UTM muncul universiti penyelidikan pertama terima pengiktirafan RTI dari Suruhanjaya Tenaga

JOHOR BAHRU, 14 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah apabila muncul sebagai universiti penyelidikan pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan Registered Training Institution (RTI) dari Suruhanjaya Tenaga. Menerusi pengiktirafan berprestij ini, UTM akan menawarkan program pengajian peringkat Sarjana yang memperoleh pengiktirafan profesional Registered Energy Manager (REM), sekali gus membuka laluan kepada graduan untuk menjadi pengurus tenaga bertauliah yang diiktiraf di peringkat nasional.

Pengiktirafan ini menzahirkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang peralihan tenaga, selari dengan usaha kerajaan memperkasakan agenda kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu di bawah Dasar Peralihan Tenaga Nasional (NETR). Inisiatif ini amat signifikan memandangkan sektor tenaga negara kini berada dalam fasa pertumbuhan pesat serta memerlukan tenaga mahir bagi menyokong aspirasi pembangunan mampan negara.

Peserta kursus pengurusan tenaga terlibat dalam sesi pembelajaran dan perbincangan teknikal di fakulti

Malaysia dijangka memerlukan lebih 62,000 pekerja mahir dalam sektor tenaga menjelang tahun 2050, selaras dengan sasaran mencapai 70 peratus tenaga boleh baharu dalam kapasiti tenaga negara. Pasaran pekerjaan hijau di Malaysia turut menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, dengan lebih 30,000 peluang pekerjaan hijau ditawarkan ketika ini, khususnya dalam bidang kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu dan pengurusan tenaga di sektor industri serta bangunan komersial. Selain itu, peralihan tenaga negara melalui pelbagai dasar dan pelaburan strategik dijangka mewujudkan sehingga 310,000 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2050.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyifatkan pengiktirafan RTI dan REM ini sebagai satu pencapaian unggul bagi universiti. Menurut beliau, UTM sentiasa komited melahirkan tenaga pakar profesional dalam bidang tenaga dan kelestarian. Dengan pengiktirafan RTI oleh Suruhanjaya Tenaga, UTM kini berada pada kedudukan strategik untuk melatih lebih ramai Pengurus Tenaga Bertauliah yang berupaya memimpin transformasi negara ke arah pengurusan tenaga yang lebih cekap serta pengurangan pelepasan karbon, selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi rendah karbon.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, memaklumkan bahawa program Sarjana Peralihan Tenaga dan Pengurusan Tenaga yang menawarkan pengiktirafan Pengurus Tenaga Berdaftar kini berada dalam fasa akhir kelulusan Senat UTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Kursus berkaitan pengurusan tenaga yang telah dilaksanakan di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga

Beliau berkata, pelaksanaan program ini bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan modal insan profesional dalam sektor tenaga negara. Program tersebut dirangka bagi memenuhi keperluan industri serta dasar peralihan tenaga negara yang semakin mendesak. Gabungan elemen akademik, latihan profesional dan pensijilan REM yang diperakui Suruhanjaya Tenaga diyakini mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang berupaya memimpin transformasi kecekapan tenaga di sektor industri, bangunan komersial dan agensi kerajaan.

Pengiktirafan program Sarjana dengan pensijilan REM ini meletakkan UTM sebagai peneraju pendidikan dan penyelidikan dalam bidang tenaga di Malaysia. Ia sekali gus memperkukuh peranan UTM sebagai universiti penyelidikan berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan yang menyumbang secara langsung kepada inovasi industri, keselamatan tenaga serta pembangunan negara secara lestari, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Oleh Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, Profesor, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM

Explore More

UTM Open Day