, iaitu YBhg. Datuk TPr Dr. Alias Rameli, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) merangkap Profesor Adjung Malaysia, serta Prof. TPr Dr. Amran Hamzah, Panel Profesor Majlis Profesor. Sesi ini dipengerusikan oleh Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, yang turut bertindak sebagai penyelaras program. Kehadiran dua pakar dalam bidang perancangan ini membuka ruang wacana yang menyeluruh, menggabungkan perspektif global dan nasional mengenai perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti, pembangunan fizikal dan pembinaan tamadun moden.

Pembentangan pertama disampaikan oleh Prof. Dr. Amran yang menerangkan mengenai perkembangan global berkaitan perubahan iklim, isu yang kini menjadi keutamaan dalam rangka kerja perancangan seluruh dunia. Beliau berkongsi pengalaman terlibat dalam World Conservation Congress yang menurutnya telah memperkukuh pemahaman terhadap usaha pemuliharaan dan tindakan iklim yang perlu disegerakan oleh negara-negara dunia.
Beliau menjelaskan bahawa laporan terbaharu menunjukkan bumi telah melepasi paras peningkatan 1.5 darjah Celcius dan dijangka mencecah 2.5 darjah Celcius menjelang 2030 sekiranya trend semasa berterusan. Keadaan ini dianggap sebagai titik genting yang memberi implikasi ketara terhadap kelestarian bumi. Data cuaca antarabangsa turut mengesahkan bahawa suhu global bagi tahun 2023 dan 2024 telah pun melepasi ambang 1.9 darjah Celcius, manakala paras gas rumah hijau kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah rekod manusia.
Prof. Dr. Amran turut menekankan keperluan mengintegrasikan kawasan berkepentingan biodiversiti ke dalam dokumen perancangan seperti pelan struktur, pelan tempatan dan perancangan kejuruteraan melalui pendekatan Other Effective Area-based Conservation Measures (OECM). Beliau menambah bahawa perancangan bandar masa depan mesti menekankan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, keadilan sosial, akses kepada ruang hijau, pengangkutan mampan dan penyediaan perumahan mampu milik. Beliau juga menegaskan bahawa perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti ialah isu berkembar yang tidak boleh dipisahkan dan memerlukan pendekatan dasar yang lebih bersepadu.

Sesi kemudiannya menampilkan Datuk Dr. Alias yang membawa perspektif nasional melalui gagasan Malaysia MADANI. Beliau berkongsi perbincangannya bersama Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai kerangka MADANI sebagai asas pembangunan negara. Menurut beliau, nilai MADANI berakar daripada sejarah kegemilangan tamadun Islam di Madinah, dan prinsip ini menjadi inspirasi kepada pendekatan pembangunan negara yang menitikberatkan kemuliaan dan martabat manusia.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan tidak boleh diukur hanya melalui pencapaian material, tetapi perlu mengimbangi kemajuan fizikal, ekologi dan kesejahteraan insan. Datuk Dr. Alias mengingatkan bahawa negara tidak akan bergerak jauh jika pembangunan mengabaikan manusia sebagai pusat pertimbangan. Justeru, perancangan berteraskan MADANI perlu diterjemahkan kepada dasar yang inklusif, selamat, sejahtera dan mengambil kira kepelbagaian keperluan masyarakat.
Beliau turut mengupas kepentingan perancangan bandar yang menitikberatkan kumpulan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan golongan belia, selain keperluan reka bentuk sejagat yang lebih mesra pengguna. Perancangan berasaskan komuniti, jelasnya, merupakan asas kepada pembangunan negara yang mampan dan perlu dijadikan teras dalam semua peringkat pelaksanaan dasar.

Keseluruhan wacana memperlihatkan kesepaduan antara cabaran iklim global, keperluan memelihara biodiversiti, adaptasi dalam perancangan bandar serta pengukuhan nilai kemanusiaan dalam agenda pembangunan negara. Sesi ini bukan sahaja merungkai isu besar berkaitan masa depan perancangan wilayah, tetapi turut mengajak masyarakat akademik memahami bahawa pembangunan abad ke-21 tidak lagi tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya membina masyarakat yang beradab, inklusif dan sejahtera seperti yang diaspirasikan melalui konsep MADANI.

