November 21, 2025

Status OKU bukan penghalang graduan catat PNGK 3.92, dapat tawaran sambung sarjana ke luar negara

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Ketabahan seorang mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan alasan untuk mengundur diri.

Di sebalik cabaran yang membelenggu sejak lahir, Syed Muhammad Syd Hashim, 24, berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi), Fakulti Pengurusan, dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92.

Syed Muhammad Syd Hashim menerima skrol ijazah di atas pentas Konvokesyen UTM dari Naib Canselor

Pencapaiannya turut diserikan dengan keputusan 4.00 bagi beberapa semester, sesuatu yang luar biasa bagi seseorang yang berhadapan dengan kondisi Arthrogryposis Multiplex Congenital (AMC), iaitu kecacatan yang mengehadkan pergerakan sendi dan anggota badan sehingga menyukarkan tugasan asas seperti menulis, makan atau mengurus diri tanpa bantuan.

Syed, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) dari Fakulti Pengurusan, tetap cemerlang meskipun berdepan kekangan fizikal sejak lahir

Anak kelahiran Johor dan bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (English College) itu sudah menunjukkan kecemerlangan sejak bangku sekolah.

Beliau pernah menerima anugerah pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Keperluan Khas serta pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Keperluan Khas sebelum melangkah ke UTM untuk meneruskan cita-cita.

Ketika ditemu bual, Syed tidak berselindung menyatakan bahawa pengajiannya di UTM adalah perjalanan penuh getir, namun turut menjadi ruang besar untuk mengenal diri, mengutip hikmah dan membina ketahanan mental.

Jelasnya, perasaan teruja selalu hadir apabila berpeluang menghadiri majlis rasmi universiti atau tugasan penting, meskipun debaran sering muncul.

“Pergerakan saya memang sangat terhad sehingga saya perlukan bantuan ibu bapa untuk urusan harian seperti makan dan berpakaian. Tapi semangat itu tak pernah hilang. Saya masih boleh buat semua tugasan akademik, terutama yang guna komputer, tanpa masalah. Sejak kecil lagi saya dibiasakan untuk berdikari, jadi saya memang tak selesa bergantung pada orang lain. Semua tugasan universiti, termasuk penulisan dan kerja kursus, saya buat sendiri tanpa bantuan keluarga,” ujar beliau.

Syed bersama ibu bapanya yang menjadi tunjang kekuatan sepanjang perjalanan pengajiannya di UTM

Mengenang kembali detik awal pengajian, Syed berkata semester pertama yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian ketika pandemik Covid-19 menjadi ujian paling besar.

Beliau tidak pernah bertemu rakan atau pensyarah secara bersemuka, menjadikan penerangan mengenai keperluannya sebagai pelajar OKU lebih rumit kerana pihak fakulti tidak dapat menilai keadaannya secara fizikal.

Situasi itu menimbulkan cabaran besar dalam mendapatkan pengaturan khas peperiksaan seperti jurutulis serta masa tambahan.

Walaupun begitu, Syed menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan fakulti dan staf UTM yang memberikan kerjasama penuh.

Mereka menyediakan jurutulis, menambah masa peperiksaan sebanyak 15 peratus dan memberi meja khas yang direka mengikut kesesuaiannya.

Sokongan itu menjadikan perjalanan akademiknya lebih lancar, sekali gus memberi keyakinan bahawa beliau berada dalam komuniti yang memahami keperluan pelajar OKU.

Syed bersama jurutulis yang membantunya sepanjang peperiksaan sebagai sebahagian daripada pengaturan khas yang disediakan UTM

Walaupun memiliki kekangan fizikal, Syed tetap hadir ke kelas seperti pelajar lain. Beliau menggunakan kerusi roda automatik di kampus, manakala kerusi roda manual digunakan apabila meneroka kawasan baharu yang belum dipastikan sesuai untuk kerusi roda elektrik.

Jarak rumah yang berdekatan kampus memudahkan ayahnya menghantar dan mengambilnya setiap hari, manakala ibunya mengurus aspek penjagaan harian.

Abangnya turut memainkan peranan penting untuk membantunya bergerak, terutama ketika keadaan memerlukan tenaga tambahan.

Selain kecemerlangan akademik, Syed turut membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak menghalangnya daripada menyertai program antarabangsa.

Beliau pernah mewakili UTM ke Surabaya dalam program berkaitan ekonomi kitaran dan pendidikan kelestarian.

Dalam program tersebut, beliau menyampaikan ceramah mengenai alam sekitar, termasuk penggunaan plastik biodegradasi dan kesedaran pencemaran kepada pelajar sekolah.

Kedua ibu bapanya turut menemani perjalanan itu bagi memastikan keselamatan dan kelancarannya.

“Dari segi kebajikan, saya menerima bantuan berjumlah dua puluh ribu ringgit daripada Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang pengajian. Selain itu, saya turut menerima bantuan zakat Petronas sebanyak seribu ringgit serta sumbangan khas daripada universiti, termasuk meja khas yang digunakan untuk menyelesaikan tugasan akademik,” sambung beliau.

Syed juga menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakannya, terutama Arman dan Lazarus, yang sentiasa membantunya ketika di kampus termasuk membantu memberi makan ketika waktu rehat antara kelas.

Sokongan sebegitu, baginya, adalah antara kekuatan besar yang membantunya berdiri teguh hingga ke hari ini.

Syed ketika berada di Surabaya dalam salah satu program akademik yang disertainya semasa pengajian

Ketika ditanya mengenai nasihat kepada pelajar OKU lain, Syed menekankan bahawa mereka tidak perlu berasa malu dengan keadaan diri.

Baginya, persepsi masyarakat kadangkala sukar dijangka, namun ia tidak wajar menjadi penghalang. Yang lebih penting ialah menunjukkan kemampuan sebenar dan berani berada di khalayak tanpa rasa rendah diri.

Dalam perancangan masa depan, Syed kini sedang memohon biasiswa untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana di luar negara.

Beliau telah menerima tiga tawaran daripada universiti di Australia dan akan memulakan pengajian sebaik sahaja memperoleh pembiayaan sesuai dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada ibu bapa, pensyarah, staf fakulti dan rakan-rakan yang sentiasa memahami keadaan saya sepanjang pengajian. Segala bentuk bantuan, perhatian dan sokongan moral yang diberikan benar-benar menjadi pemangkin kejayaan saya,” kata Syed.

Apabila diminta menggambarkan pengalaman menuntut di UTM dalam satu ayat, Syed tersenyum dan berkata bahawa pengajian tidak seharusnya menjadi beban, sebaliknya perjalanan yang dipenuhi detik menyeronokkan.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa lain agar tidak bertangguh, menyusun jadual, dan menyiapkan tugasan lebih awal agar tidak diburu tekanan.

Explore More

UTM Open Day