November 26, 2025

RoboLESTARI PG 2025 serlah kerjasama strategik UTM dan MBPG perkasa inovasi robotik belia

PASIR GUDANG, 23 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan kerjasama strategiknya bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) melalui penganjuran RoboLESTARI PG 2025, sebuah program pembangunan inovasi dan teknologi hijau yang berlangsung pada 22 dan 23 November 2025 di Dewan Serbaguna Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang. Program selama dua hari ini berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta merangkumi pelajar sekolah menengah, pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), wakil agensi dan komuniti setempat, sekali gus menjadikan acara ini antara platform inovasi paling dinanti-nantikan di daerah berkenaan.

RoboLESTARI PG 2025 menampilkan dua kategori utama iaitu Kategori Pelajar Sekolah Menengah (Inovasi RoboRemaja) yang menekankan asas pengaturcaraan robot, pembangunan atur cara dan penyelesaian masalah robotik, serta Kategori Terbuka (Pioneer RoboPG) yang mengaplikasikan konsep ideathon melibatkan penjanaan idea, penyelesaian masalah dan pembangunan konsep inovasi. Kedua-dua kategori ini memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kreativiti, menguji kemahiran teknikal serta menonjolkan pemikiran inovatif selaras dengan tema “Innovation in Motion, Sustainability in Action.”

Program ini diketuai oleh dua penyelaras UTM, iaitu Prof. Ts. Dr. Dayang Norhayati Abang Jawawi bagi kategori pelajar sekolah menengah dan Prof. Madya Dr. Adham Isa bagi kategori terbuka, dengan sokongan padu dari pihak MBPG. Di bawah penyelarasan kedua-duanya, keseluruhan pengisian program berjalan lancar dan mencapai matlamatnya untuk memperkasa peserta melalui ilmu, bimbingan dan latihan teknikal.

Bagi kategori sekolah menengah, peserta mengikuti sesi amali sebelum menyertai pertandingan Inovasi RoboRemaja. Mereka dibimbing oleh empat orang penyelidik dan tujuh fasilitator, manakala proses penjurian dikendalikan oleh empat orang pensyarah sepanjang dua hari program berlangsung. Suasana pertandingan berlangsung penuh tumpuan dan keterujaan apabila peserta berusaha menampilkan idea terbaik melalui robot yang dibangunkan.

Suasana pertandingan Inovasi RoboRemaja Peringkat Saringan
Suasana pertandingan Inovasi RoboRemaja peringkat saringan

Bagi kategori terbuka pula, peserta mengikuti cabaran Ideathon yang mewajibkan pengintegrasian elemen Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan kelestarian. Program dimulakan dengan sesi penerangan secara atas talian, diikuti pembangunan prototaip, penambahbaikan projek dan seterusnya sesi pitching secara fizikal bersama panel juri berpengalaman. Cabaran ini berjaya membuka ruang kepada peserta untuk mengetengahkan penyelesaian inovatif terhadap isu-isu sebenar dalam komuniti, selari dengan fokus MBPG dalam membangunkan bandar raya berkualiti.

Sesi penjurian
Sesi penjurian Ideathon bersama panel juri profesional

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang. Beliau diiringi oleh Ezlan Farid Mohd Said, Setiausaha MBPG, bersama wakil UTM iaitu Prof. Dr. Azlan Mohd Zain, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI), Fakulti Komputeran. Kehadiran kepimpinan tertinggi MBPG menyerlahkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh budaya inovasi dan teknologi di peringkat daerah.

Juara Inovasi RoboRemaja
Penyampaian hadiah kepada juara Inovasi RoboRemaja, Team Metal Minds dari SMK Dato Penggawa Timur, Pasir Gudang
Juara Ideathon
Penyampaian hadiah kepada juara Pioneer RoboPG, KKPG Innovators melalui projek RoboBlue Microplastic Removal System

Kerjasama erat antara UTM dan MBPG dalam penganjuran RoboLESTARI PG 2025 membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam membangunkan ekosistem bakat berkemahiran tinggi dalam bidang robotik, teknologi hijau dan penyelesaian inovatif. Program ini terus menjadi platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia serta profesional ke arah penciptaan inovasi lestari, khususnya dalam usaha merangka teknologi baharu yang boleh meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan daya saing sektor-sektor tertentu di masa hadapan.

Gambar semua
Para peserta dan penganjur bergambar bersama YB Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang

UTM turut merakamkan penghargaan kepada para pensyarah dan penyelidik khususnya dari Software Engineering Research Group (SERG), fasilitator daripada Persatuan Mahasiswa Sains Komputer (PERSAKA), serta pelajar pascasiswazah yang telah memainkan peranan besar memastikan program berjalan dengan teratur dan berkesan. Sumbangan mereka memperkukuh pengalaman pembelajaran peserta dan menambah nilai terhadap keberhasilan keseluruhan program.

Melalui kerjasama berterusan bersama MBPG, UTM kekal komited dalam usaha memperkasa inovasi tempatan di samping menyokong agenda pembangunan teknologi dan pendidikan komuniti di Pasir Gudang. UTM turut menzahirkan penghargaan kepada MBPG atas sokongan berterusan, khususnya dalam menjayakan Temasya Bandaraya Pasir Gudang 2025 menerusi penganjuran RoboLESTARI PG 2025. Komitmen dan keterbukaan MBPG menjadi pemangkin penting kepada usaha memperkukuh ekosistem inovasi dan pembangunan modal insan berteknologi tinggi di peringkat komuniti setempat.

Oleh Nurul Nazihah Jamal dan Nadhirah Mohamad

Explore More

UTM Open Day