KUALA LUMPUR, 15 Okt. — Malaysia selaku Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) 2025 terus memperkukuh komitmen terhadap agenda transformasi mampan serantau yang berasaskan inovasi tenaga dan pembangunan hijau. Menyahut aspirasi tersebut, Pusat Kejuruteraan Sistem Proses (PROSPECT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama strategik Pusat Tenaga ASEAN (ACE) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menganjurkan International Competition for Innovation in the Transition of Energy (IGNITE 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pertandingan berprestij ini menjadi wadah utama yang menghimpunkan idea, kreativiti dan kepakaran belia dari seluruh ASEAN untuk meneroka penyelesaian inovatif dalam bidang tenaga. Majlis kemuncak pertandingan dan penyampaian hadiah diadakan bersempena dengan dua persidangan antarabangsa utama iaitu ASEAN International Conference on Energy and Environment (AICEE 2025) dan ASEAN Energy Business Forum (AEBF 2025), sekali gus memperkukuh sinergi antara sektor pendidikan, industri dan dasar tenaga serantau.
Bertemakan “Empowering Youth Innovation, Energizing the Future!”, IGNITE 2025 memberi fokus kepada penghasilan idea kreatif dan penyelesaian lestari dalam bidang utama seperti kecekapan tenaga, teknologi tenaga bersih, sistem tenaga pintar, penyimpanan tenaga serta penangkapan dan penyimpanan karbon dioksida (CCUS). Melalui platform ini, golongan muda diberi peluang untuk meneroka kaedah baharu bagi menyokong peralihan tenaga global yang lebih hijau dan rendah karbon.
IGNITE 2025 turut menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation, APAEC 2016–2025 Fasa II) yang menyasarkan pengurangan intensiti tenaga sebanyak 32% serta mencapai 23% perkongsian tenaga boleh baharu dalam jumlah bekalan tenaga utama (TPES) menjelang tahun 2025. Dengan penyelarasan matlamat ini, IGNITE 2025 menjadi pemangkin kepada penyelesaian yang mampu diskala, mempercepat kemajuan rantau ASEAN ke arah ekonomi rendah karbon dan memperkukuh inisiatif seperti ASEAN Power Grid (APG) serta Trans-ASEAN Gas Pipeline (TAGP).
Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan penting bagi mencungkil pemikiran kritis dan inovatif dalam kalangan belia. Ia menanam kesedaran tentang keperluan memperkukuh kecekapan tenaga serta menggalakkan penerapan teknologi hijau yang dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan kesan perubahan iklim.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IGNITE 2025 merangkap Felo Penyelidik PROSPECT UTM, Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, pertandingan ini membawa nilai yang lebih besar daripada sekadar penciptaan inovasi semata-mata.
“IGNITE 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform untuk mencungkil kreativiti, semangat dan aspirasi belia dalam menerajui peralihan tenaga. Dalam usaha kita menuju masa depan rendah karbon, golongan muda harus berada di barisan hadapan dalam penyelesaian,” ujar beliau.
Pemenang Hadiah Utama IGNITE 2025 disandang oleh Pasukan Capybara dari Fakulti Komputeran UTM dengan projek inovatif bertajuk “EcoPath: Walk with Purpose, Power the Future.” Projek ini mengetengahkan teknologi digital yang menukar setiap langkah manusia kepada tenaga boleh baharu. Melalui gabungan laluan kinetik dan aplikasi mudah alih pintar, EcoPath menggalakkan masyarakat untuk berjalan kaki sambil menjana tenaga bersih dan menjejak pengurangan karbon dioksida. Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam, malah memperkukuh gaya hidup hijau dalam komuniti bandar.

Tempat kedua dimenangi oleh Pasukan Biflux dari Taylor’s University dengan projek “Rain or Shine Solar Cell for Continuous Energy Harvesting”, manakala tempat ketiga diraih oleh Pasukan EcoTorque dari Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi projek “Smart Testing System for Electric Two-Wheelers.” Dua anugerah tambahan turut diberikan kepada Pasukan Photon Bloom dari UTM bagi kategori Hadiah Sagu Hati melalui projek “Floating Solar-Algae System: Dual Energy Produce from Water”, serta Pasukan BatStateU dari Batangas State University, Filipina yang menerima Anugerah Video Terbaik.



IGNITE 2025 turut menampilkan barisan panel penilai yang terdiri daripada pakar industri dan akademik ternama dari seluruh ASEAN, memastikan pertandingan ini menepati piawaian antarabangsa. Antara yang terlibat sebagai panel separuh akhir termasuk Dr. Ambiyah Abdullah dari ASEAN Centre for Energy; Dr. Nabila Farhana Jamaludin dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Prof. Madya Dr. Phung Kim Le dari HUTECH University, Vietnam, serta Prof. Dr. Eng. Deni Shidqi Khaerudini dari Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Indonesia. Bagi peringkat akhir pula, penilaian diketuai oleh Haizul Reza Dahalan, Ketua Kelestarian Mycron Steel CRC Sdn. Bhd.; Teoh Shi Sheng, Naib Presiden Kewangan Lestari OCBC Bank; dan Muhammad Rizki Kresnawan, Penganalisis Penyelidikan Kanan di ACE.
Kejayaan penganjuran IGNITE 2025 bukan sahaja menonjolkan keupayaan Malaysia sebagai hab inovasi tenaga serantau, malah memperkukuh peranan UTM melalui PROSPECT dalam menyokong aspirasi ASEAN ke arah transformasi tenaga hijau yang mampan. Program ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mempunyai visi jelas terhadap masa depan tenaga lestari dunia.
Oleh Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, Felo Penyelidik PROSPECT UTM dan Dr. Fadzlin Md Sairan, Pegawai Penyelidik PROSPECT UTM