JOHOR BAHRU, 4 November 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mara di persada antarabangsa apabila melonjak ke tangga ke-25 dalam QS World University Rankings: Asia 2026 — kedudukan tertinggi yang pernah dicapai oleh universiti ini di peringkat serantau.
Pencapaian ini menempatkan UTM dalam kelompok 2% universiti terbaik di Asia, sekali gus mengatasi 98.4% institusi lain di rantau ini. Kejayaan ini turut mengukuhkan kedudukan UTM sebagai salah satu universiti penyelidikan terulung negara dan institusi peneraju dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak serta jaringan kerjasama global. Untuk rekod, sebanyak 1,526 institusi di seluruh Asia, termasuk 48 universiti dari Malaysia telah menyertai penarafan ini, menandakan saingan yang semakin luas dan kompetitif.
Sepanjang sedekad yang lalu, UTM telah menunjukkan peningkatan konsisten dalam penarafan serantau, mencerminkan komitmen jangka panjang universiti terhadap kecemerlangan dan inovasi. Bermula di kedudukan ke-61 pada tahun 2015, UTM menembusi kelompok 50 terbaik pada tahun 2018, meningkat ke-40 terbaik menjelang 2021, berada dalam kelompok 30 terbaik pada 2025, dan kini dengan bangganya tersenarai dalam 25 universiti terbaik di Asia.
Skor keseluruhan UTM turut mencatat peningkatan ketara daripada 84.8 kepada 91.2 pada tahun ini, selaras dengan pelaksanaan pelan strategik universiti khasnya Pelan Global UTM 2012-2020 dan enVision UTM 2021-2025.
Dalam edisi 2026, UTM terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelbagai penunjuk utama dengan keputusan yang menyerlah serta memperkukuh reputasi akademik dan kedudukan globalnya. UTM berada di tangga ke-7 di Asia bagi penunjuk International Research Network (Jaringan Penyelidikan Antarabangsa), menggambarkan kepimpinan universiti dalam menjalin kerjasama penyelidikan rentas sempadan. UTM turut mencatat skor 97.4 dalam penunjuk Academic Reputation (Reputasi Akademik) yang mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kecemerlangan pengajaran dan penyelidikannya, serta skor 97.8 dalam Employer Reputation (Reputasi Majikan) yang menandakan keyakinan berterusan pihak industri terhadap kualiti graduan UTM.
Mengulas mengenai pencapaian ini, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UTM atas dedikasi dan usaha berpasukan yang berterusan.
“Peningkatan ke tangga ke-25 dalam QS Asia Rankings 2026 merupakan detik yang membanggakan bagi UTM dan Malaysia. Pencapaian ini mencerminkan komitmen warga UTM, terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar yang telah menjunjung nilai integriti, adab serta keyakinan bahawa teknologi mesti memberikan manfaat kepada kemanusiaan dan kehidupan.”
“Fokus UTM bukan sekadar pada kedudukan dalam penarafan, tetapi pada maknanya, iaitu peningkatan kualiti berterusan dalam pengajaran, penyelidikan dan inovasi dalam melahirkan bakat yang dapat menjadi penyelesai cabaran semasa dunia dan negara, serta bersedia menghadapi masa depan yang cepat berubah,” katanya.
Dalam meraikan kejayaan ini, UTM terus melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 yang bakal bermula pada tahun 2026. Pelan ini menggariskan visi UTM sebagai universiti berinovasi tinggi yang terlibat secara global dalam membangunkan bakat masa depan dan memperkasa penyelesaian mampan untuk kemaslahatan manusia sejagat. Berpegang kepada motonya “Kerana Tuhan untuk Manusia” dan tagline “Menginovasi Penyelesaian Lestari”, UTM kekal teguh dalam misinya untuk mencipta impak yang melangkaui sempadan, seterusnya menyumbang kepada reputasi Malaysia sebagai hab ilmu, inovasi, dan kecemerlangan di peringkat global.