December 7, 2025

FEST UTM perkasa hak dan keselamatan kanak-kanak melalui Program Ibu Bapa Sejahtera, Anak Selamat Siri 2

JOHOR BAHRU, 8 Nov – Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited memperkasa institusi keluarga dan membina komuniti kejiranan selamat melalui penganjuran Program Ibu Bapa Sejahtera, Anak Selamat Siri 2 yang berfokus kepada Hak dan Keselamatan Kanak-Kanak.

Program yang berlangsung di Dewan Masjid Taman Sri Pulai itu disertai oleh ibu bapa, penyelia, guru serta anak-anak Tabika KEMAS dari sekitar Taman Teratai, Taman Sri Pulai dan Taman Pulai Perdana. Turut serta ialah pelajar kursus Bimbingan dan Kaunseling serta Reka Bentuk Teknologi dari FEST UTM yang berperanan sebagai fasilitator pelbagai aktiviti interaktif sepanjang program.

Barisan pensyarah UTM, penceramah, ibu bapa, penyelia, guru Tabika KEMAS dan pelajar UTM merakam kenangan bersama

Penganjuran siri kedua ini merupakan kesinambungan inisiatif di bawah Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 5.0 (kategori Kejiranan Selamat) yang diketuai oleh Dr. Nur Azmina Paslan bersama pasukan penyelidik Dr. Salmalina Salleh, Dr. Nur Fatihah Raimi dan Dr. Fauziah Zaiden. Program ini memberi penekanan kepada literasi perundangan berkaitan hak dan keselamatan kanak-kanak sebagai teras membentuk komuniti sejahtera, di samping memperkukuh peranan ibu bapa sebagai pelindung utama kesejahteraan fizikal dan emosi anak-anak.

Pengisian utama program menampilkan ceramah ilmiah oleh Nurmawarni Mahat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, yang menekankan kepentingan kesedaran hak kanak-kanak serta tanggungjawab keluarga dan komuniti dalam mencegah pengabaian dan penderaan.

Aktiviti senamrobik keluarga mewujudkan suasana ceria dan penuh keterlibatan

Selain sesi ceramah, pelbagai aktiviti berkonsepkan pendidikan dan hiburan turut diadakan seperti senamrobik keluarga, aktiviti kolaj dan permainan kreatif kanak-kanak, serta kuiz literasi perundangan yang direka bagi meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek keselamatan dan hak kanak-kanak. Pendekatan yang menyeronokkan ini berjaya menggalakkan penglibatan aktif keluarga dalam suasana positif, selaras dengan matlamat membentuk keluarga penyayang dan peka keselamatan.

Pelajar UTM berinteraksi bersama kanak-kanak melalui aktiviti kreatif dan pembelajaran menyeronokkan

Siri kali ini turut memperkenalkan aktiviti ‘family bonding’ iaitu sesi penyediaan menu sihat berbentuk sandwich antara ibu bapa dan anak-anak. Aktiviti ini bertujuan mengeratkan komunikasi positif, mengasah kerjasama serta memupuk nilai kasih sayang dalam keluarga. Selain menjadi wadah riang untuk berinteraksi, ia turut membudayakan gaya hidup sihat dan amalan pemakanan seimbang sebagai asas kesejahteraan keluarga moden.

Aktiviti penyediaan sandwich sihat mengukuhkan ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak

Program ini turut menyokong agenda Kejiranan Selamat yang digariskan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan memberi tumpuan kepada pencegahan awal isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak. Melalui penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti, ia secara tidak langsung menggalakkan gaya hidup sihat, kesedaran keselamatan serta kesejahteraan mental keluarga selaras dengan aspirasi membentuk komuniti lestari dan berdaya tahan.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Nasiruddin Mohamad Shapii, Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa MBIP, yang turut menyampaikan hadiah penghargaan kepada peserta serta mengiktiraf sumbangan UTM dan rakan strategik atas usaha memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pendidikan dan kesedaran sosial.

Turut hadir ialah Mohd Badri Ismail, Pegawai Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negeri Johor, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), yang menyatakan komitmen pihaknya dalam mendukung inisiatif memperkukuh kesedaran ibu bapa terhadap hak dan keselamatan anak-anak.

Sokongan padu daripada pihak Masjid Taman Sri Pulai dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor turut menyerlahkan nilai sinergi antara institusi pendidikan tinggi, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat. Pendekatan bersepadu ini mencerminkan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan sosial, keselamatan serta nilai kekeluargaan sebagai tonggak utama pembangunan masyarakat.

Secara keseluruhannya, program ini membuktikan bahawa jalinan strategik antara universiti, agensi kerajaan dan masyarakat berupaya memperkukuh ekosistem kejiranan yang lebih selamat, harmoni dan sejahtera untuk generasi masa hadapan.

Majlis penutupan disempurnakan oleh wakil MBIP

Explore More

UTM Open Day