MELAKA, 13 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi memperkukuh reputasinya dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran apabila meraih Pingat Emas bagi kategori Invention, Innovation & Design on e-Learning (IIDEL) di International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2025 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Pencapaian ini hadir menerusi projek inovatif bertajuk “From Craft to Code: AI-Driven Innovation in Construction Learning”, hasil kolaborasi pensyarah dari Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU).

Projek ini memperkenalkan pendekatan berintegrasi yang menggabungkan amalan pembelajaran tradisional dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui pendekatan Design–Make–Augment. Kaedah ini menghubungkan pemerhatian di tapak sebenar, pembinaan model fizikal dan proses digitasi berasaskan AI bagi meningkatkan kefahaman proses pembinaan secara komprehensif.
Pelajar Sarjana Muda Sains Senibina di bawah kursus Amalan Binaan telah terlibat dalam pembinaan model bangunan berskala 1:20 yang merangkumi lima komponen struktur utama. Model tersebut seterusnya dianalisis dan diperkaya melalui simulasi, anotasi serta maklum balas automatik menggunakan teknologi AI. Integrasi ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman pelajar terhadap proses binaan sebenar, malah menyuburkan kreativiti, pemikiran kritis dan kompetensi digital yang amat diperlukan dalam sektor industri masa kini.

Inovasi tersebut turut sejajar dengan Course Learning Outcomes (CLO) kursus yang menekankan ketepatan perincian pembinaan, kemahiran komunikasi melalui penghasilan video berasaskan AI, kemahiran menyelesaikan masalah, kerja berpasukan serta aspek kepimpinan. Melalui simulasi berasaskan AI, penilaian dapat dijalankan dengan lebih konsisten, sekali gus meningkatkan keberkesanan pembelajaran berasaskan pengalaman serta memantapkan kecekapan pelajar dalam memahami kompleksiti proses pembinaan sebenar.

Ketua projek, Dr. ‘Adila Zakaria menjelaskan bahawa pendekatan hibrid ini dirangka bagi merapatkan jurang antara kemahiran pembinaan model manual dan literasi digital. Usaha ini juga menjadi asas kepada pembangunan ConstructAI: Learning Toolkit, iaitu sebuah modul berskala yang berpotensi diguna pakai dalam pelbagai subjek berkaitan pembinaan.
Tambah beliau, inovasi ini memiliki nilai tambah kepada komuniti pembelajaran kerana ia membantu mempersiapkan pelajar menghadapi teknologi pembinaan era Industri 4.0, termasuk penggunaan Building Information Modelling (BIM) dan analitik digital yang semakin berkembang dalam sektor binaan.
Projek ini turut disempurnakan oleh ahli pasukan yang terdiri daripada Dr. Fadhlina Ahmad @ Taufik, Dr. Iziq Eafifi Ismail, Ts. Dr. Muhammad Faizal Abdul Rani, Ts. Dr. Mohammad Ezzad Abu Bakar dan Dr. Tengku Intan Suraya Tengku Aziz. Sokongan padu rakan industri seperti JLand Group Sdn. Bhd., UEM Sunrise Berhad dan Horizon Hills Development (M) Sdn. Bhd. serta komitmen pelajar kursus Amalan Binaan sesi 2024/2025 turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan kejayaan ini. Pencapaian tersebut sekali lagi membuktikan komitmen UTM dalam menerajui agenda inovasi pendidikan digital serta memperkukuh ekosistem pembelajaran masa depan yang lebih responsif, mampan dan berimpak tinggi.
