JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menyaksikan detik penuh inspirasi pada Majlis Konvokesyen Ke-69 apabila kejayaan seorang graduan separuh masa, Sakinah Mairaj, menjadi bukti bahawa tekad dan disiplin mampu mengharungi segala kekangan.
Beliau menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Elektrik dan Elektronik) selepas lima tahun mengimbangi tuntutan kerjaya, akademik dan kehidupan berkeluarga.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila Sakinah bergraduasi bersama suaminya, Muhammad Izzat Azizee, yang turut menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.
Perjalanan akademik Sakinah bermula pada tahun 2012 di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru sebelum meneruskan pengajian diploma di German-Malaysian Institute (GMI).
Pada 2017, beliau menerima tawaran ke peringkat ijazah sarjana muda, namun memilih untuk menangguhkan hasrat itu bagi memberi tumpuan kepada keluarga serta memastikan kestabilan ekonomi pada waktu tersebut.
Keputusan itu bukan mudah, tetapi menjadi titik penting dalam pembentukan kematangannya sebagai pelajar dan sebagai individu.

Dorongan untuk menyambung pengajian kembali hadir empat tahun kemudian. Inspirasi terbesar datang daripada bapanya yang berjaya menamatkan pengajian secara separuh masa ketika sudah berkeluarga.
Kisah itulah yang menguatkan langkah Sakinah untuk menyambung pengajian di SPACE UTM pada tahun 2020 dalam bidang Teknologi serta Pendidikan (Elektrik dan Elektronik) sambil bekerja sepenuh masa.
Dengan itu bermulalah perjalanan lima tahun yang tersusun antara kerja, kuliah pada waktu malam, tugasan yang perlu disiapkan selepas pulang bekerja, serta sesi intensif pada hujung minggu.
Beban masa dan tekanan mental menjadi cabaran berterusan, namun kerja keras itu akhirnya membuahkan hasil apabila Sakinah bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, tetapi turut menerima Anugerah Dekan.
Pencapaian ini menjadi pengiktirafan terhadap ketekunan yang dipertahankan sepanjang perjalanan akademiknya.
Dalam mengharungi cabaran tersebut, sokongan suami menjadi tonggak utama. Izzat, yang mempunyai latar belakang teknikal yang kuat, sering menjadi tempat rujukan akademik Sakinah.
Mereka belajar bersama, menyelesaikan tugasan bersama, dan memastikan kedua-duanya dapat maju serentak dalam pengajian masing-masing. Hubungan mereka berkembang sebagai pasangan yang saling menguatkan, baik dari aspek akademik mahupun kerjaya.

Sakinah turut melalui ujian emosi yang berat apabila mengalami keguguran pada tahun 2021 ketika berada dalam jadual pengajian dan kerjaya yang sangat padat.
Meskipun berdepan ujian yang menguji kekuatan jiwa, beliau dan suaminya menerimanya dengan hati terbuka dan menjadikan pengalaman itu sebagai pemangkin untuk terus melangkah.
Dari kesedihan itulah mereka memperoleh hikmah yang membawa kepada kematangan serta peningkatan dalam kehidupan, termasuk berjaya memiliki rumah pertama pada usia muda.
Kini, dengan pengalaman lebih lapan tahun dalam industri, Sakinah berkhidmat dalam bidang Sales & Marketing (Data Analysis) manakala Izzat meneruskan kerjaya sebagai jurutera elektrik.
Mereka merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah apabila tiba masa yang sesuai.
Kedua-duanya berhasrat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat melalui pendidikan dan pembangunan profesional dalam bidang masing-masing.
Kisah Sakinah menjadi cerminan nyata tentang kekuatan seorang pelajar separuh masa yang tidak pernah mengalah walaupun diuji dengan komitmen yang bertindih.
Beliau menitipkan pesanan bahawa setiap perjalanan pendidikan memiliki cabaran tersendiri dan tidak wajar dibandingkan dengan orang lain.
Dengan usaha yang konsisten, doa, istiqamah dan tawakal, setiap impian pasti dapat dicapai meskipun jalan yang dilalui penuh liku dan ujian.