November 16, 2025

FAI UTM raikan alumni dalam Grand UTM Alumni Homecoming 2025

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menyerlah apabila tampil aktif dalam program Grand UTM Alumni Homecoming 2025, yang berlangsung penuh meriah di Padang Utama, UTM Kuala Lumpur. Program tahunan anjuran Pusat UTMAlumni itu berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 alumni dari dalam dan luar negara dalam suasana penuh nostalgia dan keakraban.

Sebagai fakulti muda yang mewarisi legasi Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), FAI kini muncul sebagai peneraju utama dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Sains Data, Internet of Things (IoT) dan Inovasi Digital di UTM. Sejak penubuhannya, fakulti ini terus melahirkan ramai pakar dan profesional berkemahiran tinggi yang kini menyumbang dalam pelbagai sektor strategik negara termasuk kesihatan, pertanian pintar, keselamatan data, tenaga dan pendidikan.

Kehadiran alumni FAI dalam acara ini memperlihatkan hubungan yang masih utuh antara fakulti dan graduan, sekali gus mencerminkan kekuatan jaringan intelektual yang dibina sejak era FTIR lagi. FAI turut menaja dua meja khas bagi menghimpunkan alumni sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka, selain menyokong usaha universiti memperkukuh jaringan alumni di peringkat global.

Suasana malam penuh keakraban itu menjadi wadah untuk para alumni beramah mesra, berkongsi pengalaman kerjaya serta mengenang kembali kenangan manis sepanjang bergelar mahasiswa di UTM Kuala Lumpur. Ramai antara mereka kini berkhidmat sebagai jurutera, saintis data, pereka sistem pintar dan penyelidik di syarikat bertaraf antarabangsa, di samping menjadi rakan industri serta penyumbang bersama dalam penyelidikan universiti.

Program Grand UTM Alumni Homecoming 2025 turut diserikan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi universiti termasuk Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Pro-Canselor, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali. Majlis dimulakan dengan persembahan kebudayaan dan tayangan montaj khas, sebelum diteruskan dengan ucapan Naib Canselor yang menekankan kepentingan jaringan alumni sebagai pemangkin pembangunan universiti dan industri.

Acara kemuncak menyaksikan perasmian oleh Pro-Canselor UTM menerusi pelancaran Aplikasi UTMAlumni dan Blueprint Pemerkasaan Alumni 2025–2030, dua inisiatif strategik yang dirangka bagi memperkukuh jaringan global alumni serta memperkasa penyertaan mereka dalam pembangunan universiti.

Majlis turut disemarakkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan seni budaya, pelancaran merchandise kolaborasi UTMAlumni, dan penyampaian Anugerah Tokoh Alumni bagi kategori Kepimpinan, Keusahawanan, Sukan, Kedermawanan dan Filantropi.

Malam penuh bermakna itu diakhiri dengan nyanyian Lagu Keunggulan Terbilang, menggamit kenangan zaman kampus dan mengukuhkan semula semangat “Once a UTMian, Always a UTMian.”

Bagi alumni FAI, penyertaan kali ini bukan sekadar pertemuan semula, tetapi juga lambang kesinambungan antara tradisi ilmu dan inovasi masa depan. Ia menjadi simbol kesetiaan dan komitmen mereka untuk terus menyumbang kepada kemajuan universiti serta negara melalui bidang kecerdasan buatan, teknologi lestari dan nilai kemanusiaan sejagat.

Alumni Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang hadir terdiri daripada pelbagai program termasuk MSSE, MSE, MPS, PhD dan MPhil
Alumni FAI daripada program EngDoc, MEBM, SRTIH dan PhD bergambar kenangan semasa Grand UTM Alumni Homecoming 2025 di UTM Kuala Lumpur

Explore More

UTM Open Day