November 27, 2025

UTM dan P10X Academy buka peluang kemahiran automotif kepada belia Orang Asli

SUBANG JAYA, 22 Nov – Program komuniti anjuran Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus membuka ruang mobiliti sosial kepada masyarakat Orang Asli apabila seramai sepuluh belia dari Kuala Pangsun berjaya melepasi saringan temu duga dan seterusnya ditempatkan di P10X Academy, sebuah institusi latihan kemahiran swasta yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang aksesori automotif seperti pemasangan filem penapis haba dan filem perlindungan cat kenderaan.

Coach Leo, jurulatih P10X Academy, memberi penerangan kepada peserta mengenai latihan kemahiran yang akan dijalani
Peserta diperkenalkan kepada latihan pemasangan filem perlindungan cat kenderaan melalui sesi pemerhatian bersama pelajar lain

Kesemua peserta berusia belia itu bertolak dari Hulu Langat pada Sabtu, 22 November. Mereka terdiri daripada Asrizal Anuar, Daniel Dali, Zaidi Amirul Dahlan, Azroy Anuar, Jenny Jais, Idit Ismail, Juil Farouk, Arzimis Anuar, Nazikil Suri dan Azam Atek. Penempatan ini merupakan peluang besar untuk mereka mengikuti latihan intensif selama tujuh bulan di bawah bimbingan P10X Academy.

Ketua Pegawai Operasi P10X Academy, Che Salwani, berkata pelibatan komuniti Orang Asli semakin meningkat sejak program kerjasama dijalankan bersama UTM. Beliau memaklumkan bahawa sebelum ini hanya dua pelajar Orang Asli pernah menjalani latihan di akademi tersebut, dan prestasi mereka yang cemerlang meyakinkan pihak akademi untuk menambah kuota pengambilan belia daripada komuniti itu.

Sesi orientasi peserta Orang Asli di sekitar P10X Academy sebelum memulakan kelas rasmi pada Isnin, 24 November

Sebagai tanda penghargaan, Ketua Projek dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Dr. Nurul Zainab Along, menyampaikan plak penghargaan kepada Che Salwani atas komitmen P10X Academy dalam menawarkan peluang latihan kemahiran. Langkah ini bukan sahaja membuka laluan kerjaya baharu, malah berpotensi mengubah masa depan ekonomi keluarga peserta.

Ketua Projek, Dr. Nurul Zainab Along (kiri), menyampaikan plak penghargaan kepada Ketua Pegawai Operasi, Puan Che Salwani (kanan) sebagai simbol kerjasama strategik program ini

Usaha ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Kelapan (SDG 8), iaitu pekerjaan sesuai dan pembangunan ekonomi. Penyertaan belia Orang Asli dalam bidang kemahiran automotif membuktikan bahawa golongan ini juga berpotensi besar untuk berjaya dalam industri yang memerlukan kepakaran teknikal serta disiplin kerja yang tinggi.

Salah seorang peserta, Daniel Dali, meluahkan rasa syukur dan keterujaannya kerana diberi peluang mengikuti latihan berstruktur ini. Beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai permulaan baharu untuk memperdalam kemahiran dalam bidang aksesori automotif. Beliau bertekad untuk menamatkan latihan dengan jayanya demi memperoleh pekerjaan yang lebih stabil selepas ini kerana sebelum ini beliau hanya bekerja di kampung dengan pendapatan sekadar cukup sara hidup.

Pelajar dibawa meninjau fasiliti pusat latihan sebagai persediaan sebelum sesi pembelajaran formal bermula

P10X Academy turut menyatakan hasrat untuk terus memperluaskan pengambilan pelajar Orang Asli bagi menambah kepelbagaian tenaga kerja mahir dalam industri pemasangan filem perlindungan kenderaan. Pihak akademi berharap agar kerjasama lebih kukuh dapat dijalinkan bersama agensi kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), bagi merangka skim pembiayaan dan program pemberdayaan ekonomi jangka panjang untuk masyarakat Orang Asli.

Explore More

UTM Open Day