SURABAYA, 6 Nov – Akademi Tamadun Islam (ATI), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menganjurkan Program Mobiliti Outbound dan Lawatan Akademik ke beberapa universiti terkemuka di Surabaya dan Malang, Jawa Timur, Indonesia pada 3 hingga 6 November 2025. Program empat hari ini bertujuan memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan serantau, memperkasa pengalaman rentas budaya, serta memperluas wacana perbandingan terhadap amalan dakwah dan pendidikan Islam di Malaysia dan Indonesia.

Delegasi seramai 19 orang terdiri daripada pensyarah pengiring, pelajar pascasiswazah, dan alumni Akademi Tamadun Islam, diketuai oleh Dr. Akmaliza Abdullah dengan dibantu oleh Dr. Siti Nur Hadis A. Rahman. Perjalanan akademik dimulakan dengan lawatan rasmi ke Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UINSA), Surabaya, di mana delegasi disambut mesra oleh pihak Pascasarjana UINSA. Diskusi ilmiah membincangkan isu-isu kontemporari dalam pendidikan dan tamadun Islam, termasuk perkongsian mengenai sejarah dan peranan Wali Songo, khususnya Sunan Ampel, dalam penyebaran Islam di Tanah Jawa. Lawatan turut diserikan dengan ziarah ke Masjid dan Makam Sunan Ampel, menambah dimensi sejarah dan spiritual kepada pengalaman peserta sebelum bertolak ke Malang.

Pada hari kedua, delegasi melawat Universitas Islam Malang (UNISMA) dan menghadiri sesi ramah mesra bersama Prof. Drs. H. Junaidi, M.Pd, PhD, Rektor UNISMA dan barisan pimpinan universiti. Program Pascasarjana dan Fakultas Agama Islam UNISMA menganjurkan Seminar Internasional bertemakan “Profil Dakwah Islam di Indonesia dan Malaysia: Peluang dan Cabaran”, menampilkan pembentangan daripada wakil UNISMA, Dr. Shamsul Madyan, serta wakil UTM, Dr. Mohd Khairy Kamarudin dan Dr. Muhammad Talhah Ajmain @ Jima’ain. Seminar ini membuka ruang perbincangan ilmiah, membina kefahaman bersama terhadap pendekatan dakwah di kedua-dua negara, dan menggalakkan perkongsian idea antara akademia.

Hari ketiga menyaksikan pertemuan mahabbah dengan wakil pimpinan UIN Raden Rahmat. Pada hari yang sama, pelajar UTM bersama pelajar UIN Maulana Malik Ibrahim, Malang membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam International Postgraduate Colloquium yang dianjurkan oleh Pascasarjana UIN Maulana Malik Ibrahim. Kolokium ini menjadi platform pertukaran ilmu dan budaya akademik rentas sempadan, memperkukuh kemahiran pelajar dalam pembentangan di peringkat antarabangsa dan memperluas jaringan profesional.
Program pada hari keempat diakhiri dengan ziarah ilmiah ke Pondok Pesantren At-Tauhid, sebuah institusi pendidikan Islam tradisional yang terletak di Kampung Santri Nderesmo, Sidoresmo, Surabaya. Lawatan ini memperkayakan penghayatan peserta terhadap warisan intelektual dan spiritual Islam Nusantara, khususnya dalam konteks pendidikan pesantren dan kesinambungan dakwah Islamiah di Indonesia.

Secara keseluruhannya, Program Mobiliti Outbound dan Lawatan Akademik Surabaya–Malang 2025 berjaya mencapai objektifnya dengan cemerlang. Program ini memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, memperluas pengalaman dan horizon intelektual pelajar pascasiswazah, serta meneguhkan nilai ukhuwah Islamiyyah dan solidariti serantau antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia. Akademi Tamadun Islam, UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UINSA Surabaya, UNISMA Malang, dan UIN Maulana Malik Ibrahim atas layanan mesra, kerjasama akademik, dan santunan ilmu yang amat berharga sepanjang program ini.