📝 Ringkasan
Bertemakan ‘Kepimpinan Berjiwa Universiti, Menjana Legasi Kecemerlangan Kepimpinan’, majlis ini merupakan simbol apresiasi terhadap jasa para pemimpin pelajar serta sumber inspirasi kepada generasi pimpinan baharu untuk terus berbakti dan mengharumkan nama UTM walaupun setelah bergelar Alumni UTM.
ISKANDAR PUTERI, 16 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan graduan yang telah mempamerkan kepimpinan holistik dan kompeten sepanjang tempoh pengajian menerusi Majlis Apresiasi Graduan Kepimpinan Pelajar UTM 2025, yang diadakan bersempena Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM. Majlis yang berlangsung di Ramada Hotel Iskandar Puteri itu mengiktiraf seramai 50 orang pemimpin pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP), Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) serta persatuan dan kelab di UTM, sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam menyemarakkan budaya kepimpinan dan kesukarelawanan di kampus.
Bertemakan Kepimpinan Berjiwa Universiti, Menjana Legasi Kecemerlangan Kepimpinan, majlis ini menjadi simbol penghargaan terhadap jasa para pemimpin pelajar, di samping berperanan sebagai sumber inspirasi kepada generasi pimpinan baharu untuk terus berbakti dan mengharumkan nama UTM walaupun selepas bergelar alumni universiti.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, dalam ucapannya menegaskan bahawa kepimpinan pelajar merupakan elemen penting dalam membentuk graduan masa hadapan yang berdaya saing, berdaya tahan dan berpandangan jauh. Menurut beliau, pengalaman mengurus organisasi, merancang program serta berkolaborasi dengan pelbagai pihak dalam komuniti kampus memberikan nilai tambah yang signifikan dalam membina jati diri, keterampilan dan keupayaan kepimpinan mahasiswa secara menyeluruh.

Wakil graduan, Muhammad Hakim Mohd Zain, turut menyampaikan penghargaan kepada UTM yang disifatkannya bukan sekadar sebuah universiti, sebaliknya sebuah “madrasah kehidupan” yang membentuk mahasiswa menjadi insan yang lebih tabah, matang dan manusiawi. Beliau menzahirkan penghargaan kepada para pensyarah dan warga kampus yang disifatkannya bukan hanya mendidik dari sudut akademik, malah membimbing dengan penuh kepercayaan, kesabaran dan empati. “Mereka tidak hanya mengajar tetapi menjaga, mereka tidak hanya memberi arahan tetapi memberi kepercayaan, dan mereka tidak hanya menegur tetapi memimpin kami dengan tangan yang sabar,” katanya.

Sementara itu, pasangan ibu bapa, Abu Bakar Othman dan Aini Bukari turut meluahkan rasa terharu dan penghargaan kepada UTM atas pengiktirafan yang diberikan, bukan sahaja terhadap pencapaian anak-anak sebagai pemimpin pelajar, tetapi juga terhadap usaha, pengorbanan masa dan pengalaman yang membentuk karakter mereka. Menurut mereka, perjalanan kepimpinan tersebut bukanlah mudah kerana melalui pelbagai cabaran dan kegagalan, namun setiap pengalaman itu menjadikan para graduan lebih matang serta yakin menghadapi masa hadapan. Mereka turut menzahirkan rasa bangga melihat anak-anak bukan sahaja berjaya dalam akademik, malah berani memimpin, berkhidmat dan memberi inspirasi kepada orang lain. Pasangan tersebut hadir mewakili ibu bapa kepada salah seorang penerima penghargaan, Alis Imalin Abu Bakar.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Hanifah Ahmad; Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norhasrul Akhmal Ngadiman; serta Pengerusi Majlis Pengetua, Prof. Madya Ts. Dr. Abd Rahman Tamuri. Kehadiran barisan pengurusan universiti ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa pembangunan kepimpinan pelajar sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan graduan holistik yang bersedia menyumbang kepada masyarakat dan negara.