JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Di sebalik senyuman tenang yang terpancar pada hari Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tersimpan kisah ketabahan yang luar biasa. Nurul Farah Ain Lee Kok Hou hadir sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan Awam, namun perjalanan yang dibawa bersamanya jauh lebih besar daripada sekeping ijazah.
Ia adalah kisah ujian kesihatan, kejatuhan, kebangkitan, dan kekuatan diri yang sukar digambarkan hanya dengan kata-kata.
Nurul Farah Ain, berasal dari Lahad Datu, Sabah, menaruh minat mendalam terhadap struktur binaan seperti jambatan, bangunan, dan jalan raya sehingga membentuk cita-cita untuk memahami bagaimana setiap struktur mampu berdiri teguh.
Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang sebelum memilih UTM sebagai destinasi pengajian tinggi.
Keputusan ini lahir daripada keinginan mencabar diri dalam persekitaran akademik yang kompetitif dan berdisiplin tinggi. Namun, takdir menguji beliau lebih awal daripada yang dijangka.

Pada tahun 2019, ketika rakan lain sibuk menyiapkan tugasan dan projek, Nurul Farah Ain mula mengalami simptom membimbangkan seperti keletihan berpanjangan, sakit sendi, ulser, ruam, dan demam yang tidak sembuh.
Pemeriksaan perubatan akhirnya membawa kepada keputusan yang mengubah keseluruhan hidupnya apabila beliau disahkan menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE), penyakit autoimun kronik.
“Waktu itu saya sangat terkejut dan takut. Saya tidak tahu sejauh mana penyakit ini akan menjejaskan hidup dan pelajaran saya,” kongsinya. Dalam ketakutan itu, Farah memilih untuk memahami penyakitnya dan mencari kekuatan baru untuk terus meneruskan pengajian di UTM.
Setahun kemudian, ujian datang sekali lagi apabila komplikasi selepas pengambilan air tulang belakang menyebabkan beliau menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dan terlantar selama beberapa bulan.
Mobilitinya terhad sehingga pergerakan asas juga menjadi sukar. Namun, Farah tidak pernah berhenti berjuang. Selepas melalui fisioterapi yang panjang dan mencabar, beliau pulih sedikit demi sedikit.
Kini, Farah berjalan dengan bantuan tongkat, namun semangat juangnya bergantung pada keberanian hati yang luar biasa, bukan sekadar sokongan fizikal.
Mengimbangi pengajian dengan rawatan perubatan bukanlah mudah. SLE menyebabkan simptom muncul tiba-tiba tanpa amaran, kadang pada hari biasa dan kadang ketika minggu peperiksaan.
“Paling mencabar bila tengok kawan-kawan sudah ke hadapan. Saya pula banyak kali menangguhkan pengajian kerana tidak sihat,” cerita Farah.
Dalam fasa sukar itu, beliau belajar mengurus masa dengan lebih teratur, menyusun jadual rawatan, mengikuti kelas dalam talian semasa pandemik, dan sentiasa berkomunikasi dengan pensyarah jika perlu menangguhkan tugasan.
Rakan-rakan seperjuangan turut memainkan peranan besar dengan berkongsi nota dan membantu beliau mengejar topik yang tertinggal. Namun, walaupun semua usaha telah dilakukan, Farah mengaku pernah hampir berputus asa.
“Setiap kali rasa nak berhenti, saya ingat kenapa saya mula. Keluarga dan kawan-kawan selalu ingatkan supaya jangan bandingkan diri dengan orang lain. Setiap orang ada perjalanan sendiri,” jelas beliau.
Bagi Nurul Farah Ain, setiap momen sepanjang pengajian tidak dapat dilupakan kerana UTM bukan sekadar kampus atau tempat menimba ilmu. Ia adalah ruang yang menyaksikan detik paling sukar dalam hidupnya dan juga tempat beliau belajar erti kekuatan sebenar.
Sokongan moral, empati, dan bantuan daripada para pensyarah, pihak Fakulti Kejuruteraan Awam, dan rakan-rakan separaannya sangat bermakna dalam perjalanan penyembuhan dan pengajian beliau.
Apabila menerima berita bahawa beliau lulus dan layak bergraduasi, Farah sukar menahan sebak. Berdirinya beliau di atas pentas graduasi bukan hanya sebagai kemenangan akademik, tetapi sebagai simbol menentang kekangan kesihatan, ketakutan, dan rasa tidak berdaya yang pernah menyelubungi dirinya.
“Semua keletihan, kesakitan, dan air mata terasa terbayar. Ia bukan sekadar segulung ijazah, ia adalah bukti perjalanan melawan diri sendiri,” katanya penuh emosi.
Selepas menamatkan pengajian, Farah kini bekerja sebagai Jurutera Reka Bentuk di sebuah firma perunding. Beliau lebih peka terhadap keseimbangan antara kerja dan kesihatan, mengutamakan rehat, pemakanan sihat, dan pemantauan keadaan fizikal.
Rakan sekerja dan majikannya memahami keadaan kesihatannya, membolehkan beliau terus produktif tanpa mengabaikan keperluan diri.
Sebelum mengakhiri sesi temu bual, Nurul Farah Ain berkongsi pesanan yang menginspirasikan.
“Jangan pernah rasa ujian hidup menjadikan kita kurang berharga. Setiap cabaran sedang mengajar kita sesuatu. Teruskan berusaha, jangan putus asa, dan percaya bahawa setiap langkah kecil hari ini mampu membawa kepada kejayaan besar suatu hari nanti.”
Beliau menutup kisahnya dengan prinsip yang disemat kukuh dalam diri, “It is not about how fast you go, but that you never stop.”