KUALA LUMPUR, 26 Nov – Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Bengkel Komuniti Penanaman dan Penggunaan Azolla sebagai Makanan Alternatif Ayam bagi memperkenalkan kaedah penternakan ayam yang inovatif serta lestari berasaskan tumbuhan akuatik kepada komuniti, industri dan institusi pendidikan.
Program yang berlangsung di MJIIT UTM Kuala Lumpur ini menghimpunkan lebih 20 peserta terdiri daripada staf UTM, wakil industri SSA Global Adventures, komuniti PWD SmartFarmability dan wakil institusi tahfiz.
Azolla, sejenis paku air yang kaya dengan protein, vitamin dan mineral, semakin diiktiraf sebagai sumber makanan ternakan alternatif yang berpotensi menggantikan makanan ayam komersial. Dengan kadar pertumbuhan yang cepat, kos penanaman yang rendah dan kemampuan mengikat nitrogen secara semula jadi, Azolla mampu mengurangkan kos operasi penternakan serta menyokong kelestarian alam sekitar. Ia juga meningkatkan kualiti makanan ayam, menjimatkan kos dan memperkukuh amalan ternakan mesra alam.
Bengkel dimulakan dengan sesi pengenalan projek oleh Dr. Fatin Syahirah yang menghuraikan objektif program serta manfaat penggunaan Azolla dalam industri ternakan ayam. Program dirasmikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi MJIIT, Prof. Madya Dr. Shahrum Shah Abdullah, yang menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, industri dan komuniti dalam memperkukuh pembangunan pertanian mampan di Malaysia.

Peserta kemudiannya mengikuti taklimat mengenai asas penanaman Azolla, merangkumi teknik penyediaan kolam, keperluan nutrien, pengurusan air dan kawalan pertumbuhan. Aktiviti diteruskan dengan demonstrasi penanaman Azolla di Makmal Algal Biomass. Para peserta ditunjukkan kaedah penanaman pada skala kecil dan skala industri.


Sesi ini turut melibatkan penerangan mengenai penggunaan baja najis ayam bagi mengurangkan kos penanaman Azolla. Peserta juga dibimbing mengenai cara pemberian Azolla segar kepada ayam, termasuk pemerhatian terhadap tingkah laku ayam semasa diberi makan Azolla bagi menilai potensi sebenar tumbuhan ini dalam diet ternakan moden.


Bengkel ini turut menekankan kepentingan kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti, sekali gus menjadikan program ini platform pembelajaran yang inklusif serta membuka ruang jaringan strategik untuk projek komuniti masa hadapan.
Program diakhiri dengan penyampaian sijil kepada semua peserta, menandakan kejayaan usaha UTM dalam menyebarkan ilmu pertanian lestari dan inovasi makanan ternakan. Inisiatif ini bukan sahaja membuka minda peserta tentang teknologi hijau, malah memupuk kesedaran mengenai pembangunan industri ternakan yang mampan, selaras dengan visi UTM untuk memperkasa pendidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan industri.
Melalui bengkel ini, MJIIT UTM Kuala Lumpur berharap penggunaan teknologi hijau berasaskan Azolla dapat diperluas dalam komuniti, sekali gus membuka peluang keusahawanan sosial dan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pertanian mampan serta rendah kos. Usaha ini turut menyokong agenda UTM dalam memperkasa inovasi yang memberi manfaat langsung kepada industri dan masyarakat.