November 26, 2025

Kepimpinan pada masa kini semakin mencabar. Banyak kajian menunjukkan bahawa sebahagian besar pemimpin hari ini berdepan isu kesejahteraan dan kesihatan mental yang semakin meruncing. Ada pemimpin yang lebih mengutamakan keperluan pasukan atau organisasi berbanding diri sendiri sehingga mengabaikan keperluan peribadi. Sama seperti penumpang kapal terbang yang dinasihatkan memakai topeng oksigen sendiri sebelum membantu orang lain, pemimpin juga perlu memastikan kesejahteraan diri dipelihara terlebih dahulu agar dapat menyokong pasukan dengan lebih berkesan. Pelaburan dalam kesihatan mental dan fizikal bukan sahaja meningkatkan prestasi, tetapi juga menjadikan pemimpin itu teladan kepada pasukan dalam membentuk sebuah organisasi yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Mengutamakan kesejahteraan diri bermula dengan refleksi yang jujur. Pemimpin perlu bertanyakan kepada diri sendiri sama ada gaya kerja mereka menyokong keseimbangan hidup, apakah tabiat yang mengekalkan tenaga dan kesihatan, serta bagaimana mereka mengelakkan rasa terasing dalam peranan yang berat. Mereka juga perlu bertanya sama ada mereka bersikap terbuka tentang cabaran yang dihadapi dan adakah mereka mengambil berat terhadap kesejahteraan pasukan. Kesejahteraan mental pemimpin memberi kesan langsung kepada pasukan, justeru langkah proaktif menjaga diri serta berkongsi pengalaman akan memupuk budaya prihatin dan mendorong pasukan melakukan perkara yang sama.

Langkah penting ke arah kesejahteraan ialah mengurus kehidupan dengan bijak. Pemimpin perlu menetapkan matlamat yang jelas, mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki sama ada dari segi tidur, senaman, pemakanan atau pembangunan diri. Matlamat tersebut boleh dipecahkan kepada tabiat harian, mingguan atau bulanan supaya lebih mudah dicapai. Contohnya, pemimpin yang ingin berasa lebih bertenaga boleh menetapkan waktu tidur yang teratur, berjalan secara konsisten, membaca buku setiap minggu atau mengikuti kelas pembangunan diri. Perancangan aktiviti sosial bersama rakan turut membantu mengekalkan keseimbangan emosi.

Mewujudkan sempadan kerja juga sangat penting. Fleksibiliti kerja jarak jauh kadangkala mengaburkan sempadan antara kehidupan peribadi dan profesional sehingga membawa kepada tekanan dan keletihan. Pemimpin perlu menetapkan garis panduan tentang ketersediaan, berkomunikasi dengan jelas mengenai jangkaan kerja dan menunjukkan teladan yang sihat. Penetapan waktu tamat kerja, penggunaan e-mel untuk hal tidak mendesak serta menghormati waktu rehat ialah contoh sempadan yang membantu memupuk keseimbangan kerja dan kehidupan. Apabila pemimpin menghormati sempadan ini, pasukan akan lebih termotivasi, bersemangat dan produktif.

Pengurusan masa juga boleh diperkukuh melalui penggunaan kalendar yang terancang. Masa untuk aktiviti peribadi dan sosial perlu dijadualkan dengan sama penting seperti mesyuarat rasmi. Waktu untuk penjagaan diri, senaman, keluarga dan rehat perlu ditempah khas sebagai komitmen diri. Dengan ini, pemimpin dapat mengekalkan tenaga dan menjadi contoh kepada pasukan.

Membina tabiat harian yang menyokong kesejahteraan turut memainkan peranan penting. Rutin pagi dan petang yang teratur membantu menetapkan nada mental yang positif dan membolehkan pemimpin berehat selepas seharian bekerja. Perubahan kecil seperti bangun awal untuk solat, bersenam atau menikmati sarapan sihat mampu meningkatkan fokus dan tenaga. Persediaan pada waktu malam, termasuk menyediakan pakaian dan peralatan, membantu mengurangkan tekanan harian.

