November 18, 2025

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69 menjadi saksi sebuah kisah luar biasa pasangan muda, Dr. Syazwina Muhammad Khir, 28, dan suaminya, Farhan Mohd Pauzi, 27.

Kedua-duanya diraikan pada sesi yang sama, menandakan detik istimewa yang mengikat dua jiwa melalui cinta, ilmu, dan pengorbanan.

Kejayaan ini bukan sahaja simbol pencapaian akademik, tetapi juga bukti bahawa sokongan keluarga dan kerjasama suami isteri mampu mengharungi cabaran paling mencabar.

Berasal dari Kedah, Dr. Syazwina merupakan anak kedua daripada lima beradik. Beliau kini menyandang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi.

Lebih mengagumkan, beliau hadir menerima skrol PhD pada hari ke-19 berpantang selepas melahirkan anak sulungnya, menjadikan detik ini antara yang paling berharga dalam hidupnya.

“Saya tidak sangka dapat berkongsi sesi konvokesyen yang sama dengan suami, apatah lagi dalam keadaan masih berpantang. Perasaan ini sukar digambarkan, gembira, terharu, dan penuh kesyukuran,” katanya ketika ditemu bual.

Dr. Syazwina memulakan pengajian PhD pada Disember 2020 dan menamatkannya pada April 2025, melalui tempoh pandemik yang mencabar. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau terpaksa belajar secara bersendirian hampir setahun, tanpa banyak interaksi sosial.

“Saya mengatasinya dengan menyertai aktiviti sukarelawan di bawah Institusi Pembangunan Felo (IPF), kini dikenali sebagai Persatuan Felo Kolej Kediaman (PFKK). Di situlah saya belajar menjaga keseimbangan emosi dan sosial,” jelasnya.

Dr. Syazwina Muhammad Khir meraikan detik bersejarah menerima skrol PhD dalam bidang Psikologi pada hari ke-19 berpantang, simbol ketabahan dan komitmen luar biasa seorang wanita terhadap ilmu

Ironinya, di IPF jugalah beliau bertemu jodoh. Pertemuan semasa majlis Hari Raya pada Mei 2023 membawa mereka ke jinjang pelamin pada 27 April 2024, tarikh yang istimewa kerana 27 juga merupakan tarikh lahir kedua-dua pasangan.

Selain cinta, pencapaian akademik Dr. Syazwina turut membanggakan. Beliau pernah dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik (Best Presenter) di International Conference on Science, Technology, Education and Management (InSTEM) 2023, serta berganding bahu bersama suami dalam International Conference on Student Development (ICOSD) sebagai wakil Kolej Perdana.

“Dorongan ibu menjadi antara sebab utama saya terus melangkah dalam bidang akademik. Ibu selalu berpesan bahawa ilmu tidak akan pernah rugi walau sedikit pun,” ujar beliau yang kini bekerja sebagai pembantu penyelidik di UTM dan sedang melanjutkan Sarjana Psikologi Industri dan Organisasi di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Dr. Syazwina sepentas dengan suami menerima anugerah bagi Kolej Perdana ketika program International Conference on Student Development, menandakan kejayaan akademik dan kerjasama sebagai pasangan
Dr. Syazwina gembira menerima anugerah Pembentang Terbaik (Best Presenter) di International Conference on Science, Technology, Education and Management (InSTEM) 2023, bukti dedikasi dalam bidang penyelidikan

Mengulas tentang peranan suaminya sepanjang tempoh kehamilan dan pengajian, Dr. Syazwina mengakui sokongan moral dan fizikal daripada suami menjadi kekuatan utama.

“Suami banyak membantu kerja rumah dan memahami tekanan yang saya lalui, terutama semasa membuat pembetulan tesis dan persediaan konvokesyen,” katanya.

Bagi Dr. Syazwina, kejayaan menggenggam PhD bukan sekadar segulung ijazah, tetapi lambang perjuangan dan ketabahan seorang wanita.

“Menjadi ibu adalah cabaran baharu dalam hidup saya. Namun saya percaya setiap wanita mampu kuat jika mempunyai sokongan sosial, emosi, dan spiritual yang kukuh,” katanya sambil menitip pesan kepada pelajar lain agar “belajar dengan bijak, bukan sekadar kuat kerana ilmu mudah masuk ke minda yang cukup rehat.”

Beliau menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, penyelia Dr. Wan Mohd Azam Wan Mohd Yunus dan Prof. Madya Dr. Norashikin Mahmud, suami tercinta, serta rakan-rakan yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan pengajiannya.

Dr. Syazwina kini berhasrat berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang psikologi di UTM, meneruskan legasi ilmu yang telah menjadi darah dagingnya.

Dr. Syazwina, suami dan penyelia utama, Dr. Wan Mohd Azam, meraikan perjalanan akademik yang ditempuhi bersama sejak tempoh pandemik hingga ke hari konvokesyen
Dr. Syazwina diraikan oleh keluarga tersayang pada hari graduasi, simbol sokongan padu yang mengiringi beliau sepanjang perjalanan pengajian sehingga bergelar pemegang PhD pada usia 28 tahun

Kisah Dr. Syazwina membuktikan bahawa cinta, ilmu, dan ketabahan mampu berjalan seiring, diiringi tangisan bayi yang menjadi lambang kehidupan baharu serta simbol semangat menuntut ilmu tanpa mengenal batasan fizikal, emosi, dan masa.

Explore More

UTM Open Day