December 11, 2025

PUTRAJAYA, 6 Nov – Dua jurnal terkemuka terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), iaitu Malaysian Journal of Civil Engineering (MJCE) dan Sains Humanika, melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan berprestij dalam Majlis Malam Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2025. Majlis berkenaan merupakan acara kemuncak Festival of Ideas (FOI) dan berlangsung di Hotel Everly, Putrajaya dalam suasana penuh meriah serta berinspirasi. Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut diiringi para tokoh akademik serta wakil institusi penyelidikan dari seluruh negara.

Penganugerahan tersebut menjadi bukti kukuh terhadap kekuatan UTM dalam menerajui penerbitan ilmiah berkualiti tinggi dan peranannya dalam memperkasakan ekosistem penyelidikan negara. Pengiktirafan ini turut mencerminkan kesungguhan universiti dalam memastikan jurnal yang diterbitkan memenuhi penanda aras antarabangsa dari segi kualiti editorial, ketelitian semakan serta keberhasilan ilmu yang diterbitkan.

Suasana penyampaian anugerah meraikan kejayaan Jurnal Sains Humanika dan Malaysian Journal of Civil Engineering

Kedua-dua jurnal berkenaan menerima pengiktirafan dalam kategori berbeza di bawah Anugerah MyCite Jurnal Crème. Sains Humanika diiktiraf dalam kategori Seni, Kemanusiaan dan Sains Sosial, manakala MJCE menerima pengiktirafan bagi kategori Sains, Teknologi dan Perubatan. Setiap jurnal turut menerima insentif kewangan berjumlah RM8,000 bagi menghargai komitmen berterusan dalam mengekalkan kecemerlangan penerbitan.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Editor Sains Humanika, Prof. Dr. Lokman Mohd Tahir; Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang yang mewakili Ketua Editor MJCE, Prof. Dr. Norhazilan Md. Noor; serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus. Kehadiran mereka menzahirkan penghargaan terhadap usaha kolektif para editor, penyelidik dan penulis yang menjadi tulang belakang kejayaan ini.

Bagi Penerbit UTM Press, pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan tetapi simbol komitmen berterusan dalam menjunjung budaya ilmu, ketelusan akademik dan keunggulan global. Di sebalik setiap artikel yang diterbitkan tersirat usaha gigih penyelidik, editor dan penulis yang percaya bahawa ilmu berkualiti menjadi asas kemajuan masyarakat dan tamadun. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan MJCE dan Sains Humanika atas pencapaian luar biasa ini yang mencerminkan kesungguhan UTM dalam melestarikan kecemerlangan akademik. Penghargaan turut diberikan kepada Unit Jurnal serta Penerbit UTM Press atas sokongan berterusan dalam pengurusan dan penerbitan jurnal.

Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus (kanan) bersama wakil UTM mempamerkan replika cek insentif RM8,000 bagi Sains Humanika dan MJCE

Walaupun Prof. Dr. Norhazilan Md. Noor tidak dapat menghadiri majlis berkenaan, trofi anugerah tetap disampaikan kepada beliau di Penerbit UTM Press sebagai simbol penghargaan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam menerajui pasukan editorial MJCE.

Menurut wakil Penerbit UTM Press, setiap jurnal melalui proses penilaian rapi dan semakan teliti yang disokong kerjasama erat antara penyelidik dan pasukan editorial. Nilai integriti akademik serta komitmen terhadap etika penerbitan menjadi landasan utama dalam memastikan setiap artikel memenuhi standard antarabangsa.

Ketua Editor MJCE, Prof. Dr. Norhazilan Md. Noor, menerima trofi Anugerah MyCite Jurnal Crème di Penerbit UTM Press
Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus (kiri) bersama YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang (kanan) memegang replika cek RM8,000 bagi pengiktirafan MJCE

Explore More

UTM Open Day