Pada waktu lewat petang, pemimpin digalakkan menjauhkan diri daripada urusan kerja. Elakkan membalas e-mel pada lewat malam dan berikan ruang kepada masa berkualiti bersama keluarga atau hobi. Aktiviti seperti mendengar muzik, membaca atau menyelesaikan teka silang kata dapat menyegarkan minda. Pemimpin yang mengamalkan penjagaan diri secara konsisten akan menjadi lebih cekal, berfokus dan empati.

Rasa terasing dalam kepimpinan boleh menjejaskan kesejahteraan. Oleh itu, pemimpin perlu kekal berhubung dengan pasukan. Interaksi santai, sesi perbualan, ruang maya untuk komunikasi dan kerjasama membantu membina hubungan yang kukuh. Berkongsi sedikit tentang kehidupan peribadi juga meningkatkan kepercayaan dan mewujudkan suasana kerja yang menyokong.

Teknologi boleh digunakan untuk mengeratkan hubungan tanpa mengganggu fokus kerja. Panggilan video, sesi santai dalam talian dan saluran mesej tidak rasmi memberi peluang untuk pemimpin berinteraksi dengan lebih fleksibel. Sentuhan komunikasi yang berterusan mengelakkan rasa terasing dan mengukuhkan semangat pasukan.

Penilaian diri secara berkala membantu pemimpin mengenal pasti keadaan emosi dan mental. Soalan mudah seperti bagaimana perasaan mereka pada hari tersebut dan apakah faktor yang mempengaruhi tenaga atau fokus membantu menilai keseimbangan hidup. Refleksi ini membolehkan pemimpin menyesuaikan rutin, mendelegasikan tugas yang membebankan dan memberi tumpuan kepada perkara yang mendatangkan kepuasan. Kebolehan mengatakan tidak kepada tugas yang tidak lagi relevan juga penting untuk menjaga tenaga.

Kumpulan sokongan rakan sebaya amat berguna dalam membantu pemimpin berdepan cabaran. Perkongsian pengalaman menyediakan akauntabiliti, perspektif baru dan sokongan emosi. Ia memupuk disiplin, refleksi diri dan motivasi serta membolehkan pemimpin memberi sumbangan kepada orang lain melalui pengalaman mereka sendiri.

Keterbukaan dan empati merupakan kekuatan yang perlu dipupuk. Pemimpin yang berkongsi cabaran peribadi membina hubungan yang lebih kuat dan mendorong staf mengutamakan kesejahteraan mereka. Apabila pemimpin mengakui cabaran manusiawi, mereka mewujudkan budaya yang selamat untuk pekerja menyuarakan kebimbangan dan mencari sokongan.

Empati menuntut pemimpin memahami cabaran pasukan dan bertindak secara bijaksana. Dialog terbuka, sokongan terhadap cadangan pekerja dan tindakan segera terhadap isu kesejahteraan adalah sebahagian daripada ciri kepimpinan yang matang. Sesi pemeriksaan berkala, sama ada formal atau santai, membantu menilai beban kerja dan menyediakan ruang bagi panduan yang membina.

Akhirnya, pemimpin bertanggungjawab bukan sahaja terhadap organisasi tetapi juga terhadap kesejahteraan diri. Mengutamakan penjagaan diri, membina rutin, menetapkan sempadan dan memupuk hubungan bermakna menjadikan seseorang pemimpin itu lebih efektif dan berdaya tahan. Bersikap terbuka, empati, reflektif dan proaktif dalam soal kesihatan mental akan membentuk budaya kerja yang lebih sihat. Pelaburan dalam kesejahteraan diri memberikan manfaat menyeluruh kepada diri pemimpin, pasukan dan organisasi.

Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad, Prof. Madya Dr. Sharifah Osman dan Dr. Ariff Hidayat Osman

Explore More

UTM Open Day