KULAI, 5 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Komputeran terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan komuniti apabila berjaya melaksanakan Program Pemindahan Ilmu Digitalisasi Kewangan di Masjid Ar-Rahman, Taman Putri Kulai, Johor.
Program ini merupakan sebahagian daripada Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) yang diselaraskan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memperkasakan komuniti melalui pemindahan ilmu dan teknologi digital dalam pengurusan kewangan, khususnya dalam konteks pentadbiran institusi keagamaan.

Program ini diketuai oleh Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, dengan kerjasama rasmi daripada Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Bushrah Basiron selaku Ketua Projek Induk. Pelaksanaan program turut mendapat sokongan padu daripada Masjid Ar-Rahman, Taman Putri Kulai (MARTPK) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor selaku rakan industri strategik.
Komitmen penuh pihak masjid dizahirkan melalui pemeteraian Surat Persetujuan Kolaborasi yang ditandatangani oleh Hj. Ahmad Her Rahmad, Pengerusi Masjid Ar-Rahman. Langkah ini menandakan permulaan kerjasama rasmi antara pihak masjid dan UTM dalam usaha membina ekosistem pengurusan kewangan yang lebih sistematik dan moden.

Objektif utama program ini adalah membantu pihak masjid beralih daripada sistem pengurusan kewangan manual berasaskan Excel kepada sistem perakaunan digital berasaskan awan, Bukku. Sistem ini membolehkan penyediaan invois, rekod transaksi serta laporan kewangan dilakukan dengan lebih cepat, tepat dan telus. Melalui automasi yang disediakan, urusan dana sumbangan dan perbelanjaan dapat diurus secara efisien sekali gus mengurangkan risiko kesilapan manual dalam perekodan kewangan.

Program latihan dilaksanakan melalui dua siri bengkel pada 30 September dan 16 Oktober 2025, melibatkan 12 peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid serta komuniti setempat. Peserta diberikan latihan secara praktikal meliputi penyediaan akaun, perekodan transaksi, dan penjanaan laporan bulanan menggunakan sistem Bukku. Modul latihan yang dibangunkan berasaskan Manual Pengguna Bukku dikendalikan sepenuhnya oleh fasilitator dari Fakulti Komputeran dengan bantuan pelajar UTM sebagai pasukan teknikal dan dokumentasi.

Hasil analisis soal selidik pra dan pasca latihan menunjukkan peningkatan ketara dalam tahap kemahiran dan keyakinan peserta terhadap penggunaan sistem kewangan digital. Sebelum program bermula, sebanyak 80 peratus peserta melaporkan kurang yakin mengurus kewangan secara digital. Namun selepas latihan, 66.7 peratus peserta menunjukkan peningkatan ke tahap “Baik” dan “Sangat Baik”. Dapatan ini membuktikan keberkesanan bengkel dalam memperkukuh literasi kewangan digital serta mendorong komuniti mengadaptasi teknologi dalam pentadbiran mereka.
Menurut Pengerusi Masjid Ar-Rahman, Hj. Ahmad Her Rahmad, program tersebut memberi impak positif terhadap urus tadbir masjid. “Sistem Bukku bukan sahaja memudahkan urusan kewangan, malah meningkatkan ketelusan laporan dan kepercayaan ahli kariah terhadap pentadbiran masjid,” ujarnya.

Penganjuran program ini jelas menunjukkan komitmen UTM dalam memperkukuh Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) melalui pendekatan komuniti digital yang inklusif dan lestari. Inisiatif ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) serta aspirasi UTM Digital Community Engagement, ke arah membentuk masyarakat celik digital, mampan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi berasaskan ilmu.