February 13, 2026

UTM terus perkasa pendidikan dan sahsiah remaja melalui Kem Nexus

JOHOR BAHRU, 26 Nov – Program Pemindahan Ilmu (KTP) Nexus Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja diteruskan melalui penganjuran Kem 2/2025 pada 25 hingga 26 November 2025 bertempat di Kolej Datin Seri Endon, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. Program ini dianjurkan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM sebagai salah satu inisiatif pemindahan ilmu universiti kepada komuniti setempat.

Pengarah CCIN memberikan kata aluan semasa sesi pembukaan program
Pengarah CCIN memberikan kata aluan semasa sesi pembukaan program

Kem dua hari satu malam ini menghimpunkan lebih 65 pelajar daripada lima buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sekitar Skudai iaitu SMK Skudai, SMK Taman Desa Skudai, SMK Mutiara Rini, SMK Taman Universiti dan SMK Taman Universiti 2. Penyertaan pelajar, khususnya daripada keluarga B40, memberi peluang kepada mereka untuk merasai suasana kampus dan mengikuti modul pembangunan sahsiah serta akademik yang dirangka secara komprehensif.

Prof. Madya Dr. Norlina sedang menyampaikan modul psikologi kepada peserta

Sepanjang program, peserta dibimbing melalui pelbagai aktiviti termasuk sesi suai kenal, aktiviti berkumpulan, permainan interaktif, ceramah motivasi, modul kepimpinan dan slot kerohanian. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) diterapkan bagi membina keyakinan diri, memupuk kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan dan empati dalam kalangan peserta. Aktiviti yang santai namun berimpak ini mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan kondusif.

Dr. Nur Azmina menjalankan aktiviti modul akademik bersama peserta

Modul akademik memberi tumpuan kepada teknik belajar berkesan, strategi menjawab soalan peperiksaan, pengurusan masa dan penetapan matlamat (goal setting). Melalui sesi bimbingan bersama fasilitator, peserta didedahkan dengan kaedah pembelajaran yang lebih terancang dan sistematik, sekali gus membantu mereka membina hala tuju pendidikan yang lebih jelas dan realistik.

Penganjuran Program KTP Nexus Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja ini selari dengan komitmen UTM melalui CCIN untuk memperkukuh jaringan universiti-komuniti dan menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat. Fokus kepada pelajar B40 bukan sahaja membantu mengurangkan jurang pendidikan, malah memberi sokongan moral dan motivasi untuk terus cemerlang walaupun berdepan pelbagai cabaran sosioekonomi.

Dr. Talhah sedang menyampaikan ceramah modul kerohanian

Selain memberi manfaat kepada peserta, program ini membuka ruang kepada sukarelawan, pelajar dan staf UTM untuk terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat, sekali gus memperkukuh nilai ihsan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga kampus.

Peserta menjalankan aktiviti praktikal semasa modul robotik

Secara keseluruhannya, Kem 2/2025 Program KTP Nexus Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja berjaya menjadi medium intervensi yang signifikan dalam membentuk remaja seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial, serta lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan sebagai generasi pewaris negara. Program ini juga menegaskan peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pendidikan dan pembangunan sahsiah.

Explore More

UTM Open Day