December 7, 2025

UTM dan KPT anjur Varsity Canoe 2025 serlah kehebatan atlet IPT dalam sukan air

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Tasik Universiti Malaya bertukar meriah apabila menjadi gelanggang utama kepada Kejohanan Varsity Canoe (VCN) 2025 yang berjaya menghimpunkan atlet sukan air dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara. Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari, bermula 31 Oktober hingga 2 November 2025 itu, merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kecemerlangan Sukan UTM.

Kejohanan ini diadakan bagi meningkatkan penglibatan pelajar IPT dalam sukan air, khususnya acara kayak, di samping menyemarakkan semangat kesukanan, kepimpinan dan jalinan kerjasama antara universiti awam, swasta, politeknik serta kolej komuniti. Menurut Pengarah Kejohanan, Rizam Rahmat, edisi kali ini mencatatkan penyertaan yang amat memberangsangkan dengan lebih daripada 10 kontinjen IPT mengambil bahagian dalam pelbagai kategori pertandingan.

Sebanyak enam acara kayak dipertandingkan, merangkumi kategori lelaki, wanita dan campuran termasuk TK1, TK2, K1 dan K2 bagi jarak 200 meter. Semua acara dijalankan mengikut peraturan Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) yang disesuaikan dengan garis panduan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA). Aspek keselamatan turut diberi keutamaan apabila setiap peserta diwajibkan memakai jaket keselamatan sepanjang perlumbaan bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan selamat dan teratur.

Suasana sekitar Tasik Universiti Malaya yang menjadi lokasi utama Kejohanan Varsity Canoe 2025

Persaingan sengit dapat disaksikan sejak peringkat awal lagi hingga ke pusingan akhir. Dalam acara TK2 Lelaki, pasukan Kolej Komuniti Malaysia (KKMAS) muncul juara selepas mencatat masa pantas 42.19 saat, menewaskan pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Bagi acara TK1 Lelaki pula, atlet dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nik Afiq Nik Mazli, menampilkan prestasi cemerlang apabila menamatkan perlumbaan dengan masa 42.24 saat untuk meraih kejuaraan.

Kategori wanita turut menampilkan saingan hebat apabila Fatin Nuramirah Kamaruzaman dari UPSI dinobatkan sebagai juara TK1 Wanita selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 52.71 saat, mengatasi pencabarnya dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan UMPSA. Sementara itu, pasukan wanita UPSI sekali lagi unggul apabila menjuarai acara TK2 Wanita dengan catatan masa 53.47 saat, meninggalkan pasukan UMPSA dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Antara keputusan menarik yang mencuri perhatian ialah kemenangan bergaya Khairul Naim Zainal dari UiTM dalam acara K1 Lelaki dengan catatan masa 37.12 saat, mengetepikan cabaran Montoya Raw Ak Micheal dari KKMAS yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Dalam acara K1 Wanita, Aimi Ayuni Azwan, juga dari UiTM, tidak kurang hebatnya apabila menamatkan perlumbaan dengan masa 42.22 saat untuk membawa pulang pingat emas.

Saingan kategori campuran turut mencuri tumpuan apabila pasangan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menewaskan pencabar terdekat mereka dari UiTM dan UMPSA dalam acara TK2 Campuran dengan catatan masa 45.55 saat. Dalam acara K2 Campuran pula, kemenangan berpihak kepada UiTM yang terus mengukuhkan reputasi sebagai antara kontinjen terkuat dalam kejohanan ini. Keputusan-keputusan tersebut mencerminkan peningkatan tahap kecekapan dan persaingan sengit dalam kalangan atlet IPT.

Selain meraikan pemenang dengan pingat emas, perak dan gangsa, kejohanan ini turut menjadi platform penting bagi pembangunan bakat baharu dalam sukan air. Menurut Rizam Rahmat, kejohanan tahun ini menampilkan ramai peserta berpotensi tinggi, termasuk yang pernah mewakili negara. Beliau menegaskan bahawa penganjuran bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga peluang mencungkil bakat muda dan melahirkan atlet IPT yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Aksi mendebarkan dalam acara TK2 Lelaki

“Program Varsity Canoe bukan sekadar kejohanan sukan air, tetapi wadah memperkasa semangat kesukanan, disiplin dan kepimpinan dalam kalangan pelajar. UTM komited untuk terus menyokong usaha KPT melahirkan atlet IPT bertaraf tinggi,” katanya ketika ditemui di lokasi pertandingan.

Kejohanan Varsity Canoe 2025 berakhir dengan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa. Dalam ucapan penutupnya, beliau menyampaikan penghargaan kepada semua pasukan yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta menzahirkan harapan agar kejohanan ini diteruskan pada tahun-tahun mendatang bagi memastikan sukan kayak terus berkembang sebagai antara sukan kompetitif utama di peringkat universiti.

Explore More

UTM Open Day