November 16, 2025

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69 pada tahun ini menyaksikan sebuah kisah luar biasa tentang ketekunan, disiplin dan keazaman seorang penjawat awam dari Sarawak.

Sr. Ramzi Abdillah, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), menerima ijazah Sarjana Kejuruteraan Geomatik sambil terus memikul tanggungjawab besar dalam perkhidmatan negeri. Kejayaan beliau menjadi lebih bermakna apabila dua anak dan seorang menantu turut meraikan hari bersejarah yang sama.

Anak sulungnya, Mohd Khairez Anha dan menantu, Eyna Syafarina, menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik, manakala anak perempuannya, Nursafiya Adha, menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Bina. Detik ini bukan sekadar simbol kecemerlangan akademik, tetapi juga manifestasi nilai keluarga yang meletakkan ilmu sebagai asas kemajuan.

Sr. Ramzi bersama anak-anak dan menantu pada Majlis Konvokesyen UTM ke-69

Perjalanan kerjaya beliau bermula selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Ukur Tanah di UTM pada tahun 1992. Beliau memulakan tugas di sektor swasta selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak pada 1995.

Sepanjang lebih dua dekad perkhidmatan, beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Sekolah Latihan Ukur Bersama Sarawak Sabah dan dilantik sebagai pengetua terakhir pada tahun 2002.

Kerjaya beliau terus berkembang apabila diberi kepercayaan menyandang jawatan Penguasa Tanah Bahagian, sebelum dilantik sebagai Penolong Pengarah Survei.

Semua pengalaman ini akhirnya membawa beliau ke puncak tanggungjawab apabila diberi mandat sebagai Pengarah DBKU pada Mac 2025, sebuah jawatan yang membolehkan beliau menyumbang secara langsung kepada pembangunan bandar raya Kuching.

Hubungan rapat antara JTS dan UTM terjalin ketika beliau berkhidmat di jabatan tersebut. Interaksi profesional dengan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) membuka ruang kerjasama jangka panjang, termasuk penubuhan Makmal Satelit, pusat yang memacu penyelidikan, pembangunan teknologi dan latihan dalam bidang geomatik.

Kerajaan Sarawak turut memainkan peranan penting dengan menyediakan geran permulaan sebanyak RM5 juta untuk menubuhkan Kursi Premier Sarawak di UTM.

Peluang besar ini menjadi pemangkin kepada beliau dan 14 kakitangan JTS untuk melanjutkan pengajian Sarjana secara pesisir.

Kaedah pengajian ini memberi ruang kepada para pegawai kerajaan menambah ilmu sambil meneruskan tugasan profesional dan mengaplikasikan pengetahuan baru secara langsung dalam projek pembangunan negeri.

Sr. Ramzi bersama Pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sarawak yang turut menyambung pengajian

Sr. Ramzi memulakan pengajian Sarjana pada Oktober 2023, dan cabaran yang dihadapi bukan sedikit. Selepas lebih tiga dekad meninggalkan UTM, kembali menghadapi kuiz, tugasan dan peperiksaan bukanlah satu proses yang mudah.

Jadual kerja yang padat sering menyebabkan masa belajar hanya dapat digunakan selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu.

Meskipun begitu, beliau sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga, rakan sekelas dan para pensyarah FABU.

Beliau menzahirkan penghargaan khusus kepada Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa yang sentiasa memberikan bimbingan dan dorongan, terutama ketika tekanan akademik memuncak.

Sokongan tanpa henti daripada keluarga menjadi pendorong utama kejayaan Sr Ramzi

Dorongan utama beliau menyambung pengajian adalah keinginan untuk meningkatkan kapasiti diri dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak, khususnya dalam sektor geomatik.

Beliau turut merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) apabila telah menyesuaikan diri sepenuhnya dengan peranan sebagai Pengarah DBKU.

Beliau berkata bahawa ilmu adalah pelaburan sepanjang hayat yang membawa manfaat kepada negeri dan negara. Menurutnya, masyarakat yang berilmu tinggi mampu membina keupayaan sendiri tanpa bergantung kepada pakar luar.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Negeri Sarawak yang membuka jalan kepada pembangunan ilmu melalui Kursi Premier Sarawak.

Antara tokoh yang mendapat penghargaan beliau ialah Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki; Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Abdullah Julaihi; Pengarah JTS, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Haji Hilmy Haji Othman.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif yang digerakkan di antara JTS dan UTM bukan sahaja mengubah landskap penyelidikan dan pembangunan geomatik di Sarawak, tetapi juga wajar dijadikan contoh oleh negeri lain.

Baginya, kejayaan ini adalah hasil usaha bersama yang didukung oleh sokongan kepimpinan, dedikasi rakan setugas serta komitmen institusi pendidikan.

Kisah Sr. Ramzi Abdillah adalah kisah tentang seorang pemimpin yang tidak pernah berhenti belajar, tidak pernah berhenti menyumbang, dan percaya bahawa ilmu adalah asas kemajuan bangsa.

Semoga komitmen beliau kepada negeri Sarawak, UTM dan profesion geomatik menjadi inspirasi kepada seluruh warga akademik dan penjawat awam.

Explore More

UTM Open Day