November 28, 2025

Academic Bootcamp 2025 lonjak motivasi dan cetus semangat mahasiswa cemerlang

ULU TIRAM, 9 Nov – Program Academic Bootcamp “Program Transformasi Mahasiswa: Generasi Cemerlang Dari Aspirasi ke Realiti” anjuran Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, Johor.

Program intensif ini menghimpunkan seramai 79 pelajar dari Kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur, terdiri daripada pelajar pelbagai bidang pengajian, khususnya mereka yang berada di Tahun 2 dengan Purata Nilai Gred (PNG) antara 1.70 hingga 2.50. Penyertaan yang merentas kampus ini membuka peluang kepada pelajar untuk memperkukuh jaringan sosial dan akademik, di samping membina sokongan rakan sebaya yang lebih kukuh.

Sejak dilaksanakan lima tahun berturut-turut, program ini telah membuktikan keberkesanan sebagai inisiatif pembangunan akademik yang memberi impak positif terhadap pembentukan disiplin, peningkatan motivasi serta kesejahteraan emosi pelajar. Rangka program dirancang sebagai platform holistik yang memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, jati diri, pemikiran positif, kreativiti, pengurusan masa dan persediaan mental bagi menghadapi cabaran kehidupan universiti yang semakin kompleks.

Program dimulakan dengan ketibaan peserta di Savanna Hill Resort diikuti sesi ice breaking dan pembahagian kumpulan. Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta dibimbing oleh fasilitator berpengalaman bersama 10 orang buddies dalam kalangan pelajar cemerlang yang membantu menyelaras aktiviti serta memberi panduan yang lebih dekat kepada peserta sepanjang tugasan berkumpulan.

Sesi ice breaking dikendalikan oleh Dr. Rasheed Mohamed Kutty, Pengurus UGS UTM Kuala Lumpur merangkap Ketua Fasilitator

Pada malam pertama, peserta mengikuti slot bertajuk “Dari Mata Turun Ke Hati”, sebuah sesi pengenalan yang menekankan kepentingan membina hubungan interpersonal dan komunikasi berkesan. Hari kedua pula dipenuhi aktiviti bermodul yang lebih menyeluruh seperti “My Style, My Learning”, “SpeakSynergy” dan “Mission Possible”, bagi mengenal pasti gaya pembelajaran pelajar, meningkatkan keyakinan berkomunikasi serta memupuk minda yang lebih positif dan tahan lasak.

Antara aktiviti permainan yang mengukuhkan semangat berpasukan dalam kalangan peserta

Untuk memastikan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental, aktiviti riadah seperti senam robik, brisk walk dan chair robic turut dijalankan. Suasana santai namun bertenaga sepanjang sesi riadah ini membantu peserta mengurangkan tekanan serta memupuk gaya hidup sihat yang penting bagi kecemerlangan akademik.

Aktiviti senam robik dipimpin oleh peserta sebagai latihan keyakinan diri dan kerjasama

Pada hari ketiga, peserta mendalami penguasaan teknologi dalam slot “Technology in You” sebelum program dirumuskan dalam sesi “Hanya Jauhari Mengenal Manikam”. Majlis penutup disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat, yang menjalankan tugas sebagai Dekan UGS pada hari berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa perubahan dan kejayaan bermula daripada diri sendiri. Beliau mengingatkan peserta bahawa perjuangan akademik bukan hanya bergantung pada angka PNG, tetapi turut melibatkan daya tahan, usaha berterusan dan keberanian untuk keluar daripada zon selesa.

“Perubahan itu tidak datang daripada orang lain, tetapi bermula daripada diri sendiri. Jadikan bootcamp ini titik mula untuk bangkit, membina semangat baharu dan membuktikan bahawa anda mampu mencapai lebih daripada yang anda sangkakan,” ujar beliau sambil menasihati pelajar supaya terus mencari potensi diri tanpa berputus asa.

Beliau turut menambah bahawa UGS sentiasa komited menyokong perjalanan akademik pelajar. “UGS akan terus bersama anda. Yang penting, jangan berhenti melangkah,” katanya.

Barisan fasilitator dan buddies yang memainkan peranan utama dalam menjayakan program

Program ini bukan sekadar ruang pembelajaran, tetapi turut menjadi platform penting bagi pelajar membina jaringan sokongan, keyakinan diri serta kerjasama rentas kampus. Sinergi yang terbina dalam kalangan peserta sepanjang tiga hari ini diyakini menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya pembelajaran yang lebih inklusif dan saling menyokong.

Melalui pendekatan menyeluruh yang menggabungkan aspek akademik, sahsiah, kemahiran insaniah dan kesejahteraan mental, UGS optimis bahawa program ini menjadi titik perubahan yang signifikan dalam membentuk generasi mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang lebih berdaya tahan, bermotivasi tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day