November 16, 2025

UTM dan Hanyang University perkukuh penyelidikan antarabangsa dalam kejuruteraan forensik

JOHOR BAHRU, 30 Okt – Pusat Kejuruteraan Forensik (FEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh kerjasama penyelidikan antarabangsa apabila berjaya menganjurkan Kolokium Antarabangsa bersama Innovative Durable Building and Infrastructure Research Centre (DuraBI), Hanyang University ERICA, Korea Selatan, pada 27 hingga 28 Oktober 2025.

Delegasi UTM seramai lapan orang yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Arizu Sulaiman, Pengarah FEC, disambut mesra oleh Prof. Dr. Han-Seung Lee. Turut menyertai delegasi tersebut ialah Prof. Madya Ts. Dr. Izni Syahrizal Ibrahim, Pengarah Institute for Smart Infrastructure and Innovative Construction (ISIIC); Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Azreen Mohd Ariffin; Prof. Madya Ir. Dr. Noor Nabilah Sarbini; Dr. Khairul Hazman Padil; Dr. Nur Izieadiana Abidin; Dr. Chiew Shing Mei dan Norhaliza Hamzah.

Kolokium ini merupakan kesinambungan daripada hubungan strategik yang telah dijalin antara FEC dan Hanyang University ERICA sejak Ogos 2018. Sepanjang tujuh tahun kerjasama, kedua-dua pusat penyelidikan ini telah berjaya melaksanakan pelbagai projek bersama dalam bidang ketahanan struktur dan penilaian keadaan bangunan, termasuk projek di bawah geran padanan antarabangsa. Kejayaan itu turut diterjemahkan melalui penerbitan jurnal berimpak tinggi serta lawatan akademik yang telah diadakan pada Februari 2023.

Penganjuran kolokium tahun ini memberi tumpuan kepada pembentangan hasil penyelidikan terkini, di samping membincangkan hala tuju baharu bagi memperkukuh kolaborasi dalam bidang kejuruteraan forensik, bahan binaan dan infrastruktur lestari.

Deligasi dari FEC bersama Prof. Dr. Han-Seung Lee dan Dr. Soumen Mandal dari Hanyang University
Antara penyelidik FEC yang membentangkan hasil penyelidikan di Kolokium Antarabangsa antara UTM dan DuraBI
Makmal struktur dan bahan di Hanyang university yang melibatkan pengujian sampel dari industri

Selain kolokium utama, delegasi FEC turut mengadakan lawatan akademik ke Yonsei University, Sinchon Campus, Seoul, bagi menyambung semula kerjasama yang telah terjalin selama sedekad antara UTM dan Yonsei University. Rombongan UTM disambut oleh Prof. Dr. Jang-Ho Jay Kim dan Prof. Dr. Hyoungkwan Kim, yang menyatakan kesediaan untuk memperluas jalinan penyelidikan bersama dalam bidang pembinaan lestari dan kejuruteraan struktur.

Menutup siri lawatan tersebut, delegasi FEC turut diterima oleh Prof. Dr. Hong Jae Yim di Pusan National University, yang membuka lembaran baharu kepada kerjasama dalam bidang kejuruteraan forensik dan pembinaan pintar. Kejayaan program ini diharap dapat memperkukuh kedudukan UTM sebagai peneraju dalam penyelidikan kejuruteraan forensik di peringkat antarabangsa serta menjadi pemangkin kepada projek-projek inovatif yang berimpak tinggi pada masa hadapan.

Pengarah FEC menyampaikan cenderamata tanda penghargaan kepada Prof. Dr. Jang-Ho Jay Kim dari Yonsei University
Penyelidik FEC bersama Prof. Dr. Hong Jae Yim melawat makmal pencetak konkrit 3D di Pusan National University

Explore More

UTM Open Day