UTM perkasa minat STEM kanak-kanak luar bandar melalui aktiviti ToyBox Interaktif

BACHOK, 12 Okt – Usaha memperkasa pendidikan awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan kanak-kanak luar bandar menerima suntikan baharu menerusi aktiviti ToyBox dalam usaha meningkatkan minat terhadap aktiviti STEM pra-sekolah luar bandar di Kelantan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kandungan Program Jelajah Pemerkasaan STEM Kelantan 2025 (STEM@Kelantan) anjuran Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) bersama Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Aktiviti ToyBox Interaktif dimandatkan oleh Pengarah Program STEM@Kelantan, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, dilaksanakan sepenuhnya oleh Pasukan Adopt a Kampung sebagai peneraju idea dan fasilitator utama. Pasukan ini turut menerima kerjasama dan sokongan padu daripada Khayrin Faqir Resources (KFR) yang diketuai oleh Ts. Dr. Habibah @ Norehan Hj. Haron. Aktiviti ini melibatkan mahasiswa UTM Kuala Lumpur dari Kolej Siswa Jaya (KSJ) yang terdiri daripada pelbagai latar bidang pengajian bagi memastikan pelaksanaan ToyBox berjalan lancar.

Aktiviti ToyBox Interaktif telah berlangsung di dua buah sekolah luar bandar di Kelantan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Geris, Dabong dan SK Seneng, Bachok, dengan penyertaan guru dan pelajar pra-sekolah masing-masing. ToyBox merupakan lanjutan daripada kejayaan pembinaan Fun Learning Toy Library (FLTL) yang dibina di dua sekolah tersebut sebelum ini oleh Pasukan Adopt a Kampung. ToyBox Interaktif diilhamkan untuk meneruskan matlamat memupuk minat awal terhadap STEM dengan kaedah pembelajaran menyeronokkan berasaskan permainan STEM.

Dekan FAI, Prof. Ts. Dr. Naz’ri Mahrin (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama sukarelawan UTM Kuala Lumpur dan rakan kolaborasi KFR serta guru-guru pra-sekolah sejurus sesi penyerahan ToyBox di SK Kuala Geris, Dabong
Para pelajar pra-sekolah SK Kuala Geris, Dabong seronok menerima set alat tulis dan permainan
Sesi serahan ToyBox oleh wakil Pasukan Adopt a Kampung, Dr. Azlan Suhot (dua, kiri) kepada Guru Besar SK Seneng, Maryana Muhammad Yusof untuk kelas pra-sekolah

ToyBox Interaktif merupakan inovasi pembelajaran komuniti berasaskan prinsip Play–Learn–Explore. Ia dilengkapi bahan pendidikan seperti STEM Block Builder, Water Flow Maze, Simple Circuit Box, Color & Light Experiment Kit serta Mini Catapult Science Set. Set-set ini direka bentuk bagi memastikan keselamatan, kebolehgunaan dan kesesuaian untuk kanak-kanak serta guru, khususnya di kawasan luar bandar.

“Belajar sambil bermain”: Sukarelawan turut menerangkan konsep STEM yang diterapkan bersama permainan dalam ToyBox

Menerusi pemerhatian awal dan temu bual daripada pembinaan FLTL terdahulu, didapati terdapat peningkatan minat, tumpuan dan keyakinan pelajar ketika menyertai aktiviti STEM. Kehadiran ToyBox Interaktif memberi peluang kepada guru pra-sekolah menggunakan pendekatan pengajaran yang lebih menyeronokkan, interaktif, dan praktikal.

Para pelajar pra-sekolah sedang ralit bermain permainan berasaskan STEM dalam ToyBox

Rumusannya, ToyBox Interaktif dibangunkan sebagai solusi mudah alih dan inklusif, merapatkan jurang antara teori dan pengalaman sebenar pembelajaran STEM. Aktiviti dan penyerahan ToyBox bertujuan memudahkan guru pra-sekolah serta pelajar luar bandar dalam menyelami pembelajaran STEM sambil bermain. Program STEM@Kelantan dan ToyBox turut menyokong matlamat UTM dalam Pembangunan Lestari (SDG) keempat, iaitu Pendidikan Berkualiti, khususnya sub-matlamat 4.2 dan 4.3.4 mengenai pendidikan awal dan peluasan akses pendidikan berkualiti.

Dengan kerjasama erat antara universiti dan komuniti setempat, inisiatif ini memperkasa pengalaman pembelajaran kanak-kanak dan meningkatkan kompetensi guru dalam kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan saintifik. FLTL dan ToyBox Interaktif yang diilhamkan oleh Pasukan Adopt a Kampung berpotensi dijadikan model rintis untuk diperluaskan ke sekolah pra-sekolah luar bandar. Pemantauan berterusan dan penilaian impak dijangka memberikan gambaran jelas mengenai sumbangannya sebagai platform pendidikan STEM yang mampan, menyeronokkan, dan berimpak tinggi, sejajar aspirasi Malaysia ke arah masyarakat celik STEM.

Oleh Ts. Rafizah Musa dan Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur

Explore More

UTM Open Day