November 16, 2025

“Dr, mengapa semasa majlis konvokesyen para graduan biasanya diberikan sejambak bunga oleh orang tersayang?” tanya seorang mahasiswa dalam kursus saya yang kini melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana selepas menamatkan ijazah sarjana mudanya pada semester lepas. Beliau juga merupakan salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda yang bakal menghadiri majlis konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak lama lagi.

Saya menjawab, “Bunga itu bukan sekadar hadiah fizikal, tetapi mengandungi sejarah dan makna yang mendalam. Ia melambangkan pengiktirafan terhadap usaha graduan, simbol penghormatan, kejayaan dan permulaan baharu dalam kehidupan akademik atau kerjaya.”

“Tetapi mengapa bunga dan bukannya benda lain, Dr?” tanya seorang lagi mahasiswa.

“Setiap kelopak dari kuntuman bunga membawa makna. Kelopak pengorbanan, kelopak usaha gigih, kelopak penghormatan terhadap pensyarah dan rakan, serta kelopak lain yang akhirnya membentuk bunga yang mekar selepas melalui proses menguncup,” panjang lebar saya menerangkan.

Usai menunaikan solat Jumaat minggu lalu di Masjid Sultan Ismail (MSI), saya melihat persiapan bagi meraikan para graduan sempena majlis konvokesyen UTM ke-69 telah bermula. Rangka khemah di perkarangan masjid mula tersedia sebelum khemah besar dibangunkan untuk para tetamu. Inilah hari yang dinanti-nantikan oleh para graduan. Setelah berusaha keras selama tiga, empat atau lebih tahun di UTM, tibalah masanya untuk meraikan kejayaan tersebut bersama insan tersayang yang banyak berkorban masa, wang dan tenaga demi memastikan mereka berjaya di puncak menara gading. Ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dan rakan taulan menjadi tulang belakang seseorang graduan, hadir untuk meraikan detik bersejarah ini. Majlis tersebut merupakan antara saat paling indah dalam kehidupan seseorang, melambangkan peralihan fasa daripada dunia pengajian di institusi pendidikan tinggi kepada alam pekerjaan. Orang-orang tersayang ini sanggup mengambil cuti dan datang dari seluruh pelusuk negara untuk bersama meraikan para graduan.

Bercerita tentang sejarah konvokesyen, tradisi ini bermula di Eropah dan kemudiannya diadaptasi serta diubah suai dalam pelbagai sistem pendidikan di seluruh dunia, termasuk institusi di Amerika Utara dan Asia. Faktor seperti perubahan sosial, perkembangan pendidikan massa, penggunaan jubah dalam upacara, serta pengaruh unsur tempatan seperti budaya, pakaian tradisional dan simbol telah menambah kepelbagaian dalam cara konvokesyen dijalankan di pelbagai negara. Memakai topi dan jubah konvokesyen bukan sekadar gaya pakaian upacara, tetapi sebahagian daripada “tanda peralihan” (rite of passage) yang telah diamalkan lebih daripada 700 tahun. Pada zaman pertengahan, universiti awal di Eropah pada abad ke-12 dan ke-13 mewajibkan pelajar serta pensyarah memakai jubah dan tudung demi keselesaan dalam bilik kuliah yang sejuk serta sebagai simbol status akademik.

Mengenai topi yang dikenali hari ini sebagai “mortarboard”, sebutan tersebut diambil daripada perkataan papan pengacau batu (“mortar board”) kerana bentuknya yang rata di atas kepala. Topi dan jubah bukan sekadar pakaian upacara semata-mata, tetapi membawa nilai simbolik terhadap identiti akademik, tradisi institusi dan pencapaian individu. Ia memberikan graduan penampilan rasmi semasa majlis konvokesyen yang menghubungkan mereka dengan generasi pelajar terdahulu melalui sejarah pakaian akademik.

Artikel dalam laman sesawang Goulburn Ovens Institute of TAFE (MOTAFE) bertajuk “5 Awesome Reasons To Attend Your Graduation Ceremony” menjelaskan lima alasan mengapa graduan perlu menghadiri majlis konvokesyen. Pertama, ia merupakan momen istimewa untuk meraikan pencapaian diri; kedua, keluarga dan rakan-rakan dapat berkongsi kegembiraan bersama; ketiga, peluang berjumpa semula dengan insan-insan hebat yang menemani perjalanan pengajian; keempat, ia merupakan salah satu peristiwa penting dalam kehidupan; dan kelima, masa yang tepat untuk memulakan bab baharu dengan penuh gaya.

Artikel bertajuk “Yes, You Should Go to Your Graduation” dari laman sesawang Psych Central menegaskan bahawa upacara konvokesyen melambangkan peralihan sebenar daripada status pelajar kepada graduan, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan. Kehadiran ke majlis ini memberi kesan sosial dan emosi yang mendalam kerana keluarga serta rakan-rakan hadir sebagai saksi kepada kejayaan yang diraih. Sekiranya seseorang hanya menerima sijil melalui pos tanpa menghadiri majlis tersebut, pengalaman graduasi mungkin terasa kurang bermakna dan tidak lengkap. Oleh itu, majlis konvokesyen menjadi wadah penting bagi graduan dan keluarga untuk meraikan bukan sahaja pencapaian akademik, tetapi juga segala pengorbanan, sokongan dan perjalanan yang ditempuhi sepanjang tempoh pengajian.

Natijahnya, bulan November dan Disember sememangnya sinonim dengan majlis konvokesyen, bukan sahaja di UTM tetapi juga di universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain. Banyak hotel dan homestay berhampiran kampus telah ditempah bagi meraikan saat bersejarah ini. Ambillah kesempatan tersebut untuk meraikan detik indah bersama mereka yang telah banyak berkorban, berdoa dan menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan pengajian anda di universiti hingga mencapai kejayaan. Selamat berkonvokesyen!

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Explore More

UTM Open Day